suria

Kenduri kahwin jadi majlis reunion, meremang momen pengantin dijulang bersama lagu ‘ritual’ - “Mereka struggle ‘gila’ angkat saya”

Wajah ceria pengantin ketika dijulang rakan-rakannya pada majlis perkahwinan. Foto Azyan Syazwani and team/Instagram @azyn_

MEREMANG bulu roma apabila menonton video tular menunjukkan seorang pengantin dijulang sekumpulan anak muda pada majlis perkahwinan.

Sambil menjulang pengantin, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu Standing In The Eyes of The World dendangan ratu rock negara, Ella.

Video berdurasi 45 saat yang dikongsi di laman Twitter @hazimhalimmmm pada Ahad lalu bukan sahaja menyuntik semangat pengantin dan rakan-rakannya serta tetamu majlis, malah menyentuh perasaan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa abang baju putih ‘naik sheikh’ atas pelamin? “Sejujurnya itulah saya... akaun Tik Tok pun saya tak ada”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya hati tisu, kena menyampuk untuk kasi mood happy” - Nyanyi lagu rap gaya Spiderman, pemuda ini buat kejutan di majlis kahwin sepupu

Pengantin lelaki, Fariz Azahar berkata, ia merupakan antara momen manis pada majlis perkahwinannya yang berlangsung TWH Glasshall, Forest Valley di Cheras, Selangor pada 8 Februari.

Momen saat lagu Standing In The Eyes of World dinyanyikan. Foto Azyan Syazwani and team / instagram @azyn_

Pemuda berusia 26 tahun itu memberitahu, sekumpulan anak muda yang menjulangnya itu adalah rakan-rakannya semasa belajar di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di Putrajaya.

“Kami merupakan satu batch yang dipanggil Warriors 0711 yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2011.

“Lagu Standing In the Eyes of The World merupakan lagu tema kami sejak dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.  Sebenarnya ia 'diturunkan' daripada senior kami batch Warriors 0307 (SPM 2007) dan kami meneruskan legasi mereka,” katanya kepada mStar.

Majlis perkahwinan Fariz dan pasangan pada 8 Februari 2020. Foto Foto Azyan Syazwani and team / instagram @azyn_

Sebaik tamat belajar sekolah menengah, Fariz yang berasal dari Ampang, Selangor itu berkata, mereka memutuskan untuk terus menghidupkan memori dengan mengekalkan budaya itu, menerusi perjumpaan semula atau reunion yang mana kebanyakannya dilakukan pada majlis perkahwinan dalam kalangan mereka.

Tambahnya, selain lagu berkenaan yang akan dinyanyikan beramai-ramai, mereka juga akan melakukan tarian haka sebagai penutup ‘ritual’ tersebut.

Apa yang mereka lakukan amat bermakna buat saya dan isteri. Saya berharap ukhuwah akan berterusan dan sentiasa berpegang kepada persahabatan ini.

FARIZ

“Sejak 2014 semasa rakan pertama kami mengadakan majlis perkahwinanya, kami sudah mulakan ‘ritual’ ini sebagai satu tradisi. 

“Sehingga sekarang termasuk majlis perkahwinan saya, ia merupakan majlis perkahwinan ke-30 antara kami satu batch. Majlis saya ada kira-kira 30 rakan yang datang,” ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Fariz mengenali isterinya sejak 2012. -Foto Azyan Syazwani and team/instagram @azyn_

Menurut Fariz, dia bagaimanapun tidak terkejut atau menangis semasa dijulang beramai-ramai ketika majlis kerana dapat mengjangkakan ‘ritual’ itu diteruskan.

“Kami berjaya mengekalkan hubungan ukhuwah sejak 2007. Bagi saya, momen khas ini menyerikan lagi memori manis yang dikongsikan bersama, dari zaman belajar sehingga ada yang sudah menimang cahaya mata.

“Terlalu banyak momen manis kami, dan apa yang penting kami mengharungi susah dan senang bersama-sama,” katanya.

Fariz dan isteri bersama sebahagian rakan SAS batch Warriors 0711. -Foto Azyan Syazwani and team/instagram @azyn_

Fariz yang merupakan seorang arkitek memberitahu momen indah bersama rakan-rakannnya itu membuatkan dirinya sebagai pengantin berasa amat terharu.

“Saya tak nervous pun, tapi mereka struggle ‘gila’ nak angkat saya yang masa tu pakai banyak aksesori pada baju pengantin.

“Buat rakan-rakan, terima kasih kerana hadir dan memeriahkan majlis. Apa yang mereka lakukan amat bermakna buat saya dan isteri.

“Saya berharap ukhuwah akan berterusan dan sentiasa berpegang kepada persahabatan ini,” ujarnya yang mengenali isterinya sejak 2012.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain