suria

Nasi lemak dah dapat, kini mengidam burger pula... mat salleh nak ‘terbang’ lagi... kali ini 16,000km dari UK ke KL

Darren (kiri) mengidam untuk menikmati burger di gerai jalanan di Malaysia. Foto Twitter remotedarren

ASYIK melihat keenakan burger yang dimasak peniaga tempatan, seorang warga asing sedia untuk terbang sejauh lebih 16,000 kilometer bagi merasai makanan itu.

Semuanya gara-gara tuan rumah bagi penginapan Airbnb yang pernah didudukinya sebelum ini menghantar video peniaga menyiapkan menu itu di sebuah gerai.

“Tuan rumah Airbnb menghantar saya video ini selepas pulang dari Kuala Lumpur. Saya perlu ‘terbang’ 10,000 batu (16,000km) untuk burger,” menurut catatan seorang selebriti YouTube beserta video berkenaan yang diulang kicau lebih 10,000 kali di laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa terbang ke Paris untuk mengopi rupanya parodi, tapi siapa tahu mungkin lepas ni ke Manchester tengok bola!

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna terliur selepas fesyennya jadi 'modal' sembang kek lapis, peniaga tak tolak rezeki

“Mulut saya meleleh air liur hanya menonton video ini,” kata Darren Cronian, 45, yang berasal dari Leeds, United Kingdom.

Perkongsian Darren mengenai burger di Malaysia.

Bintang YouTube berkenaan, Darren berkunjung ke Malaysia pada awal bulan ini untuk menjelajah Kuala Lumpur selama 48 jam.

Susulan perkongsiannya tular, beberapa pengusaha gerai burger terutama di jalanan tampil mengambil peluang untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

Perkongsiannya turut memberi idea kepada tuan rumah Airbnb lain untuk mencadangkan sajian itu kepada tetamu mereka khususnya dari luar negara.

Malah ada yang mencadangkan dia sepatutnya membeli daging burger untuk dibawa pulang ke England.

Antara respons Darren terhadap komen pengikutnya di bebenang mengenai burger di Malaysia.

Darren kemudian mengakui menyesal kerana tidak berbuat demikian.

Malah katanya, dia tidak berpeluang untuk menikmati burger di gerai jalanan semasa kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini.

“Saya rasa fish and chips akan menjadi hidangan buat masa ini sehingga saya kembali ke Malaysia,” katanya.

Menyifatkan Malaysia seperti rumah keduanya, Darren memberitahu dia merancang untuk kembali ke negara ini awal tahun depan.

Kerana mengidam nasi lemak, Darren sanggup 'terbang' ke Kuala Lumpur.

Bukan sahaja dirinya, malahan video yang dikongsinya itu dilihat menarik perhatian rakyat Malaysia untuk menikmati burger.

“Saya fikir saya memberi inspirasi kepada 158,000 rakyat Malaysia untuk makan burger hari ini,” katanya secara berseloroh.

Darren sebelum ini menarik perhatian ramai apabila secara spontan menaiki penerbangan sejauh 9,600 kilometer dari Greece ke Malaysia, hanya kerana mengidam nasi lemak.

Menerusi video berdurasi 12 minit dan 23 saat di laman YouTube pada Oktober lalu, Darren memaparkan pengalamannya mengharungi penerbangan dari Athens ke Singapura sebelum ke Kuala Lumpur selepas melihat gambar nasi lemak di laman Instagram.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain