suria

Mula-mula terkejut, kemudian sebak! Penemuan kapsul masa tertulis nama sendiri buat remaja ini emosi - “Terperinci... dengan usia dan tarikh ”

Penemuan sebuah buku mengejutkan Arif (gambar kecil) yang mengandungi rentetan perkembangan dirinya sejak lahir. Foto ihsan Muhammad Arif Rohaizad

SEORANG remaja tidak menyangka penemuan sebuah buku ketika bapanya sibuk mengemas di rumah membongkarkan sesuatu mengenai dirinya semasa kecil.

Malah, pemuda itu sebak apabila membaca buku berkenaan yang tidak ubah seperti kapsul masa yang mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya.

“Masa kemas-kemas tadi, ayah aku terjumpa buku ni dan ayah aku kata buku tu aku punya. Bila saya tengok subhanallah, mak aku catat semua perkara masa aku kecil dulu. Saya sayang mak ayah sangat-sangat,” ujarnya menerusi perkongsian yang tular.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hati kental ni jadi sebak”- Ibu banyak berhabis untuk raya, anak 13 tahun beri hadiah 'birthday' lebih sebulan awal

Remaja berkenaan berkata, buku biru dengan bahagian kulit terdapat kesan koyak disangka miliknya kerana tertera namanya, Muhammad Arif Rohaizad.

Perkongsian Arif yang sebak melihat buku catatan ibu.

Lebih mesra dengan panggilan Arif, pemuda berusia 19 tahun itu kemudian membaca kandungan buku tersebut yang sebenarnya dicatatkan oleh ibunya sendiri.

“Buku tersebut adalah catatan ibu tentang perkembangan saya sejak dilahirkan sehingga usia dua tahun. Selama ni saya tak pernah tengok buku tu.

“Dari saya lahir, boleh merangkak, duduk, bercakap sehingga berjalan semua dicatatkan ibu secara terperinci... dengan usia dan tarikh,” katanya kepada mStar.

Antara lain yang dicatatkan ibunya adalah perkembangannya ketika mula melompat, boleh menyebut panggilan ‘mama’, berbalas senyum dan bangun tanpa bantuan termasuk dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

Sebahagian catatan ibu mengenai perkembangan Arif sejak dilahirkan.

Arif yang menetap di Kuantan, Pahang mengakui sebak apabila ibu bapanya membaca setiap catatan berkenaan di hadapannya selepas buku tersebut dijumpai.

“Saya rasa terharu dan pada masa sama sebak sangat. Bila saya dengar, macam throwback pasal macam mana saya dijaga mak ayah masa kecil-kecil dulu.

“Memang masa tu sangat emosi sebab tak sangka mak catat setiap perkembangan diri saya. Dapat rasa aura yang tak boleh nak saya bayangkan,” katanya sambil menambah kedua-dua ibu bapanya berkhidmat sebagai guru.

(kiri) Arif ketika berusia tiga tahun. (kanan) Gambar Arif pada 2019.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, catatan paling sentimental adalah mengenai dirinya memberi respons yang suka dan ceria apabila ditegur orang.

“Macam orang acah-acah kat budak-budak kecil. Itu paling sentimental sebab melibatkan mood saya yang masa tu tak tahu apa-apa.

Saya rasa terharu dan pada masa sama sebak sangat. Bila saya dengar, macam throwback pasal macam mana saya dijaga mak ayah masa kecil-kecil dulu.

ARIF

“Saya memang suka bergaul dan mudah mesra,” ujar Arif yang menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman di Jitra, Kedah.

Menerusi penemuan buku itu juga membongkarkan beberapa perkara yang tidak pernah diketahuinya sejak kecil, menerusi penceritaan ibu bapanya.

Arif (belakang, tengah) bersama ibu bapa dan salah seorang adiknya.

“Beberapa perkara yang saya baru tahu dan tidak dicatatkan dalam buku tu, termasuk saya pernah terjatuh dari motosikal yang ditunggang mak.

“Mak beritahu masa kejadian tu saya kecil lagi duduk dalam bakul motosikal. Masa nak turun bukit ke rumah pengasuh, tiba-tiba saya jatuh tergolek tapi mujur hanya calar saja,” katanya.

Dalam pada itu, Arif turut mengulas mengenai gurauan netizen mengenai sama ada terdapat catatan dia mula derhaka di dalam buku yang dianggap bersejarah tu.

“Saya cuma gelak saja sebab dia pun bergurau. Harapnya tak adalah, semoga saya dapat menjadi anak yang baik buat mak ayah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
buku, throwback, IPG, guru, kapsul masa

Artikel Lain