suria

Kisah ‘lebihan lauk’ buat pemilik restoran rapat dengan 8 beradik kematian ibu, lebih tragis kini bapa mereka pula koma - “Saya tahu erti kesusahan”

Lapan beradik ini telah kehilangan ibu lebih setahun yang lalu, dan kini bapa mereka pula terlantar koma akibat virus kencing tikus.

“SUDAHLAH emak meninggal dunia, nak menumpang kasih ayah, ayah pula terlantar koma”.

Demikian kata seorang wanita yang menceritakan kisah sedih kehidupan lapan beradik yang kini hilang tempat bergantung selepas bapa mereka terlantar koma di hospital sejak Rabu lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Fazniza Razali berkata, bapa kepada lapan anak itu, Amran Isa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan akibat virus kencing tikus yang sudah merebak ke paru-paru dan buah pinggangnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh beradik berjaya genggam ijazah tapi 3 hari sebelum konvo adik bongsu, bapa mereka meninggal... petunjuk nak ‘pergi’ sejak tahun lepas!

ARTIKEL BERKAITAN: Tukar fikiran minta anak sulung tangguh exam penting, pulang jumpa adik... tepat naluri ibu - “Dia seolah-olah menunggu bertemu saya”

Menurut Fazniza, isteri Amran meninggal dunia kira-kira setahun lalu kerana masalah berkaitan dengan usus.

“Sejak kematian isteri, Amranlah yang menjadi ibu dan bapa kepada anak-anaknya seramai lapan orang. Dia menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu lori.

Perkongsian Fazniza mengenai kisah lapan beradik ini meraih sehingga 1,000 perkongsian di Facebook.

“Kini apabila dia pula terlantar koma, anak-anak ini kehilangan tempat bermanja. Mujurlah adik kepada Amran yang bernama Rashid bersama isterinya tinggal di rumah abang mereka itu untuk menjaga anak-anak saudaranya.

“Sedih sangat apabila mengenangkan nasib anak-anaknya, tambahan yang bongsu baru berusia setahun lebih,” ceritanya dalam nada yang sayu.

Menurut wanita berusia 43 tahun ini, anak sulung Amran yang berusia 18 tahun dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak bekerja kerana menjaga adik-adiknya yang masih kecil.

Fazniza (kanan) ketika meluangkan masa melawat anak-anak serta ibu Amran (dua dari kiri) baru-baru ini.

“Ketika menemui anak-anak ini di rumah mereka untuk menyampaikan sumbangan orang ramai baru-baru ini, saya ada juga bertanya kepadanya mengenai rancangan menyambung pelajaran.

“Tapi dia hanya diam saja… mungkin dia tak sampai hati nak tinggalkan adik-adik dalam keadaan kesihatan ayah yang tidak begitu mengizinkan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Fazniza yang merupakan pemilik sebuah restoran di Seremban berkata dia terpanggil untuk berkongsi kisah keluarga Amran di media sosial kerana berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi meringankan beban mereka.

Ketika menemui anak-anak ini di rumah mereka untuk menyampaikan sumbangan orang ramai baru-baru ini,  saya ada juga bertanya kepadanya mengenai rancangan menyambung pelajaran. Tapi dia hanya diam saja… 

FAZNIZA RAZALI

PEMILIK RESTORAN

“Sebenarnya, saya kenal keluarga Amran menerusi seorang staf saya pada tahun lalu. Sebelum ini dia selalu bungkus lebihan lauk untuk dibawa pulang dan menyatakan mahu beri kepada sebuah keluarga. Menurut staf saya, dia kasihan melihat anak-anak kecil sebab mak mereka baru meninggal.

“Saya pun mengikutnya ke rumah keluarga tersebut. Dari situlah saya mengenali keluarga Amran. Ketika itu, isterinya baru saja meninggal dunia, anaknya yang bongsu baru berusia empat bulan.

Fazniza pernah membuat perkongsian mengenai kematian isteri Amran lebih setahun yang lalu. 

“Saya buat posting di Facebook kerana nak berkongsi kisah kesusahan hidup anak-anaknya. Saya juga pernah hidup susah, jadi saya tahu erti kesusahan itu. Mak dan ayah juga ajar, kalau tak dapat bantu dengan wang, kita bantu dengan cara lain,” ujarnya.

Menurut wanita itu, sejak dia membuat perkongsian di media sosial, ramai pihak tampil membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini.

Lapan beradik ini kehilangan ibu mereka lebih setahun yang lalu.

“Alhamdulillah, ramai yang prihatin. Ada yang beri sumbangan wang dan barang keperluan. Namun ramai juga yang hantar mesej di Facebook meluahkan simpati dan mahu ambil anak-anak ini sebagai anak angkat.

“Saya sampaikan perkara ini kepada Rashid, dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang beri bantuan, berkongsi posting. Cuma katanya, dia akan bertanggungjawab ke atas anak-anak abangnya dan takkan pisahkan mereka.

“Bagi pihak saya, saya juga nak ucapkan terima kepada yang sudi hulurkan bantuan dan salurkan sumbangan melalui akaun saya sebelum ini. Posting saya itu hanya bantuan kecil, mudah-mudahan ia menjadi asbab untuk kita semua mendapat pahala,” ujarnya mengakhiri bicara.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain