"KEPALA kamu," demikian ayat yang terpacul dari mulut seorang guru ketika melayan keletah salah seorang anak murid yang mahu mengambil tiga ketul ayam Kentucky Fried Chicken (KFC) yang dibelinya. Video berdurasi 29 saat itu tular di laman Twitter menunjukkan suasana 'kecoh' sekumpulan murid sedang berebut hidangan ayam goreng tersebut yang dimakan pada waktu rehat. ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula tegur di kantin, offer rumah sewa, akhirnya cikgu gatal lamar pelajar jadi isteri no 2 - “Ajak makan depan rakan-rakan tapi nak belanja saya seorang saja” Bagaimanapun, berlaku momen lucu tanpa disangka-sangka apabila guru yang dipanggil ustaz itu membalas kata-kata selamba seorang muridnya yang 'nakal' kerana mahu mengambil tiga ketul ayam, sedangkan dia memberi arahan kepada setiap murid untuk mengambil seketul ayam sahaja. Sehingga kini, perkongsian itu menerima lebih dari 1,400 ulang kicau dan 2,600 tanda suka di Twitter dan rata-rata netizen terhibur melihat kemesraan antara seorang guru dengan murid, juga ayat spontan 'kepala kamu' yang dilontarkannya. Perkongsian Musytaq mengenai gelagat anak muridnya yang berebut ayam goreng KFC tular di laman Twitter. "Macam penat je cikgu dok ulang 'sorang satu!'... lepas tu ada yang cakap 'sorang tiga'. "Kahwinlah ustaz, sifat kebapaan tu dah ada. "Woi sorang tiga, hahahaha berdekah aku," komen beberapa netizen. Berkongsi cerita dengan mStar, guru agama berkenaan, Musytaq Asha'ri sebenarnya memang berniat mahu belanja anak-anak muridnya makan kerana mahu menaikkan semangat mereka menghafal surah. Musytaq selaku guru kelas Tahun 5 berkata, meskipun murid-muridnya bukan daripada kelas cemerlang, dia tidak mahu mereka hilang semangat. Menurutnya, dia berasa bahagia dapat membeli makanan kegemaran mereka kerana baginya kebahagiaan seseorang itu lebih 'mahal' jika dibandingkan dengan nilai wang ringgit. Musytaq menganggap kebahagiaan seseorang itu lebih bererti jika dibanding dengan wang ringgit. "Masa tu sebenarnya subjek hafazan, memang saya dah cakap kat budak-budak ni, siapa yang hafal dua surah boleh makan KFC. Tapi memang saya dah niat pun nak belanja mereka makan, sajalah saya nak naikkan semangat mereka supaya boleh hafal surah. "Lagipun saya happy tengok mereka bahagia ketika mereka berebut ayam KFC tu. Sebab tak semua pelajar orang senang kan? Apalah sangat nilai wang ringgit tu sekiranya nak dibandingkan dengan kebahagiaan seseorang," katanya. Anak kelahiran Perak ini juga mengakui tidak pernah sukakan kanak-kanak sebelum bergelar seorang pendidik. Bagaimanapun pemuda berusia 24 tahun ini mendapati perubahan dalam dirinya apabila dia menjadi seorang yang penyayang selepas mengajar dan mendidik anak muridnya di sekolah. Lagipun saya happy tengok mereka bahagia ketika mereka berebut ayam KFC tu. Sebab tak semua pelajar orang senang kan? Apalah sangat nilai wang ringgit tu sekiranya nak dibandingkan dengan kebahagiaan seseorang. MUSYTAQ ASHA'RI "Waktu masuk sekolah ni mula-mula, terdetik dalam hati saya, 'apalah nak jadi ya dengan budak-budak ni' sebab saya memang tak suka budak-budak. Sebab mereka kan mengada-ngada. "Tapi bila dah mengajar tu, rasa macam ya Allah sayangnya nak lepas mereka. First sekali sebab saya tak ada adik, adik beradik semua dah besar. Keduanya, gelagat mereka tu comel. "Yang ketiganya, saya manjakan mereka, saya layan mereka seperti kawan. Sebab tu terpacul ayat 'kepala kamu' tu, memang kalau kat negeri saya, bahasa tu kira macam paling lembutlah. Mungkin orang-orang negeri lain ingat kasar, tapi bahasa Perak lebih kurang macam tulah," ujarnya. Sebahagian anak murid Musytaq. Ditanya mengenai status dirinya, guru Sekolah Agama Solatiyyah, Perak ini berkata dia masih bujang dan tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat. "Saya masih bujang, setakat ni tak jumpa lagi peneman hati. "Seelok-eloknya, saya serahkan pada yang Maha Kuasa pasal jodoh-jodoh ni," tambahnya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Jan 10, 2020 at 3:12pm PST