suria

Selepas kejadian anak tak balik 2 hari diserang lipas terbang, ibunya kini lebih aman di tandas - “Tak peduli langsung ibu tengah buang air”

Sekumpulan lipas sedang makan serbuk racun yang diberikan Salem. Foto ihsan Salem

RAMAI sebenarnya yang takut dengan lipas terutama apabila serangga perosak itu terbang! Kaum lelaki yang nampak macho habis pun ada yang menggelabah berdepan dengannya.

Mereka yang takutkan lipas dipanggil Katsaridaphobia dengan simptom-simptom seperti kadar denyutan jantung tinggi, menangis atau menjerit, serangan panik dan kebimbangan melampau.

Pengalaman seorang lelaki di laman Twitter berdepan dengan lipas sewaktu mahu membuang air kecil di tandas memang melucukan dan mendapat perhatian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Terbantut selera! Spageti aglio olio hampir licin, baru nampak lipas sembunyi dalam kupang

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan serumah bingung lipas tak mau lari, penyewa pengotor jumpa pakar psikologi!

“Tadi nak kencing tiba-tiba ada seekor lipas. Kemudian teringat hari tu ada beli racun lipas. Baru letak satu minit dah jadi macam ni. Okay lipas, tandas ni anda punya dan tak payah bayar sewa. Saya akan buat tandas lain,” tulisnya di laman sosial dengan memuat naik video menunjukkan sekumpulan lipas ‘menyerbu’ serbuk racun yang diletakkannya di tandas.

Perkongsian seorang pemuda yang takutkan lipas.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan memberitahu, kejadian berlaku di tandas rumahnya di Kuala Lumpur, lewat malam Jumaat lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Salem, lelaki itu berkata pada mulanya dia nampak seekor lipas keluar dari lubang celah kayu di tepi pintu tandas rumahnya tetapi serangga itu tidak mahu berganjak selepas dihalau.

“Saya beranikan diri dan buang air kecil cepat-cepat, nasib baik lipas tak terbang. Selepas melepaskan ‘hajat’, saya rasa tak puas hati sebab lipas tu tak masuk semula ke dalam lubang.

“Saya teringat sahabat baik saya ada beri racun lipas. Ikutkan hati saya nak sembur je dekat lubang lipas tu tapi takut nanti banyak yang terbang.

“Mengenai racun tu pula, pada mulanya saya tak berapa yakin sebab nampak macam serbuk biasa. Selepas tabur dekat lubang lipas tu saya masuk bilik untuk tidur sebab dah lewat malam,” katanya kepada mStar.

Semakin banyak lipas keluar dari lubang di tepi pintu tandas.

Namun apa yang mengejutkan Salem apabila ibunya yang menggunakan tandas sama selepas beberapa minit mendedahkan sesuatu telah berlaku.

“Selang beberapa minit emak keluar tandas dan kata ‘Salem, kau letak apa dekat lubang lipas tu? Ada lima ekor tengah kerumun dan tak peduli langsung ibu tengah buang air’.

Tak tahu lipas-lipas ni pergi mana, bilik saya sudahlah dekat saja dengan tandas. Seram juga, tapi takkan nak ‘pecahkan’ rumah ni nak tahu lipas tu pergi mana.

SALEM

“Saya amat terkejut sebab bagi saya dua ekor pun dah banyak inikan lima ekor entah datang dari mana. Saya bergegas ke tandas nak tengok, saya buka pintu sipi-sipi saja sebab takut sangat.

“Rupa-rupanya bukan lima ekor, tapi lebih 15 ekor! Ingatkan masa saya buka pintu, lipas-lipas ni akan bertempiaran lari tapi sebaliknya berlaku. Mereka diam, senyap dan terus makan seperti khayal dengan makanan tu,” ujarnya sambil menambah serbuk tersebut licin dimakan lipas dalam tempoh 30 minit dan kebanyakan lipas masuk semula ke dalam lubang.

Antara komen netizen mengenai video lipas.

Menurut Salem, apa yang menjadi misteri apabila selepas dua hari kejadian, masih tiada bukti kesemua lipas telah mati tetapi pada masa, tiada seekor lipas pun yang dilihat berkeliaran.

“Kejadian seperti ini pertama kali berlaku sebab tak sangka banyak sangat lipas. Sebab biasa yang keluar seekor atau dua ekor saja.

“Tak tahu lipas-lipas ni pergi mana, bilik saya sudahlah dekat saja dengan tandas. Seram juga, tapi takkan nak ‘pecahkan’ rumah ni nak tahu lipas tu pergi mana,” ujarnya.

Tiada lagi kehadiran lipas di dalam tandas.

Mengulas lanjut, Salem yang bertugas sebagai programmer teknologi maklumat (IT) mengimbas kembali pengalaman ‘mengerikan’ bersama lipas.

“Masa tidur saya mimpi rasa ada lipas kat telinga. Lepas je bangun dari mimpi dan buka mata saya terus tepis telinga dan memang ada lipas kat telinga saya, ya Allah... memang seram.

“10 tahun dulu saya sembur racun dekat lubang tandas yang sama tu, kemudian semua lipas keluar dan terbang. Dua hari saya tak balik rumah sebab kejadian tu.

“Sebab tu saya tak sembur lagi, saya gunakan serbuk ni pula. Tapi selepas sembur bertahun-tahun juga tak nampak lipas. Sebab tu saya terkejut bila lipas banyak macam ni.

“Sekarang nak masuk tandas sentiasa berjaga-jaga. Mana tahu ada ‘serangan hendap’. Memang saya takut lipas, orang gila saja yang tak takutkan lipas,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain