PELAJAR di universiti meniru semasa peperiksaan mungkin dianggap perkara biasa, termasuklah dengan kaedah membawa nota atau formula ke dalam dewan. Jika bernasib baik, terlepaslah pelajar berkenaan dan kalau tidak, mereka akan ditangkap dan dihukum oleh pihak universiti atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. Namun, jarang-jarang berlaku apabila pelajar ‘kantoi’ selepas selesai menjawab peperiksaan! Tetapi itulah yang menimpa seorang pelajar apabila nota yang dijadikannya sebagai ‘toyol’ untuk meniru, tertinggal di dalam kertas jawapan peperiksaan semasa pensyarahnya hendak membuat semakan. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A! ARTIKEL BERKAITAN: Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner” “Assalamualaikum dan selamat pagi. Sila ambil perhatian semua pelajar. Saya menjumpai nota dan formula yang kamu bawa dalam dewan peperiksaan. “Saya akan potong markah atau kamu perlu menduduki semula subjek ini pada semester depan. Kepada pelajar yang terlibat, jujurlah dalam setiap perbuatan,” menurut notis pensyarah itu sambil melampirkan bukti ‘toyol’ yang dimaksudkan. Notis yang dihantar oleh seorang pensyarah di sebuah IPTA kepada pelajar-pelajarnya. Seorang pelajar yang membuat perkongsian berhubung pendedahan pensyarahnya berkata, notis tersebut diterimanya dan rakan-rakan sekuliah pada Isnin lalu membabitkan kertas peperiksaan Ekonomi Kejuruteraan. Pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di selatan tanah air itu menjelaskan bahawa, pensyarahnya hanya mendedahkan bukti tanpa menyebut sebarang bukti atau nama individu yang dikesan meniru. “Bukan saya, pensyarah tak sebut sebarang nama. Saya tak berminat untuk tahu siapa yang buat sebab mungkin dia ada sebab tersendiri. “Ia lebih kepada notis, yang kami dapat daripada platform google classroom yang kami guna untuk interaksi antara pensyarah dan pelajar,” kata pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Sai kepada mStar. Nota formula yang terselit dalam kertas jawapan. Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal berusia 23 tahun itu bagaimanapun tidak terkejut dengan kejadian itu kerana baginya sudah jadi lumrah pelajar meniru semasa menduduki peperiksaan. “Langsung tak terkejut sebab banyak kes macam ni, malah ada kes kena tangkap sebab meniru. Cuma kali ni pensyarah saya bagi gambar sebagai bukti. “Pensyarah tak sebut berapa ramai yang kantoi bawa ‘toyol’ tapi pada pandangan saya, ia tidak adil dan pelajar tersebut perlu menerima akibat di atas perbuatannya,” ujarnya sambil menambah mereka menduduki kertas peperiksaan itu pada 7 Januari lalu. Komen segelintir netizen mengenai isu meniru dalam peperiksaan. Berdasarkan kes sebelum ini, Sai berkata, pelajar yang dikesan meniru perlu menduduki semula subjek berkenaan dan bukannya hanya dengan memotong markah. “Bagi saya, potong markah itu tak adil untuk pelajar yang dah perah otak nak score setiap subjek, tapi sesetengah orang ambil jalan mudah untuk score dengan meniru. Sekecil-kecil ujian atau kuiz pun janganlah meniru. Jangan semata-mata harapkan keputusan yang cantik tapi tak berkat. SAI “Maksudnya mereka akan sama level walaupun seorang belajar dan seorang lagi meniru. Saya fikir adalah lebih baik pelajar yang meniru tu repeat subjek tu. “Kami percaya dengan pensyarah kami... kami yakin dia akan buat keputusan yang betul,” ujarnya. Luahan seorang pemuda mengenai tabiat meniru semasa peperiksaan. Mengakui subjek Ekonomi Kejuruteraan itu agak rumit dan soalannya kadang-kadang di luar jangkaan, tapi bagi Sai, tiada masalah sekiranya membuat persiapan lengkap. Mengenai kisah ‘toyol’ yang dikongsikannya, Sai amat berharap setiap pelajar universiti di negara ini tidak menjadi meniru semasa peperiksaan sebagai kebiasaan. “Saya kecewa bila ada yang komen cakap tak cukup pro menirulah, kalau buat masa ujian tak apa jangan buat masa final. “Bagi saya, sekecil-kecil ujian atau kuiz pun janganlah meniru. Prinsip saya berpeganglah pada keberkatan. Jangan semata-mata harapkan keputusan yang cantik tapi tak berkat. Percaya dengan rezeki yang Tuhan dah tentukan,” katanya.