TUJUH pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) seakan tidak percaya ikan lumba-lumba yang cuba diselamatkan mereka pada Khamis lalu ditemui mati di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus di Terengganu. Salah seorang daripada tujuh penuntut itu, Mohd Nur Aiman Suhaimi, 23, berkata, pada mulanya dia cuba menafikan khabar berita yang amat mengejutkan itu. “Saya macam tak percaya apabila mendapat maklumat mengenai ikan tu pagi tadi. Saya cuba untuk menafikannya. Rakan-rakan saya pun tak percaya. “Saya dan rakan-rakan berharap sangat ia bukan ikan lumba-lumba yang kami cuba selamatkan tempoh hari,” kata pelajar Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) UMT itu kepada mStar ketika dihubungi pada Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Sedihnya... ikan lumba-lumba diselamatkan pelajar UMT ditemui mati ARTIKEL BERKAITAN: Berlari selamatkan ikan lumba-lumba, 7 penuntut UMT bergegas ke lokasi sebab tak nak menyesal kemudian hari - “Mula-mula tak percaya” Aiman bagaimanapun akur selepas membaca laporan media yang memetik kenyataan pegawai Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, mengesahkan bangkai ikan tersebut adalah ikan yang sama ditemui mereka pada Khamis lepas. “Saya ada tanya beberapa pihak termasuk pakar. Seperti yang dinyatakan pegawai FRI tersebut, mungkin sebab sakit atau kecederaan membuatkan ikan tu akan ke pesisir pantai,” tambahnya. Gambar bangkai ikan lumba-lumba yang dirakam orang awam terdampar di Pantai Tanjung Gelam. Foto Bernama Menurut Aiman, berita penemuan bangkai ikan lumba-lumba itu ternyata mengundang kesedihan buat mereka yang berusaha untuk menyelamatkannya. “Memang sedih sampai tak dapat nak gambarkan macam mana perasaan tu. Sebab semuanya berlaku dalam masa singkat. “Bangkai pula ditemui di pantai yang sama kami cuba selamatkannya. Ingatkan ikan tu boleh diselamatkan. Kami dah cuba sedaya-upaya,” ujarnya. Bangkai pula ditemui di pantai yang sama kami cuba selamatkannya. Ingatkan ikan tu boleh diselamatkan. Kami dah cuba sedaya-upaya AIMAN Pada Khamis, Aiman dan enam rakannya yang merupakan pelajar jurusan Biologi Marin UMT berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di Pantai Tanjung Gelam. Kesemua pelajar tersebut bergegas ke lokasi penemuan sebaik sahaja mendapat maklumat daripada penduduk kampung dan mengambil masa kurang lima minit untuk mengangkat ikan lumba-lumba itu ke kawasan yang lebih dalam namun haiwan itu terlalu lemah dan tidak berdaya menahan hempasan ombak yang terlalu kuat. Tujuh penuntut UMT yang tular atas usaha murni mereka menyelamatkan ikan lumba-lumba pada Khamis. Ketika ikan lumba-lumba itu ditemui, terdapat sedikit kesan luka di kepala ikan tersebut dan ia sudah mula mendengus menandakan dalam kesakitan namun akhirnya ikan lumba-lumba tersebut berjaya berenang semula ke lautan. Bagaimanapun, ia ditemui mati di pantai berkenaan pada Sabtu. Ketua Cawangan Mamalia Marin, Bahagian Penyelidikan Penyu & Spesies Marin Terancam di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, Jabatan Perikanan Terengganu telah melupuskan bangkai ikan tersebut dengan kaedah menanam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bersama penduduk kampung, petang Sabtu. “Ikan lumba-lumba tersebut memang telah cedera ketika ditemui terdampar kali pertama dan tidak mampu melawan ombak kuat musim tengkujuh untuk kembali berenang bersama kawanan yang terpisah. “Mungkin juga organ dalamannya cedera akibat makanan yang tidak boleh dihadam sama ada tulang ikan atau plastik. Secara semula jadinya juga, ikan lumba-lumba akan ke pesisir pantai jika ia hampir mati,” katanya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Dec 13, 2019 at 4:30am PST