suria

Cikgu kaunseling jaja cerita, ustazah pecah rahsia! Pelajar dakwa tukar sekolah selepas dimalukan guru dalam kelas - “Saya terpaku disuruh buat pengakuan depan rakan”

Jah berkongsi kisah seorang guru di sekolahnya yang menyebarkan cerita mengenainya yang menghidap gangguan mental.

HARAPKAN pagar, pagar makan padi!

Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang dialami oleh gadis ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Jah, gadis ini tidak menyangka kepercayaan yang dipertaruhkan kepada seorang insan bernama guru akhirnya dikhianati gara-gara sikap tidak amanah individu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Baring di lantai jam 3 pagi menangis pandang siling, lari keluar kelas, tapi gadis alami gangguan mental ini dapat 11A dalam SPM, PT3... ini nasihatnya!

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat 10A selepas ambil exam di wad... ramai tak tahu sebenarnya remaja ini menderita skizofrenia - “Ada orang nak tekup muka saya dengan bantal”

Berkongsi cerita dengan mStar, Jah berkata kejadian hitam itu berlaku pada tahun lalu ketika dia belajar di Tingkatan Empat di sebuah sekolah aliran agama di selatan tanah air.

“Saya didiagnosis menghidap depresi, kebimbangan dan gangguan dismorfik tubuh (body dysmorphic disorder) pada April 2019 selepas sebulan mendapatkan rawatan dengan doktort psikiatri.

Jah kini beransur sembuh dan hanya perlu mengambil ubat dalam keadaan kecemasan sahaja.

“Sebenarnya sejak Tingkatan Satu lagi sudah ada simptom-simptom namun tak sangka ia berkaitan dengan isu kesihatan mental. Hanya pada tahun lalu iaitu ketika berada di Tingkatan Empat, saya mula mencederakan diri. Disebabkan tinggal di asrama, keluarga tak tahu mengenai tindakan ini.

“Pada tahun lalu juga, saya memberanikan diri bertemu dengan guru kaunselor dan meluahkan apa yang saya alami, termasuk menunjukkan parut di tangan akibat kesan torehan. Tanpa disangka, berita menganai diri saya akhirnya tersebar dan menjadi buah mulut guru-guru dan pelajar lain,” ujar gadis ini.

Cerita Jah, dia tidak tahu ‘rahsia’ tersebut menjadi bahan jajaan sehinggalah pada satu hari apabila seorang ustazah yang sedang mengajar di kelasnya secara tiba-tiba meminta dia mengaku pernah mencederakan diri sendiri di hadapan rakan sekelas yang lain.

Kisah yang dikongsi oleh Jah menerusi satu bebenang di Twitter mengenai peristiwa hitam yang menimpa dirinya tahun lalu.

“Ustazah ni suruh saya bangun dan mengaku melakukan perbuatan itu. Ketika itu rakan-rakan tidak tahu dan mereka juga terpinga-pinga. Saya terpaku dan terkejut apabila disuruh buat pengakuan seperti yang dimintanya.

“Kemudian ustazah itu tanya, bila kali terakhir saya melakukan solat sunat taubat. Tidak lama selepas itu, ustazah tu terus berceramah dalam kelas mengenai solat sunat taubat. Ketika itu memang rasa macam-macam.

“Selepas ustazah tu keluar kelas dan rakan-rakan lain bergerak ke makmal untuk mata pelajaran seterusnya, saya menangis bersungguh-sungguh dengan rakan di sebelah. Dia yang tenangkan saya,” cerita anak sulung daripada tiga adik beradik ini.

Menurut Jah, selepas perstiwa tersebut, dia dapat merasakan persepsi guru-guru lain dan rakan-rakan terhadap dirinya mula berubah.

Ustazah ni suruh saya bangun dan mengaku melakukan perbuatan itu. Ketika itu rakan-rakan tidak tahu dan mereka juga terpinga-pinga. Saya terpaku dan terkejut apabila disuruh buat pengakuan seperti yang dimintanya.

JAH

PELAJAR

Malah, rakan-rakannya juga mula menjauhkan diri daripada dirinya.

“Ketika itu saya sedang mendapatkan rawatan selepas didiagnosis dan dalam proses penyembuhan. Tapi bila terjadi kejadian tersebut, buatkan saya lebih tertekan. Sebulan selepas itu, selepas perbincangan dengan keluarga, saya akhirnya bertukar sekolah,” kata Jah.

Bercerita mengenai gangguan kesihatan mental yang dihadapinya, Jah berkata terdapat beberapa faktor pendorong yang menyebabkannya menghidap masalah berkenaan.

“Untuk kes saya, ada beberapa faktor seperti masalah keluarga, masalah persekitaran seperti rakan-rakan dan juga pembelajaran. Mula-mula kena, jiwa rasa kosong sangat. Rakan hanya nampak luaran, mereka fikir saya tertekan kerana masalah nak belajar dan mereka tak pernah tanya.

“Sebab itu ada yang sewenang-wenangnya hentam saya, kononnya tekanan yang saya hadapi ini sebab lemah iman, tak cukup solat dan sebagainya. Siap cakap, tempat orang yang bunuh diri adalah neraka. Sepatutnya mereka bantu dan berikan kata-kata sokongan.

“Saya nak orang tahu bahawa tuhan sebenarnya uji seseorang dengan penyakit mental ini tanpa mengira umur atau keimanan seseorang,” katanya yang kini sedang menuntut di Tingkatan Lima di sebuah sekolah harian biasa.

Antara ubat-ubatan yang perlu diambil oleh Jah untuk merawat masalah gangguan mental yang dihadapinya.

Mengakui keadaan kesihatannya beransur pulih, Jah berkata dia mahu memulakan hidup baharu bersama orang yang disayanginya.

“Alhamdulillah, keadaan saya kini lebih baik selepas berada di persekitaran yang baharu. Selain ubat-ubatan, saya juga melakukan aktiviti berfaedah seperti menulis ‘journal diary’, bersenam dan memilih untuk dikelilingi orang yang positif,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor psikiatri.

“Yang penting, sesiapa yang mengalami masalah yang sama, anda sebenarnya tidak keseorangan. Dapatkan rawatan dengan segera. Dan paling penting, elakkan berkongsi masalah dengan orang sembarangan kerana tak semua orang boleh dipercayai,” akhiri Jah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain