“JANGAN risau, rumah Atam sentiasa terbuka untuk kakak dan adik-adik semua” Itu janji Rasit Isa kepada lapan anak saudaranya selepas bapa mereka yang juga abangnya, Amran menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Kisah ‘lebihan lauk’ buat pemilik restoran rapat dengan 8 beradik kematian ibu, lebih tragis kini bapa mereka pula koma - “Saya tahu erti kesusahan” ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... Ibu menyusul selepas 42 hari bapa meninggal dunia, anak bongsu puas dapat mandikan dua jenazah Amran meninggal dunia di sebuah hospital di Negeri Sembilan selepas sembilan hari terlantar koma akibat jangkitan kuman pada paru-paru yang berpunca daripada virus kencing tikus. Menurut Rasit, pemergian Amran benar-benar meninggalkan kesan buat kelapan-lapan anak saudaranya, apatah lagi bapa tersayang menyusuli ibu mereka yang meninggal dunia pada September 2018 akibat masalah berkaitan usus. Anak-anak saudara Rasit tidak dapat menahan tangisan ketika menatap wajah jenazah bapa mereka. mStar sebelum ini pernah melaporkan kisah sedih lapan adik beradik yang terpaksa menumpang kasih bapa saudara sewaktu bapa mereka terlantar koma di hospital. Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Rasit berkata buat sementara waktu, kesemua lapan anak saudaranya itu kini tinggal bersamanya di Senawang, Negeri Sembilan. Sedih sangat mengenangkan anak-anak saudara saya ini. Setahun lalu, ibu mereka menghadap Ilahi, kini bapa tempat bergantung pula menyusul. RASIT ISA BAPA SAUDARA “Kalau nak diikutkan, arwah abang pernah memberi gambaran dia tak mahu anak-anaknya dipisahkan. Tapi sekarang kami masih berbincang memandangkan keluarga arwah ibu mereka di Triang, Pahang ada menawarkan bantuan untuk menjaga sebahagian daripada lapan beradik ini. “Buat masa ini, anak-anak saudara semua tinggal di rumah saya. Mereka semua rapat dengan saya. Saya tidak kisah langsung sekiranya mereka semua mengambil keputusan untuk tinggal bersama saya. Saya dan isteri akan sambung amanah menjaga mereka,” katanya. Lapan adik beradik ini kini menjadi yatim piatu. Allahyarham Amran dikebumikan pada Jumaat di tanah perkuburan yang sama dengan arwah isterinya, Zalifah Abdul Wahab, di Triang, Pahang. “Sedih sangat mengenangkan anak-anak saudara saya ini. Setahun lalu, ibu mereka menghadap Ilahi, kini bapa tempat bergantung pula menyusul. "Tambah-tambah lagi melihatkan anak bongsu arwah yang berusia setahun lebih. Ada juga masanya dia tercari-cari kelibat ayahnya. “Kakak serta abang yang sudah mengerti, semestinya mereka sedih. Saya sebagai bapa saudara hanya beri kata-kata semangat buat mereka. Saya katakan kepada mereka ‘kita kena reda, ini ujian Allah untuk kita’. Ibu kepada lapan beradik itu meninggal dunia pada September 2018 kerana masalah berkaitan usus. “Selebihnya, saya minta mereka sedekahkan Al-Fatihah kepada kedua-dua orang tua mereka. Setakat ini, saya bawa mereka pulang ke rumah yang diduduki bersama arwah untuk ambil barang atau jika ada keperluan. Pastinya kalau duduk di sana, mereka akan rindu dengan arwah mak dan ayah mereka,” ujar lelaki berusia 30 tahun ini lagi. Dalam pada itu Rasit juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan menghulurkan bantuan buat anak-anak saudaranya itu. “Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sumbangan daripada A hingga Z. Hanya Allah saja yang dapat membalasnya,” ujarnya lagi. Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, boleh hubungi Rasit di talian 013-307 1677.