suria

“Dia seorang lelaki secara biologinya...” - Bertelekung tunai umrah di Makkah, menteri teliti ‘perjanjian’ agensi pengembaraan dengan Sajat

Sajat menunaikan umrah bersama keluarga dan dua anak angkatnya.

KERAJAAN kesal dengan tindakan usahawan terkenal, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang berpakaian seperti wanita semasa mengerjakan ibadah umrah di Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan Sajat bersama beberapa individu lain itu telah mencemarkan imej Islam.

“Dia telah menjejaskan satu imej yang dalam IC (kad pengenalannya) sebagai seorang lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya pergi ke Makkah, saya difahamkan masa naik flight semuanya elok pakai sebagai lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ia cukup aib! Maruah dan aurat wanita di Makkah boleh tercemar” - PU Amin bimbang Sajat tunai umrah berpakaian wanita

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Jakim Dedah Identiti Sajat

“Tapi bila sampai di Makkah dia berpakaian telekung macam wanita. Semuanya, pergerakan dan tempat yang dia pergi, tempat dia sembahyang adalah bersama dengan (jemaah) wanita,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sajat menimbulkan kontroversi apabila memakai pakaian wanita di Makkah. -foto THE STAR

Mujahid berkata, beliau menerima aduan tindakan Sajat itu menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan jemaah di sana.

“Orang yang menyaksikan peristiwa itu menyatakan rasa tidak puas hati kerana dia telah menceroboh ruang yang sudah ditentukan ke atas wanita dengan berpakaian sedemikian rupa.

“Saya kesal dengan perbuatannya dan masih menunggu laporan-laporan yang berkaitan, saya difahamkan dia masih berada di Makkah,” katanya.

Mujahid berkata, pihaknya juga kesal dengan agensi pengembaraan yang membawa Sajat yang sepatutnya mengambil langkah awal sebelum berlakunya keadaan seperti ini.

Sajat bertelekung di Tanah Suci.

Jelas Mujahid, beliau akan mendapat butiran secara terperinci mengenai agensi pengembaraan yang membawa rombongan Sajat ke Tanah Suci.

“Ini satu perkara yang amat kita kesal apabila pihak agensi pengembaraan ini sepatutnya sudah sedia maklum bahawa Sajat ini adalah individu yang agak kontroversi.

“Bagaimana... saya tidak tahu apa janji dia kalau dibawa pergi umrah, untuk tidak menimbulkan perkara-perkara sensitiviti.

“Saya amat kesal sudahlah perbuatan dia itu menjejaskan imej, dipaparkan pula dalam Instagram, seolah-olah perkara itu tidak ada kesalahan... saya bercakap dari segi Islam, bukan dari segi hak asasi manusia,” katanya.

Mujahid berkata agensi pengembaraan seharusnya mengambil tanggungjawab awal membuat penelitian sebelum berlakunya isu sensitif melibatkan jemaah di bawah kendalian masing-masing.

"Saya rasa agensi paling utama, dia yang patut membuat satu penelitian bahawa sesuatu tindakan tu tak boleh jejaskan sensitiviti.

"Itu memang tanggungjawab awal dalam kalangan agensi pelancongan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain