suria

Tengok adik-beradik slim, gadis ini nekad nak kurus... hasilnya melayang 40kg!– “Jauhkan diri daripada mereka yang toksik”

Nur Fatihah berjaya menurunkan berat badan sehingga 40 kilogram hasil amalan pemakanan dan senaman yang konsisten sejak awal tahun ini.

MENJADI satu-satunya individu yang mempunyai saiz badan besar di dalam keluarga membuatkan gadis ini berasa rendah diri dan kurang menarik jika dibandingkan dengan adik-beradik yang lain.

Dek kerana itulah, gadis ini nekad untuk tampil lebih menarik dengan berusaha mencapai berat badan yang diidamkan.

Siapa sangka, berkat kesungguhannya di samping sokongan yang tidak putus-putus daripada orang sekeliling, gadis ini akhirnya berjaya menurunkan berat badannnya sebanyak 40 kilogram (kg).

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kata boleh kena sawan... lelaki dikecam minum 7 liter air sehari untuk kurus dedah dirinya sihat, boleh derma darah - “Ikutlah badan masing-masing”

ARTIKEL BERKAITAN: Guru makin kacak lepas turun 65kg, masa gemuk berkali kerusi patah - "Bila buang air, tangan tak sampai nak cuci"

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Nur Fatihah Ibrahim ini berkata, niatnya untuk menurunkan berat badan secara serius bermula ketika melanjutkan pengajian di peringkat diploma.

“Apabila melihat orang lain cantik, kita pun rasa nak cantik juga. Apabila keluar bersama keluarga, rasa ‘insecure’ sebab adik-beradik dan ahli keluarga lain semua cantik-cantik. Terdetik dalam hati ‘aku seorang saja yang macam ni’.

Berat Nur Fatihah (kiri) pernah mencapai 73 kilogram ketika berusia sembilan tahun.

“Hinggalah ketika saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, ketika buat pemeriksaan kesihatan, doktor beritahu berat badan saya yang ketika itu 96 kilogram di tahap sangat tidak bagus.

“Walaupun tiada masalah kesihatan serius, tapi bimbang juga akan beri kesan pada masa depan. Takkanlah nak tunggu sakit, baru nak kuruskan badan. Dari situ saya tergerak untuk turunkan berat badan,” ujar Nur Fatihah.

Menurut gadis berusia 21 tahun ini, dia sememangnya berbadan besar sejak kecil lagi.

“Bayangkan ketika saya darjah tiga, berat badan saya dah 73 kg. Apabila meningkat usia, berat pun bertambah sehinggalah mencecah 96 kg ketika berusia 18 tahun.

“Semuanya kerana faktor pemakanan. Ayah saya sebelum ini ada kedai makan, memang selepas balik sekolah mesti makan. Kalau beritahu lapar, ayah akan masakkan. Itu yang berat makin bertambah. Sampai pakai baju saiz 4XL, saiz pinggang pula 42 inci,” ujarnya yang kini memiliki berat badan 56 kilogram.

Nur Fatihah nekad menurunkan berat badannya ketika melanjutkan pengajian di peringkat diploma.

Dalam pada itu kata Nur Fatihah, faktor lain yang membuatkan dirinya tekad untuk menurunkan berat badan adalah disebabkan jurusan pengajiannya iaitu Sains Perhutanan yang  memerlukannya banyak bergerak dan kekal aktif.

“Jurusan ini memerlukan saya aktif kerana kerap masuk hutan. Jadi rakan-rakan memang sangat membantu. Mereka bagi semangat, teman saya bersenam, ‘push’ saya dan sebagainya.

“Memang saya sangat bertuah sebenarnya kerana dikelilingi oleh kawan dan persekitaran positif. Saya bersyukur, sejak kecil memang tiada pengalaman pahit diejek atau sebagainya,” kata gadis yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Perkongsian Nur Fatihah mengenai transformasi dirinya meraih sehingga 5,900 retweet.

Berkongsi ‘resepi’ bagaimana dia berjaya menurunkan berat badan, Nur Fatihah berkata apa yang penting adalah mengimbangkan di antara pemakanan dan juga senaman.

“Pertama sekali, jaga makan. Saya makan juga nasi tapi kawal ‘portion’, banyakkan makan buah dan tahan diri daripada makanan yang tidak sihat. Air manis memang tak ambil langsung.

“Dalam masa yang sama, saya amalkan pengambilan minuman tenaga agar sentiasa bertenaga untuk bersenam setiap hari. Kini saya dapat memakai baju saiz S. Bila kurus, muka pun lebih berseri, tidak kusam atau nampak tua. Siap ada kawan ingat saya adik sebab kelihatan sebaya,” ujarnya yang menyasarkan untuk mendapatkan berat badan 50 kilogram.

Bayangkan ketika saya darjah tiga, berat badan saya dah 73 kg. Apabila meningkat usia, berat pun bertambah sehinggalah mencecah 96 kg ketika berusia 18 tahun.

NUR FATIHAH IBRAHIM

Dalam pada itu, anak ketiga daripada tujuh beradik ini berkata, pernah satu ketika dia mengalami kemurungan dek kerana terlalu ‘penat’ apabila berasa usahanya lambat menampakkan hasil.

“Saya menangis kerana rasa sudah buat macam-macam tapi berat statik sahaja. Tapi kawan-kawan bagi kata-kata semangat agar tak putus asa.

“Pada mereka yang mahu turunkan berat badan, pertama sekali pastikan persekitaran anda positif. Hindarkan diri daripada mereka yang ‘toksik’ atau suka rendahkan orang. Kalau nak buat sesuatu, kena bertekad dan usaha,”ujarnya mengakhiri bicara.

Sehingga kini perkongsian Nur Fatihah yang menunjukkan tranformasi dirinya meraih sehingga 5,900 retweet. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain