GARA-GARA memberi pandangan tentang gambar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, segelintir netizen menyifatkan tindakan pakar bedah, Dr Amalina Che Bakri seolah-olah mempunyai kecenderungan politik. Dr Amalina yang lantang menyuarakan pandangannya di Twitter bersabit soal kesihatan bagaimanapun berkata, pandangan tersebut adalah daripada kaca mata seorang doktor. ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq selamat jalani pembedahan apendisitis ARTIKEL BERKAITAN: Dr Amalina persoal isteri pendakwah senang-senang guna title doktor “Tolong jangan libatkan nama saya dengan isu politik. Saya seorang doktor, saya memberi penerangan berdasarkan maklumat perubatan,” ujarnya menerusi ciapan terbaharu di Twitter. Pakar bedah yang kini berkhidmat di United Kingdom itu juga meminta netizen agar tidak sewenang-wenangnya membuat kesimpulan daripada apa yang disuarakannya di media sosial. Terdahulu tular di media sosial gambar Syed Saddiq Syed terbaring di katil ketika menerima rawatan di sebuah hospital selepas menjalani pembedahan apendisitis pada Sabtu. Bagaimanapun, gambar yang memaparkan beliau dilawati isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengundang reaksi yang pelbagai dalam kalangan netizen, di mana ada di antara mereka menyifatkan menteri muda tersebut hanya ‘berlakon’ sakit. “Syed Saddiq ini sepatutnya jadi pelakon je bukannya jadi menteri,” tulis seorang pelayar sambil membuat hujahannya mengenai keadaan menteri tersebut yang didakwa sebagai ‘tidak kena’ berdasarkan gambar tersebut. Terpanggil untuk menjawab dakwaan ‘serangan’ tersebut, Dr Amalina tampil mempertahankan Syed Saddiq. Gambar Syed Saddiq yang didakwa segelintir netizen sebagai hanya 'lakonan'. Menerusi Twitter rasmi miliknya, Dr Amalina berkata tiada apa yang salah dengan gambar menteri tersebut. “Saya minta maaf, tetapi saya perlu katakan sesuatu berikutan bidang pembedahan adalah kepakaran saya. Tiada apa yang salah dengan gambar berkenaan. “Luka apendiks perlu ditutup untuk mengelak jangkitan. Balutan untuk tekanan darah ada di situ untuk memantau tekanan darah biasanya setiap empat jam jika pesakit itu stabil,” tulis doktor tersebut. “Appendicectomy laparoscopic (pembedahan kecil bagi membuang apendiks) adalah salah satu operasi biasa yang dilakukan dalam pembedahan umum. Ia biasanya bermula dengan rasa sakit di bahagian tengah abdomen dan kemudian bergerak ke bahagian bawah sebelah kanan. “Pembedahan dilakukan untuk mencegah jangkitan yang lebih teruk yang boleh membawa maut,” tulis Dr Amalina. Posting Dr Amalina yang memberi respon terhadap tweet seorang netizen (atas), yang mana kemudiannya dipadam oleh individu berkenaan (bawah). Dalam masa yang sama, doktor itu turut mendoakan kesembuhan untuk menteri muda tersebut. Sementara itu, menerusi pemerhatian mStar, ciapa pelayar berkenaan sudahpun dipadamkan. Sehingga kini ciapan Dr Amalina meraih 33,000 ulang kicau.Malah, menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan doktor tersebut memberikan penjelasan bagi mengelakkan salah faham dan tohmahan membuta tuli netizen. Antara komen netizen yang menyokong tindakan Dr Amalina. “Steady doc!!!! Ramai orang dalam Twitter ni suka tunjuk pandai,” tulis seorang pelayar. “Tak hairanlah Malaysia senang-senang orang gelar diri doktor walaupun tak. Terima kasih doktor untuk maklumat itu,” komen pelayar lain. “Malaysia beruntung mempunyai pakar bedah yang bukan sahaja rendah diri, malah berkepakaran dan berkelayakan tinggi seperti @DrAmalinaBakri. Alhamdulillah,” komen seorang pelayar yang lain pula.