suria

Anak punya angkara pecahkan bangku, kehidupan tiga beranak terdedah... cikgu serba salah - “Patutlah selalu nampak comot”

Kedaaan kerusi yang dipecahkan murid lelaki tahun satu itu.

DEK kerana anak buat angkara di sekolah, seorang bapa sanggup meredah panas terik matahari dari Kuang menuju ke Gombak menggunakan motosikal buruknya.

Malah kehadirannya untuk berbincang dengan pihak sekolah mengenai kelakuan anaknya yang bertindak memecahkan bangku kantin akhirnya merungkai segala teka-teki mengenai kehidupan sebenar pemuda itu bersama dua anaknya.

Menerusi satu perkongsian di Facebook oleh seorang guru di sekolah berkenaan, anak kepada pemuda tersebut yang juga murid tahun satu di sebuah sekolah rendah di Gombak disifatkan sebagai hyperaktif.

ARTIKEL BERKAITAN:“Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu” - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar besar ‘bekas’ abang

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat ‘sisi’ lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

"Dua hari lepas, dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.

"Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. 

"Ini kerana mahu mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna," kata guru berkenaan.

Keadaan bangku kantin yang dipecahkan murid tersebut.

Malah, secara kebetulan murid itu juga merupakan adik kepada seorang murid perempuan yang mendapat perhatian guru berkenaan gara-gara tudung dan bajunya yang comot.

"Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.

"Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. 

"Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan. Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot," katanya.

Dalam posting itu, guru berkenaan meluahkan rasa terkejut apabila melihat sepasang kasut lusuh yang dipenuhi selut dan kotoran ketika mahu berjumpa bapa murid tahun satu itu.

"Ini kasut orang kerja buruh, getus hati aku. Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. 

"Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju. Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti di bawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.

Anak pemuda tersebut yang bersekolah di tempat sama.

"Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul di sebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya," katanya.

Meskipun bau badan pemuda itu tidak sewangi orang kerja pejabat, guru tersebut berkata dia tidak sesekali geli atau membuat muka tidak selesa semasa bertemu dengannya.

"Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.

Cikgu boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya. Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika.

GURU

"Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.

"Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin," katanya.

Sebelum pemuda itu beredar, pihak sekolah memaklumkan kerosakan yang dilakukan anaknya itu perlu diganti.

Namun jawapan pemuda itu benar-benar meruntun hati guru di sekolah berkenaan.

Posting seorang guru mengenai kisah sebak itu menjadi tular di media sosial sejak Selasa.

"Cikgu boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya. Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika.

"Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji. Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. 

"Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu. Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya," katanya.

Guru terbabit juga terkejut apabila pemuda itu memaklumkan dia datang dari Kuang selepas mendapat panggilan telefon dari sekolah.

"Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang. Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat.

"Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara," katanya.

Alangkah terkejutnya guru itu apabila dimaklumkan pemuda tersebut bahawa dia sudah pun berpisah dengan isterinya tiga tahun lalu.

Anak perempuan pemuda itu yang kelihatan tidak terurus semasa pergi ke sekolah.

"Patutlah. Patutlah. Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.

"Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.

"Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah. Kelu. Aku kelu sebenarnya," katanya yang terharu melihat pengorbanan pemuda itu membesarkan dua anaknya seorang diri.

Malah guru terbabit turut berhasrat menggantikan kerusi yang dirosakkan anak lelaki itu secara diam-diam selepas sebak dengan jawapan pemuda itu.

"Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati. Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti.

"Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu. Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. 

Reaksi netizen mengenai posting yang tular itu.

"Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul," katanya.

Pada masa sama, guru terbabit berharap agar kedua-dua anak pemuda itu menjadi anak yang berguna dan berjasa kepada bapanya suatu hari nanti.

"Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa. Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah," katanya.

Posting tersebut menjadi tular dan mendapat perhatian netizen.

Rata-rata meluahkan rasa simpati dengan nasib tiga beranak itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pecah bangku, bapa, anak, ADHD, Gombak, sekolah

Artikel Lain