TERCICIR barangan peribadi terutama dompet pasti menjadi igauan ngeri buat sesiapa saja yang pernah mengalaminya. Manakan tidak, kalau dah tercicir biasanya peluang untuk menjumpai semula barangan itu pasti 50/50. Namun berlainan pula kisah dialami seorang wanita yang dipertemukan semula dengan dompetnya kurang tiga jam selepas barang berharganya itu hilang. ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa dompet berisi RM1,200, lelaki cerdik ini pilih hanya ‘curi’ data sebelum maklumkan pemiliknya - “Dengar ayat tersebut, lagilah buat saya menangis” ARTIKEL BERKAITAN: Selepas setahun hilang, gadis temui semula wang RM10 pemberian ayah - “Malangnya, itu kali terakhir saya bertemu dengannya” Menurut Komalah Rajah, dia menyedari dompetnya tercicir sebaik tiba di sebuah stesen minyak di Taman Mutiara Sg Knob, Karangan, Kedah kira-kira pukul 6 petang Sabtu. "Waktu tu saya dengan adik naik motosikal pergi stesen minyak. Saya tak perasan dompet tercicir sewaktu dalam perjalanan. "Bila sampai di stesen minyak tu baru saya perasan dompet tak ada. Lepas tu saya dan adik cari dekat jalan yang kami lalu tadi tapi malangnya tak jumpa. "Saya juga tanya di kaunter stesen minyak kalau ada yang ternampak dompet saya tercicir di situ, tapi tak ada juga," katanya kepada mStar. Mie Ida membuat posting dompet milik Komalah di Facebook. Namun sebaik sahaja selesai membuat laporan polis di balai polis Sg Kob, Komalah berkata dia tiba-tiba menerima mesej daripada kawannya menerusi Facebook Messenger. "Kawan beritahu ada orang jumpa dompet saya. Segera saya maklumkan kepada pegawai polis yang tengah baca report saya. "Jadi dia pun cancel report tu. Lepas tu saya terus call orang yang jumpa dompet saya tu," katanya. Komalah berkata dia pergi bertemu lelaki tersebut di sebuah sekolah selepas selesai menghubunginya kira-kira pukul 7.45 malam. "Saya contact abang tu sebab dia beri nombor telefon dia dekat post di Facebook. Tapi dia cakap dah pergi kerja. "Jadi dia minta saya ambil di sekolah. Mula-mula saya ingatkan dia cikgu tapi tak sangka abang guard rupa-rupanya. "Dia beritahu jumpa dompet saya dekat simpang masuk ke stesen minyak yang saya lalu bersama adik petang tu," katanya. Komalah turut mengucapkan terima kasih kepada Mie Ida di Facebooknya. Pada masa sama, wanita berusia 30 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana masih ada orang yang bersikap jujur dan baik hati pada zaman sekarang. "Mula-mula tu rasa sedih sebab duit lebih RM200, lesen, kad bank dan IC semua dalam tu. Kebetulan dompet tu saya baru beli dua minggu lepas. "Bila dapat balik tu rasa lega sebab bukan senang nak buat balik semua kad yang hilang. Saya percaya humanity still exist. Jadi dia minta saya ambil di sekolah. Mula-mula saya ingatkan dia cikgu tapi tak sangka abang guard rupa-rupanya. KOMALAH RAJAH "Bukan senang nak jumpa orang jujur macam ni. Wang, IC dan kad bank saya masih dalam dompet tu, tak terusik. Syukur sebab dompet saya ditemui tangan orang yang beriman," katanya. Sementara itu, Komalah turut berterima kasih kerana kuasa viral dapat mempertemukannya semula dengan dompet tersebut. "Terima kasih kepada orang ramai yang mesej saya dekat FB inform pasal dompet saya yang tercicir. Reaksi netizen terhadap sikap jujur Mie Ida. "Tidak lupa terima kasih juga kepada abang guard yang jumpa dompet saya tu. Semoga Tuhan memberkati kamu. "Bagi saya bila kita menghadapi masalah dan bangsa lain pula tolong kita, saya rasa tak wujud isu rasis pun sebenarnya dalam negara kita," katanya. Rata-rata netizen memuji sikap jujur lelaki menjumpai dompet tersebut yang dikenali sebagai Mie Ida. "Terbaik tuan. Kamu betul-betul orang yang baik dan jujur. Semoga dimurahkan rezeki," tulis Ooi Kee Beng. "Inilah tugas mulia pengawal keselamatan. Semoga beliau dilimpahkan rezeki," kata Muhammad Sufiyan. "Masih ramai yang berhati mulia tidak kira apa bangsa. Hormat-menghormati sesama kita," kata Mohd Khairul.