suria

Nak gelapkan ‘background’ gambar pengantin, jurufoto ternampak pula akak rambut panjang... dah 2 kali enter-frame - “Memang tingkat dua tu laluan dia”

Perkongsian seorang jurufoto bebas yang memaparkan imej entiti misteri ketika melakukan penggambaran di Kellie's Castle, menjadi tular di media sosial.

“TEMPAT ni memang keras.”

Demikan komen netizen terhadap perkongsian seorang jurufoto yang memuatnaik sekeping gambar memaparkan kelibat entiti misteri yang kelihatan bersama pengantin sewaktu menjalani penggambaran di Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak baru-baru ini.

Dalam perkongsian tersebut, kelihatan kelibat satu sosok entiti berambut panjang dan berpakaian putih seakan-akan bersembunyi di belakang pengantin perempuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ada deria ke-6 terkena gangguan mistik,histeria - “Tiba-tiba katil yang tak ada orang itu bergoyang”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cedera parah keluar suara wanita tua selepas pembedahan - “Ada seseorang muncul waktu Maghrib”

Sungguhpun tidak sepenuhnya kelihatan, kemunculan sosok misteri itu sudah cukup membuatkan netizen meremang tambahan pula umum mengetahui, Kellie's Castle sememangnya mempunyai kisah seramnya tersendiri.

Berkongsi cerita dengan mStar, jurufoto yang terlibat dalam penggambaran tersebut berkata, dia pada mulanya tidak mengesyaki wujud sesuatu yang pelik pada gambar tersebut memandangkan sudah membuat suntingan terhadap kebanyakan gambar yang diambil di lokasi yang sama, beberapa hari sebelumnya.

Perkongsian seorang jurufoto bebas yang menunjukkan penampakan satu entiti pada gambar pengantin ketika melakukan penggambaran di Kellie's Castle, baru-baru ini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ijoy berkata, hanya ketika melakukan suntingan kali kedua pada Rabu lalu, dia menyedari kelibat entiti misteri itu wujud pada salah satu gambar hasil bidikannya.

“Saya edit gambar tu hari Rabu. Gambar-gambar lain sudah diedit pada Isnin... Rabu tu yang tiba-tiba nak edit lebih pula. Saya gunakan teknik 'Dodge and Burn' iaitu menggelapkan bahagian latar belakang.

“Pada mulanya saya pun tak perasan. Tapi selepas zoom, ternampak sesuatu. Dalam kepala fikir 'Eh apa benda pula ni?'. Kemudian saya save dan saja kongsikan dengan rakan di Facebook. Tujuannya sekadar nak berkongsi saja, tiada niat nak viral atau sebagainya.

“Saya pun tak tulis apa sebenarnya entiti tersebut, hanya tulis 'akak baju putih rambut panjang'. Tapi tak sangka ia viral,” ujarnya.

Gambar asal sebelum disunting, di mana entiti tersebut masih boleh dikesan di belakang pengantin perempuan.

Menurut Ijoy yang sudah enam tahun berkecimpung sebagai jurufoto sambilan, ini adalah pengalaman kali kedua di mana entiti misteri 'menceroboh' di dalam gambar pengantin yang diambil di Kellie's Castle.

“Kali pertama adalah pada September 2017. Ketika itu penggambaran dilakukan ketika waktu melawat hampir tamat, sekitar jam 6 petang dan siren juga sudah dibunyikan. Ketika itu memang pelawat tak ada dah di tingkat dua.

“Jadi saya turun dahulu dan nak shoot gambar pengantin, di mana mereka di tingkat dua dan saya dari bawah, tujuannya nak tunjuk keseluruhan bangunan. Tapi bila sampai ke proses suntingan, baru nampak kewujudan satu entiti yang seakan-akan merenung ke bawah.

“Yang baru-baru ini pun sama. Saya ambil gambar pengantin yang posing di tingkat dua, dari sudut bawah. Waktu penggambaran ketika itu lebih kurang jam 1.30 tengah hari. Sejujurnya, ketika di lokasi, tiada pengalaman aneh yang dialami.

“Hanya selepas suntingan, baru perasan entiti-entiti ini. Tapi kalau ikut kenyataan yang ditampal pada dinding bangunan itu, memang ia menyatakan bahawa tingkat dua adalah laluan penghuni asalnya iaitu William Kellie-Smith,” kata jurufoto berusia 35 tahun ini.

Tambah Ijoy lagi, dia tidak menyangka perkongsiannya itu menjadi tular dan menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada netizen.

Ada yang kata ia strategi pemasaran la, dan sebagainya. Ikhlasnya, sebagai jurufoto, adalah menjadi tugas saya untuk mencantikkan gambar. Buat apa saya sengaja nak letak 'benda' itu.

IJOY

JURUFOTO BEBAS

Di kala ramai yang 'meremang' melihat gambar entiti tersebut, tidak kurang juga ada netizen yang menuduhnya sengaja mencari publisiti dan menggunakan gambar tersebut sebagai salah satu strategi pemasaran.

“Ada yang kata ia strategi pemasaran la, dan sebagainya. Ikhlasnya, sebagai jurufoto, adalah menjadi tugas saya untuk mencantikkan gambar. Buat apa saya sengaja nak letak 'benda' itu. Itu bukan caranya, saya tidak akan gunakan strategi seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, ramai yang memberi mesej di Facebook dan berkongsi pengalaman misteri mereka.

Dua gambar hasil bidikan Ijoy yang 'diceroboh' entiti misteri, iaitu pada 2017 (kiri) dan peristiwa terbaru hujung minggu lalu (kanan).

“Ada yang kongsi cerita, anaknya demam selama sebulan selepas pulang dari melawat Kellie's Castle. Dalam pada itu, ada juga yang beri nasihat suruh baca ayat-ayat Al-Quran kalau pergi tempat sembarangan.

“Kalau diikutkan, saya sudah beberapa kali juga buat penggambaran pengantin di sana. Yang lain-lain okay, tapi hanya dua kali saja terkena. Apa yang saya boleh katakan, kita di bumi ini hidup dengan makhluk lain juga, cuma hanya tak nampak sahaja.

“Nak kata serik, mungkin tidak kerana ini salah satu sumber rezeki saya. Kita niat ikhlas nak cari rezeki. Mungkin selepas ini perlu lebih beringat,” ujarnya mengakhiri bicara.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain