suria

Atlet sekolah 'seram' diganggu peminat misteri... siap ajak check-in hotel mewah, nak hire bodyguard elak kena tangkap - “Jangan risau la I tak santau...”

Syawal berkongsi pengalaman diganggu peminat misteri hingga dia berasa takut.

PASTI setiap orang pernah menaruh minat terhadap pelajar lain sewaktu di alam persekolahan.

Tidak kurang juga ada yang mempunyai peminat misteri yang memberikan nota cinta dalam diam tanpa pengetahuan orang yang diminatinya.

Begitulah yang terjadi kepada seorang pelajar ini, apabila dia menerima beberapa nota cinta  daripada peminat misterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan ‘nak try’ model, tak henti-henti telefon nak berkenalan - “Bukan sebab tak kacak atau dia rider, tapi macam psiko pun ada”

ARTIKEL BERKAITAN: Video dating sebagai tanda sayang... Hasil suntingan pemuda ini buat ramai terpegun

Berkongsi cerita dengan mStar, remaja bernama Muhd Syawal Abdullah mendedahkan, dia  menerima nota pertama minggu lalu selepas selesai menjalani latihan larian untuk menyertai kejohanan olahraga peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di padang sekolahnya.

“Selepas selesai latihan pada sebelah petang, saya buka beg yang diletak di tepi padang untuk menyimpan barang dan terus terbau minyak wangi. Saya perasan ada surat dalam beg dan bila tanya kawan-kawan, tiada yang mengaku meletaknya.

“Bimbang juga ada kawan-kawan yang nak buat prank, tapi mereka menafikan. Tengok dari segi tulisan pula nampak kemas seperti tulisan pelajar perempuan Ia berbeza dengan tulisan rakan-rakan yang saya kenal. Bila tanya, semua tak mengaku,” kata pelajar sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Selangor ini.

Posting Syawal mengenai nota yang diterima daripada peminta misterinya menjadi tular di Twitter.

Menurut Syawal, dia enggan mengambil endah mengenai perkara itu, sehinggalah dia menerima nota kedua pada Rabu lalu.

“Sedang menjalani latihan, tiba-tiba ada kawan beritahu ada surat dekat beg saya. Hairan juga sebab tak perasan sesiapa pun yang ada berdekatan ketika itu. Tapi ramai kawan-kawan meneka, peminat misteri itu pelajar perempuan tingkatan dua yang bersekolah sesi petang.

“Saya sebenarnya baru beberapa bulan pindah ke sekolah ini daripada Subang Bestari kerana ayah ditukarkan tempat kerja. Jadi, kawan pun tak berapa ramai. Tiba-tiba ada peminat misteri pula, itu yang bertambah pelik.

“Namun ia tidak membuatkan saya teruja, malah lebih takut apatah lagi kandungan nota kali ini agak keterlaluan. Siap dia cetak gambar saya yang saya muat naik di laman Instagram. Sama seperti kali pertama, si penghantar juga menyembur minyak wangi pada surat itu, tapi kali ini ada diselit sekuntum bunga bersama,” kata remaja yang berasal dari Shah Alam ini.

Peminat misteri itu turut mencetak gambar Syawal dan menyertakannya bersama nota kepada remaja itu.

Menurut Syawal, dia membuat perkongsian itu di laman Twitter kerana mahu meluahkan perasaan di samping untuk mencari siapa gerangan peminat misteri berkenaan.

“Tak sangka ia tular sebab saya sekadar nak berkongsi dengan pengikut saya sahaja. Namun, ramai yang komen dan Direct Message (DM) meminta saya berhati-hati.

“Ada yang minta saya berhenti muat naik sebarang gambar di media sosial untuk elakkan perkara yang lebih buruk. Saya terharu sangat kerana rata-rata yang beri komen dan nasihat itu adalah strangers namun nampak mereka ambil berat,” katanya yang merupakan anak tunggal.

Walaupun agak takut dengan nota kedua kerana siap ajak jumpa di tepi tandas dan nak ajak 'check-in' hotel, tapi saya fikir kalau kali ketiga dapat nota, baru saya nak beritahu ibu bapa.

MUHD SYAWAL ABDULLAH

PELAJAR

Dalam pada itu kata Syawal, dia tidak memberitahu mengenai perkara tersebut kepada kedua-dua orang tuanya, dan hanya akan berbuat demikian sekiranya keadaan semakin teruk.

“Walaupun agak takut dengan nota kedua kerana siap ajak jumpa di tepi tandas dan nak ajak 'check-in' hotel, tapi saya fikir kalau kali ketiga dapat nota, baru saya nak beritahu ibu bapa. Saya siap tak bawa beg ketika latihan semata-mata tak mahu ada orang letak surat dan sembur minyak wangi dekat beg.

Salah satu nota yang diterima Syawal daripada peminat misterinya.

“Namun pada Jumaat, saya dapat nota ketiga melalui seorang pelajar lain. Kata pelajar yang beri kepada saya, ada budak tingkatan satu yang berikan padanya dan minta disampaikan kepada saya, ia daripada pelajar tingkatan dua, tapi tak kenal.

“Bagaimanapun, dalam nota ketiga si penulis berkata dia dah tidak mahu ganggu saya lagi kerana sudah temui orang lain. Mungkin sebab dah viral tapi saya tak pasti, apa-apapun, saya bersyukur jika benar dia tak mahu ganggu lagi,” katanya.

Nota terakhir yang diterima Syawal pada Jumaat.

Tambah Syawal, pada usianya yang masih muda, dia enggan memikirkan soal cinta kerana mahu menumpukan kepada pelajaran memandangkan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

“Fokus saya sekarang hanya pelajaran dan sukan. Saya nak belajar sungguh-sungguh dan banggakan ibu bapa kerana sewaktu Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu, keputusan saya biasa-biasa saja. Lagipun kalau bercinta, susah untuk bahagikan masa,” katanya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain