KISAH sebuah rumah tinggalan di Batu 10, Tanjong Karang berdekatan Kuala Selangor tiba-tiba tular di media sosial berikutan penemuan mayat seorang lelaki petang Khamis lalu. Lelaki tersebut yang dipercayai meninggal dunia sebulan lalu ditemui susulan nota misteri yang diletakkan dalam peti surat surau di Batu 11 daerah berkenaan. Malah kisah misteri rumah peninggalan arwah Cikgu Jumbri itu turut didedahkan seorang pemuda yang juga anak jati Tanjong Karang di Twitternya. ARTIKEL BERKAITAN: Pondok buruk jadi gerai sate waktu malam... Ramai orang dah terkena! Jangan berhenti jika lalu jalan Pasir Mas-Salor ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula misteri tapi ending kisah 'penjaga' rumah halau benda tak baik guna penyapu lain macam - “Esoknya jadi botak... tak tahu nak gelak ke seram” Perkongsian Azrul Naim mengenai misteri rumah tersebut selepas penemuan mayat itu mendapat lebih 24,000 ulang kicau dan 26,900 tanda suka. Pemuda berusia 23 tahun itu ketika dihubungi mStar meluahkan rasa terkejut dengan penemuan mayat yang sudah mereput tetapi tidak berbau itu. Mayat lelaki warga Indonesia dipercayai sudah berada di rumah terbabit sejak sebulan lalu. "Saya sendiri pun pelik sebab pagi tu (Khamis) saya beli nasi lemak dekat gerai betul-betul depan rumah tu. "Bila petang tu dapat tahu ada mayat dalam rumah tu, saya sendiri macam tak percaya sebab pagi tadi saya lalu macam tak ada apa-apa. "Selalu kalau mayat dah lama mesti akan berbau tapi mayat ni tak bau apa. Jiran sebelah rumah tu pun cakap memang tak de bau apa-apa. "Itu yang buat orang kampung bertambah pelik dan kes itu disifatkan sebagai misteri. Semua orang masih tertanya-tanya terutamanya individu yang menulis nota misteri tu," katanya. Namun Azrul berkata dia mengenali lelaki warga Indonesia yang meninggal dunia itu kerana pernah beberapa kali terserempak dengannya sebelum ini. "Saya pernah nampak arwah. Dia memang jenis peramah dan baik. Kadang-kadang dia selalu pergi masjid. Posting Azrul tular di Twitter. "Setahu saya selepas kematian Cikgu Jumbri rumah tu dah berpindah milik. Lepas tu pemilik baru upah lelaki itu untuk jaga rumah tu," katanya. Menurut Azrul, rumah itu sudah tidak berpenghuni sejak sekian lama dan mempunyai beberapa kisah misteri yang menyeramkan. "Selepas Cikgu Jumbri meninggal ada satu famili beli rumah tu. Pembeli tu ada anak kecil tetapi yang peliknya setiap malam anak dia akan demam dan kena kacau. "Jadi famili tu pun tak duduk situ dah. So start dari situ ramai penduduk nampak ada 'benda' kat rumah tu. Siapa je yang duduk kat situ memang kena kacau. Orang kampung pun cerita setiap kali lalu rumah tu mereka rasa seram. Selalu kalau mayat dah lama mesti akan berbau tapi mayat ni tak bau apa. Jiran sebelah rumah tu pun cakap memang tak de bau apa-apa. AZRUL NAIM. "Rumah tu nampak biasa je dari luar tapi naluri hati kita tak sedap setiap kali tengok rumah tu. Sebab kita tengok macam ada sesuatu kat situ. Lagipun rumah tu dah tak berpenghuni sampai sekarang," katanya. Tambah Azrul lagi, dia sendiri pernah dimaklumkan seorang mat salih yang sempat menyewa di kediaman itu selama beberapa hari bersama isterinya mengenai pengalaman mereka sepanjang berada di rumah tersebut. "Setiap kali saya lalu depan rumah tu saya selalu nampak mat salih tu lepak kat tangga. Beberapa hari kemudian tengok rumah tu kosong balik. Kebetulan saya terjumpa dia dekat kedai mamak dan tanya sendiri kat dia. Penemuan mayat tersebut masih lagi menimbulkan tanda-tanya di kalangan penduduk di situ. "Sebenarnya mat salih dan bini dia tu backpacker. Mereka sewa tiga hari. Sepanjang tinggal di situ mereka selalu kena kacau. Dia cakap rumah tu ada makhluk yang menyeramkan," katanya. Namun apa yang masih menjadi tanda tanya Azrul sehingga hari ini adalah isteri dan anak-anak arwah Cikgu Jumbri. "Arwah meninggal dalam keadaan tragis. Tapi ramai tertanya-tanya status anak bini dia sehingga hari ini. Ada kata masih hidup ada kata sebaliknya. "Tapi saya difahamkan rumah itu dijual sekitar 1990-an oleh saudara mara arwah sebab mereka pun tak nak tinggal dekat situ. Mungkin selalu kena ganggu juga, tu yang jual," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan kejadian penemuan mayat lelaki berusia lingkungan 60-an itu dan kes disiasat sebagai mati mengejut.