suria

Buang atau keluar rumah! Anak ‘degil’ terharu ibu bapa akhirnya cair dengan kucing ‘Pati’ - “Bawa je balik...”

Shazleen terharu, ibu bapanya akhirnya menerima kehadiran kucing sebagai haiwan peliharaan di rumah mereka.

KUCING merupakan haiwan comel, nakal dan bijak, jadi tidak hairanlah mengapa ia sentiasa menjadi kesayangan manusia. 

Namun, tak semua orang tahu bahawa diri mereka benar-benar seorang pencinta kucing atau tidak selagi si manja ini tidak didekati.

ARTIKEL BERKAITAN: Si bulus merajuk gara-gara tuan terpicit ‘berlian’ masa mandi, terus tak nak keluar bilik air – “Mia datang dekat pun tak layan” 

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu benci, kini belai! Anak gembira bapa terima Moon dalam keluarga, setiap hari tanya 'dah makan ke belum'

Begitulah kisah yang dialami Shazleen Amila Zuhairi apabila ibu bapanya menentang habis-habisan rancangan untuk membela kucing pada awalnya, namun lama-kelamaan 'terjatuh cinta' pula dengan haiwan tersebut. 

Perkongsian video pendek berdurasi 23 saat itu tular di media sosial menunjukkan bapa Shazleen seolah-olah begitu sayangkan haiwan itu ketika membelai si comel yang duduk di ribanya. 

Posting itu menerima lebih dari 14,000 ulang kicau serta 19,000 tanda suka. 

Video pendek menyaksikan bapa Shazleen sedang mengusap kucing di ribanya tular di Twitter.

Rupa-rupanya, rata-rata netizen mempunyai pengalaman sama seperti Shazleen apabila mereka hanya mendapat 'restu' daripada ibu atau bapa masing-masing untuk menerima kehadiran seekor kucing selepas ia dipelihara secara haram atau menjadi pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Ayah kita pun sama sanggup beli arnab kata kucing susah jaga hmm. Tengok-tengok bila dah bela dia yang lebih. Balik kerja Ichirooooo... Amokk.

"My dad used to jangan bela abah kerat kepala kucing tu and now mana budak kecik tu comelnya dia.

"Dulu ayah la yang tak suka ada kucing kat rumah. Sekarang ni si Leman ni dah jadi kucing kesayangan dia hahahah," komen beberapa netizen. 

Perkongsian Shazleen mengenai ibu bapanya yang tidak bersetuju dia memelihara kucing pada awalnya, tular di laman sosial.

Berkongsi kisah dengan mStar, wanita berusia 23 tahun ini meluahkan rasa terharu ketika merakam video bapanya dalam diam yang sedang asyik mengusap kucing peliharaannya di pangkuan. 

Menurut Shazleen, awal-awal lagi dia memang sudah nekad untuk membela kucing walaupun tidak mendapat persetujuan daripada ibu bapanya.

Malah katanya, dia pernah diberi pilihan oleh ibunya sama ada buang kucing peliharaannya atau pindah ke rumah sewa dan dia memilih untuk membawa kucingnya, Garam tinggal dengannya.

"Saya tak sangka dan hati saya rasa tersentuh bila tengok ayah saya angkat anak kucing dan usap ia di riba. Sebab mula-mula, ayah saya memang tak berani pegang kucing. Dulu dia berani pandang jauh-jauh je. Sekarang siap angkat, letak atas riba lagi. 

"Masa zaman saya belajar dulu, sebenarnya jiran sebelah rumah sewa bagi saya adopt kucing. Ada enam ekor dia bagi. Tapi lagi lima ekor saya bagi orang dan saya hanya simpan seekor iaitu kucing pertama yang saya bawa balik rumah, nama dia Garam," katanya. 

Shazleen terharu apabila bapanya terbuka hati menyayangi kucing.

Tambah Shazleen yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia memilih untuk menamakan kucingnya itu Garam kerana haiwan itu takut dengan manusia. 

Bagaimanapun kini, Shazleen memberitahu keluarganya sudah terbuka hati untuk memelihara dan menerima kehadiran Garam dan lima lagi kucing lain di rumah mereka. 

"Saya namakan dia Garam sebab dia takut manusia. Dan itu juga alasan untuk saya adopt Garam sebab dia suka buat muka bila nampak manusia. Bila nampak orang je mulalah buat muka sombong. 

"Mula-mula bila bawa balik rumah tu, memang kena marahlah. Sebenarnya bukan apa, mereka takut kebersihan kucing tu tak terurus. Tapi bila mereka dah percaya, mereka jadi suka pula dan sayang dekat kucing tu. 

Shazleen kini memelihara enam ekor kucing di rumahnya.

"Mula-mula seekor, sekarang sampai enam ekor dekat rumah. Daripada ibu saya yang punyalah tak suka kucing, sekarang ni dia sayang kat kucing sampai nak buat rumah kucing lagi," ujarnya. 

Anak kelahiran Kedah ini berkata keputusannya untuk membela kucing pada awalnya ditolak kerana ibunya alah terhadap bulu kucing. 

"Ibu saya tak bagi bela kucing sebenarnya sebab dia ada sakit lelah terutamanya kalau ada bulu kucing. Lagipun dia memang tak suka kalau kucing tu ada bau atau berak merata-rata dalam rumah," tambahnya. 

Shazleen menamatkan pengajian dalam bidang reka bentuk grafik di UiTM Puncak Alam pada tahun 2018.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, Pati, cair, sayang, haiwan, pelihara

Artikel Lain