suria

Gara-gara ‘Cikma buruk’, budak 5 tahun dapat balasan ‘cash’ – “Dia ejek orang tak apa, tapi orang ejek tak boleh”

“TERUS dapat balasan cash (tunai)”.

Demikian komen netizen terhadap perkongsian video yang dimuat naik oleh seorang gadis mengenai gelagat anak saudara lelakinya baru-baru ini.

Video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang terhantuk pada cermin sisi (side mirror) kereta di bahagian kepalanya, sejurus selepas menyakat gadis tersebut yang merupakan ibu saudaranya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mata saya dan suami biasa-biasa saja” - Anak comel macam mix, ibunya pun pelik... petua lentik bulu mata nenek mungkin menjadi!

ARTIKEL BERKAITAN: Siap sambut tangan guru nak langkah longkang, telatah pelajar comel ini curi tumpuan – “Dia pernah jadi atlet sekolah acara 4x100 meter!”

Menerusi video berdurasi 12 saat itu, kedengaran suara kanak-kanak lelaki tersebut menggelar ibu saudaranya dengan panggilan ‘Cikma Buruk’ sebelum kepalanya terhantuk pada cermin sisi kereta.

Sehingga kini, video tersebut meraih sehingga 12,100 retweet dan ditonton sebanyak 131,900 kali selain dibanjiri komen netizen yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat budak lelaki berkenaan.

Video yang dimuat naik oleh Isma memaparkan gelagat anak saudaranya yang terhantuk pada cermin sisi kereta, menjadi tular.

Ketika dihubungi mStar, ibu saudara budak itu, Isma Nazihah  berkata, anak saudaranya, Muhammad Raiyan Danish Rashidi, 5, memang gemar menyakatnya dan adik beradiknya yang lain.

“Ketika itu saya mengikut kakak menghantar Raiyan ke taska. Memang saya selalu rakam gelagatnya, dan pagi itu saya saja record sebab nak ucap selamat tinggal. Tak sangka dia balas ‘Bye Cikma buruk’.

“Memang selalu selepas ejek orang, dia akan pandang semula ke belakang, sebab itu agaknya dia terlanggar cermin sisi kereta. Kakak saya yang juga ibunya kemudian menegurnya kerana jalan tak tengok depan.

“Tak sangka pula video itu viral. Siap ramai komen itulah balasan cash dari Tuhan. Terhibur bila baca komen-komen netizen,” ujar gadis berusia 20 tahun ini.

Tubuh badan Raiyan yang montel sewaktu berusia lingkungan dua tahun dan sering dijadikan bahan usikan ibu saudaranya.

Bercerita mengenai anak saudaranya itu, Isma berkata di sebalik gelagatnya yang gemar menyakat orang, Raiyan juga mudah merajuk dan marah apabila tiba giliran dirinya disakat.

“Contohnya, apabila kita sakat dia untuk tukar siaran televisyen yang ditontonnya, dia akan merajuk. Pernah juga cuba sakat dia dengan beri makanan dalam kuantiti yang sedikit, terus dia menangis.

“Kalau ejek dia gemuk pendek, lagilah dia marah. Sewaktu dia kecil-kecil dahulu, memang fizikalnya montel sedikit. Melekat usikan itu hingga sekarang. Senang cerita, dia ejek orang tak apa, tapi kalau orang ejek dia tak boleh. Dia tak boleh orang mainkan perasaannya.

Memang saya selalu rakam gelagatnya, dan pagi itu saya saja record sebab nak ucap selamat tinggal. Tak sangka dia balas ‘Bye Cikma buruk’.

ISMA NAZIHA

IBU SAUDARA

“Baru-baru ini kakak throwback gambar-gambar lama dan paparkan di televisyen. Bila kami kata budak yang montel itu Raiyan, dia mati-mati tak percaya. Lepas itu dia marah dan merajuk. Setiap kali tunjuk, setiap kali itu dia marah,” ujar Isma sambil ketawa kecil.

Menurut Isma, ketika ini dia banyak meluangkan masa bersama Raiyan dan anak buahnya yang lain kerana tinggal bersama kakaknya sementara menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Raiyan yang merupakan anak kedua bergambar bersama ibu bapa dan adik beradiknya. 

“Kadang-kadang saya tolong hantarkan Raiyan ke taska kerana kakak bekerja pagi. Dalam masa yang sama, saya tolong jaga dua lagi anak saudara yang berumur empat dan satu tahun setengah. Jadi memang selalu banyak masa bersama mereka, itu yang kuat menyakat.

“Bila saya beritahu video dia viral, dia tanya macam mana boleh ada dekat situ. Kalau dia menyakat, saya ugut nak viralkan video dia, barulah dia berhenti dan minta jangan sebarkan video dan gambarnya,” ujar Isma mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ejek, ibu saudara, budak, taska, Cikma buruk

Artikel Lain