suria

“Baik tak payah duduk sekolah sains...” - Ayat perli guru beri motivasi buat anak pensyarah, strategi kawan jadi tutor ubah result corot PT3 jadi 8A!

Najmin bersyukur dengan keputusan PT3 yang dikeluarkan pada Khamis yang mana dia mendapat 8A 1B.

GAGAL sekali tak bermakna gagal selamanya.

Itulah kata-kata Muhammad Najmin 'Afif Ahmad Zabidi, pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, Selangor yang menerima keputusan 8A 1B dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada Khamis.

Kisah kejayaan Najmin tular di Twitter setelah dia berkongsi keputusan peperiksaan pertengahan tahun sekitar Mei lalu yang mana pada waktu itu dia hanya memperoleh keputusan 1A sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A!

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dunia nak kiamat, takut tak sempat ada iPhone' - Pelajar PT3 mesej peniaga online minta telefon percuma

Bercerita kepada mStar, Najmin mengakui terkejut dengan keputusan itu dan menyifatkannya sebagai ganjaran atas usaha keras selepas kegagalan sebelum ini.

"Sebenarnya saya ni aktif bersukan. Awal tahun banyak tak masuk kelas dan ketinggalan. Bila dapat result pertengahan tahun, ayah dan cikgu minta perlahankan aktiviti sukan.

Keputusan peperiksaan pertengahan tahun Najmin (kiri) dan keputusan PT3 yang diumum pada Khamis (kanan).

"Masa tu dapat 1A sahaja. Subjek Matematik dan Sains pun dapat E. Masa tu baru ada kesedaran. Malah, keputusan peperiksaan percubaan pun saya dapat 3A sahaja.

"Pernah cikgu cakap, kalau result macam ni baik pergi sekolah sukan, tak payah duduk sekolah sains. Saya tak ambil hati, tapi jadikan sebagai motivasi," ujarnya.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, ayat perli segelintir rakannya juga menjadi pembakar semangat untuk dia berusaha lebih keras dalam memperbaiki kelemahan diri.

Kalau saya teruk, macam mana adik nak ambil jadi contoh? 

MUHAMMAD NAJMIN 'AFIF AHMAD ZABIDI

PELAJAR

Malah, dia mengambil inisiatif sendiri untuk berdamping dengan pelajar yang lebih pandai dan sama-sama menuntut ilmu.

"Ramai yang pandang rendah, kata asyik main sukan je, bila nak belajar?

"Macam subjek Matematik, saya cari tutor iaitu kawan sendiri. Saya nak ucap terima kasih sebab selalu ajar walaupun kadang-kadang susah faham.

"Sebulan terakhir, saya tidur jam 2 atau 3 pagi untuk study. Saya juga banyak jawab kertas exam sekolah-sekolah lain," katanya lagi.

Najmim aktif bersukan sehingga memberi kesan kepada pelajaran sebelum ini.

Menurut Najmin, kedua ibu bapanya, Ahmad Zabidi Abdul Razak dan Noor Shamsinar Zakaria bertugas sebagai pensyarah.

Malah, nasihat ibu bapanya turut menjadi azimat sehingga dia berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam PT3.

"Mak ayah kata kami ni ada lima beradik. Mereka suruh saya usaha sebagai contoh kepada adik-adik.

"Kalau saya teruk, macam mana adik nak ambil jadi contoh? Selain itu, kena jaga hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah.

Najmimnbersama sebahagian ahli keluarganya.

"Kalau tak gagal, kita akan rasa selesa. Keyword kejayaan saya ialah usaha. Bila duduk sekolah pandai, jurangnya sikit je sebab semua lebih kurang sama.

"Yang membezakan kami semua ialah usaha. Contohnya saya, dulu kurang usaha. Tapi bila berubah, dapat keputusan macam ni," ujarnya yang aktif dalam sukan bola sepak.

Menetap di Bangi, Selangor, Najmin menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang sains sukan dan menjadi ahli fisioterapi suatu masa nanti.

Dalam pada itu, perkongsian Najmim mengenai keputusan PT3 miliknya di Twitter menerima lebuh 5,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai yang menghujani posting itu dengan ucapan tahniah kepadanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain