suria

Dua kali motor kena rembat, pemuda ini siap bersemuka dengan pencuri - “Ingat kedai angkut, tapi tak ada tunggakan”

Seorang pemuda berkongsi pengalaman pahit apabila motosikal yang dibeli hasil titik peluh sendiri dicuri dua kali dalam tahun ini.

BUKAN sekali, tetapi dua kali!

Itulah pengalaman pahit yang ditempuhi seorang pemuda apabila motosikalnya dicuri dua kali tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lain cuai, penunggang motosikal jadi ‘wanita besi’... patah tulang tengkuk, kepala ditebuk - “Bila fikir semula, saya kagum dengan diri sendiri” 

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib rider GrabFood... dituduh salah oleh pemandu angkuh, kos baiki motor tanggung sendiri - “Dia mahu menang juga”

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Muhammad Khair Aqim Rozani berkata, kes terbaru kehilangan motosikal miliknya hanya berlaku selang lapan bulan selepas kes yang pertama.

“Sewaktu kes kehilangan yang pertama pada April, motosikal saya hilang ketika diparkir di kawasan rumah di flat di Ampang Saujana. Saya turut membuat hebahan di media sosial dalam usaha untuk mencari motosikal tersebut. Namun sampai sekarang langsung tidak ada berita mengenainya.

“Kemudian, saya beli motosikal baharu yang digunakan untuk pergi ke kolej dan juga bekerja part-time. Bagaimanapun Rabu lalu, ia turut hilang gara-gara dicuri,” luahnya kesal.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Aqim di Twitter bagi meminta bantuan netizen menjejaki motornya yang hilang. 

Bercerita lebih lanjut, pemuda yang mesra disapa Aqim berkata, motosikal baharunya itu hilang sewaktu diparkir di rumah neneknya yang terletak di Lembah Jaya, Ampang.

“Pagi itu salah seorang ahli keluarga saya tanya, 'motor mana?'. Saya rileks sahaja lagi sebab fikir mungkin abang atau ayah yang guna. Tapi beberapa minit kemudian, timbul rasa tidak sedap hati, kemudian saya terperasan kunci motor ada atas meja, bermakna tiada siapa yang gunakan motor saya.

Saya terkilan dengan sikap segelintir remaja pada masa kini yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang. Saya ini bukan orang senang juga, terpaksa bekerja sambilan macam-macam dan belajar dalam masa yang sama. Paling sedih, motor itu dibeli dengan hasil titik peluh saya bekerja tapi senang-senang orang 'sapu'.

MUHAMMAD KHAIR AQIM ROZANI

“Tanpa berlengah, saya terus turun ke tempat parkir untuk memeriksa keadaan motor. Memang terkejut apabila tengok motor tak ada di tempatnya. Terfikir juga mungkin kedai yang angkut, tapi saya tak pernah ada tunggakan bayaran bulanan.

“Sah lah kena 'angkut' lagi sekali. Padahal, banyak lagi motosikal yang diparkir di situ. Tambahan pula motor berkunci, tapi mungkin sudah nasib,” ujar penuntut jurusan Pengurusan Haji dan Umrah di sebuah kolej ini.

Pencuri dibawa ke balai

Pemuda berusia 20 tahun ini berkata dia segera membuat laporan polis dan kemudian turut membuat hebahan di media sosial untuk menjejaki motosikalnya.

“Hendak dipendekkan cerita, pada petang itu seorang rakan yang juga jiran kami memberitahu bahawa adiknya ada bercerita kepada ibu mereka. Kata adiknya yang berusia empat tahun itu, dia ada diminta tolong oleh dua remaja untuk mengangkut barang-barang motorsikal.

Aqim menemui rangka dan komponen motosikalnya selepas menyerbu ke rumah remaja yang didakwa mencuri motornya itu. 

“Daripada cerita adiknya itu, saya bersama ibu bapa pergi ke rumah sewa remaja terbabit yang tidak jauh pun daripada rumah nenek. Ketika itu, memang ada lagi komponen motosikal saya di rumah tersebut. Dan mereka mengaku melakukan perbuatan tersebut. Kami terus hubungi polis dan kedua-dua remaja belasan umur itu dibawa ke balai.

“Ibu bapa mereka ada sekali. Niat mereka nak ganti semula tu ada, tapi memandangkan sekarang kedua-dua remaja itu sudah dibawa ke muka pengadilan, terpaksa tunggu. Sekarang ini hanya tunggu claim insurans sahaja,” ujar Aqim.

Pinjam motor saudara

Tambah Aqim lagi, dia terpaksa meminjam motor milik saudaranya buat sementara waktu untuk pergi ke kolej dan juga bekerja.

Komponen motosikal Aqim yang sudah dileraikan untuk dijual. 

“Saya terkilan dengan sikap segelintir remaja pada masa kini yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang. Saya ini bukan orang senang juga, terpaksa bekerja sambilan macam-macam dan belajar dalam masa yang sama. Paling sedih, motor itu dibeli dengan hasil titik peluh saya bekerja tapi senang-senang orang 'sapu'.

“Kepada remaja di luar sana, jangan silap pilih kawan. Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu mainkan peranan yang penting, pantaulah aktiviti anak selalu. Berilah pendidikan dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak.

“Dan kepada yang memiliki motosikal, jagalah kenderaan anda. Ingat, jangan sesekali tinggalkan kunci walaupun masuk ke kedai runcit sekejap sahaja. Penyangak ada di mana-mana, pantang ada peluang pasti mereka buat kerja. Jadikan kisah ini sebagai pengajaran bersama,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
motor, angkut, tunggakan, Ampang, Lembah Jaya

Artikel Lain