suria

Pengantin mahu pelamin belon, perancang bandar penuhi impian kawan sejam sebelum majlis - “Kali pertama buat dekorasi, saya pun tak yakin”

Dekorasi belon pada pelamin yang dihasilkan oleh Yusra menjadi tular di laman sosial.

RINGKAS tapi menawan.

Mungkin itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan rekaan pelamin sepasang pengantin yang mendirikan rumah tangga pada Sabtu lalu.

Foto pelamin yang dihiasi belon berona putih dan biru itu kemudiannya menjadi tular setelah ia dikongsi rakan pengantin, Yusra Yusof, 27, menerusi laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak Andam Bengang Pelamin Indah Dibiar 'Telanjang' Atas Tanah

ARTIKEL BERKAITAN: Perancang Perkahwinan 'Buat Hal' Lagi, Reka Pelamin 'Yuna Tak Yuna Sangat'

Menurut perancang bandar yang bertugas di Shah Alam itu, dia merealisasikan pelamin impian tersebut dalam tempoh yang cukup singkat pada hari berkenaan.

"Memang dah lama rancang, pengantin perempuan nak pelamin D.I.Y (rekaan sendiri). Barang semua dah ada, dia sediakan semua.

Tweet Yusra yang tular di Twitter.

"Pada petang tu dalam pukul 6.30 petang saya mula buat dekorasi belon. Dalam sejam setengah sahaja. Pukul 8 malam majlis dah bermula.

"Kami buat dalam dua, tiga orang sahaja. Memang last minute, sebab orang yang jual belon tu pun cadangkan agar ia ditiup di lokasi majlis," ujarnya kepada mStar.

Biarpun ringkas, hasil dekorasi belon berkenaan dan ditambah pula dengan penataan cahaya menjadikan ia kelihatan cukup menarik.

Mula-mula saya pun tak yakin. Tapi sebab dah tak ada pilihan, kawan minta tolong, saya usaha sehabis baik untuk dia.

YUSRA YUSOF

PERANCANG BANDAR

Tambah Yusra, mereka menggunakan 150 belon dan kos yang dikeluarkan kurang RM500 sahaja.

"Saya pada mulanya terkejut dia nak dekorasi belon je. Tapi dia ada tunjuk contoh, jadi saya rujuk gambar yang dia bagi.

"Saya rasa gembira bila dia suka hasil kerja saya. Ini sebenarnya kali pertama saya buat dekorasi pelamin.

Yusra (kanan) sudah bersahabat dengan Suria sejak 17 tahun lalu.

"Mula-mula saya pun tak yakin. Tapi sebab dah tak ada pilihan, kawan minta tolong, saya usaha sehabis baik untuk dia," kata Yusra lagi.

Bercerita mengenai persahabatannya dengan pengantin perempuan, Suria Samli, 27, mereka sudah berkawan sejak berusia 10 tahun lagi.

Dalam majlis itu, Suria diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Ahmad Nizam di sebuah dewan di Kuala Lipis, Pahang.

Majlis perkahwinan Suria dan Ahmad Nizam berlangsung di Kuala Lipis, Pahang pada Sabtu.

Foto pelamin berkenaan sehingga kini menerima hampir 8,000 ulang kicau di Twitter.

Malah, ramai netizen turut memuji rekaan ringkas dekorasi yang dihasilkan Yusra.

Lebih menghiburkan kata wanita itu, ada netizen yang menyangka dirinya merupakan seorang perancang perkahwinan.

Namun kata Yusra, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengubah haluan kerjaya.

Dia bagaimanapun tidak menolak sekiranya ada rakan atau ahli keluarga yang mahu meminta bantuan serta sentuhan magisnya dalam dekorasi pelamin pada masa akan datang.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain