suria

Muka anak disamakan macam bulan, ibu yang rasa ‘sakit’ nekad bawa gadis ini jumpa pakar - “Kali pertama rawatan, mereka picit jerawat saya”

Keadaan kulit wajah Nurul Afzan sewaktu sedang teruk ditumbuhi jerawat (kiri) dan keadaan terkini selepas beberapa bulan menjalani rawatan (kanak).

GADIS mana yang tidak mengimpikan kulit wajahnya licin bak telur dikupas?

Realitinya, walau hanya beberapa butir jerawat di muka, ia mampu membuatkan ramai gadis tertekan dan kemurungan.

Begitulah kisah dialami Nurul Afzan Ahmad Ali yang pernah berasa tertekan gara-gara keseluruhan wajahnya dipenuhi jerawat sehingga dirinya mengalami krisis kurang keyakinan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kata boleh kena sawan... lelaki dikecam minum 7 liter air sehari untuk kurus dedah dirinya sihat, boleh derma darah - “Ikutlah badan masing-masing”

ARTIKEL BERKAITAN: Turun 36kg! Gadis ini pernah digelar badak, dugong... tak sangka nak berkawan pun ramai pilih yang slim - “Saya cuba kurangkan nasi, hasilnya agak lambat”

Menerusi perkongsian di Twitter, gadis bernama Nurul Afzan mendedahkan masalah jerawat di kulit wajahnya berlarutan selama dua tahun sebelum dia akhirnya menemui penyelesaian.

Nurul Afzan turut memuatnaik beberapa gambar yang menunjukkan transformasi kulit wajahnya sehingga membuatkan ramai terpegun dengan perubahan tersebut.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Nurul Afzan mengenai transformasi kulit wajahnya di Twitter.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis berusia 20 tahun ini berkata, wajahnya mula dipenuhi jerawat sewaktu dia selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebelum itu wajah saya tiada masalah. Hanya selepas SPM jerawat naik. Mula-mula naik sikit-sikit sahaja dan saya cuma beli produk penjagaan kulit di kedai ubat.

“Ada produk yang okay tapi tak lama kemudian, jerawat naik juga. Disebabkan itu, saya bertukar-tukar produk mencari yang sesuai untuk kulit, tapi malangnya jerawat di muka bertambah teruk.

“Sampai satu tahap, saya pernah pakai topeng muka untuk ke kuliah dan tempat awam sebab rasa kurang keyakinan diri. Walaupun cuba bersolek, namun jerawat itu tetap jelas kelihatan. Lebih tertekan, jerawat yang tumbuh itu sakit walaupun tidak disentuh,” kata gadis yang berasal dari Bera, Pahang ini.

Kulit wajah Nurul Afzan sewaktu mula-mula menjalani rawatan.

Gadis ini juga berkata, dia pernah ditegur oleh rakan-rakan mengenai masalah jerawatnya sekali gus membuatkan tahap keyakinan dirinya semakin rendah.

“Ada rakan yang pernah bertanya ‘kenapa muka macam bulan?’  tapi saya hanya diam, padahal dalam hati memang sedih. Pernah sekali ketika saya muat naik gambar di Instagram untuk minta pendapat rakan followers mengenai tips hilangkan jerawat, ada beri komen yang tak sepatutnya.

“Saya tak tahulah dia bergurau atau tidak, tapi kemudian saya ambil keputusan untuk padam kebanyakan gambar di Instagram sampai keluarga perasan. Bila ada yang tanya, saya cuma jawab sebab kurang keyakinan diri sahaja,” kata Nurul Afzan.

Gadis yang kini menuntut di sebuah politeknik di Kuantan, Pahang ini berkata, secara keseluruhannya dia membelanjakan lebih RM1,000 untuk merawat masalah jerawat di wajahnya itu.

 Saya tak tahu lah dia bergurau atau tidak. Tapi kemudian saya ambil keputusan untuk padam kebanyakan gambar di Instagram sampai keluarga perasan.

NURUL AFZAN AHMAD ALI

“Dari 2018 saya mula beli pelbagai produk dan saya pernah jalani rawatan di sebuah klinik kulit yang menelan kos RM600, tapi langsung tiada perubahan hinggakan saya berputus asa.

“Ibu tak tahan lihat saya asyik mengadu dan menangis. Dia ajak saya pergi jumpa pakar kulit, ketika itu November 2019. Pada mulanya saya menolak sebab dalam kepala dah fikir ‘bukan elok pun’, tapi ibu ajak juga.

“Kali pertama rawatan, mereka picit jerawat saya, memang sakit. Kemudian muka disapu serum. Alhamdulillah, dalam tempoh sebulan dah nampak perubahan. Jadi sekarang saya hanya perlu dapatkan rawatan sebulan sekali dan juga makan ubat dari klinik kerajaan,” katanya sambil menambah, dia turut berpantang dari segi pemakanan.

Antara komen netizen yang mengkagumi transformasi kulit wajah Nurul Afzan.

Menurut Nurul Afzan, sejak membuat perkongsian mengenai transformasi wajah di laman sosial, dia menerima banyak mesej menerusi Direct Message (DM) daripada mereka yang turut mengalami masalah sama seperti dirinya sebelum ini.

“Saya faham perasaan mereka kerana saya juga pernah mengalaminya. Ada yang tanya mengenai produk, pasal rawatan dan pengalaman. Tak kurang juga ada yang minta doakan agar kulit mereka kembali pulih.

“Kepada orang di luar sana, usahlah tegur atau beri komen yang tak elok jika ada rakan berjerawat. Anda tak tahu apa yang dilaluinya, betapa struggle untuk dia dapatkan rawatan dan sebagainya. Sepatutnya sebagai rakan atau orang terdekat, berilah sokongan,” katanya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
jerawat, keyakinan diri, bulan, IG, rawatan

Artikel Lain