“KETIKA kami dalam perjalanan pulang ke Butterworth, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman… dalam hati berdoa agar ia bukan kemalangan melibatkan kakak”. Demikian kata Noorlyana Hassan mengimbas kembali detik ketika kakaknya, Zuriana Hassan ditimpa kemalangan awal pagi Ahad lalu. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 pagi di Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, berhampiran susur ke Perai di Bukit Mertajam, motosikal yang ditunggang oleh Zuriana bersama suaminya, Khairizul Mohamad Noor, 39, dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Perodua Alza. ARTIKEL BERKAITAN: Kisah ‘lebihan lauk’ buat pemilik restoran rapat dengan 8 beradik kematian ibu, lebih tragis kini bapa mereka pula koma - “Saya tahu erti kesusahan” ARTIKEL BERKAITAN: Koma 9 hari, bapa menyusul selepas ibu... Tinggallah 8 beradik ini - “Ada masa yang bongsu tercari-cari kelibat ayahnya” Menurut Noorlyana, dia bersama suaminya yang menunggang motosikal berasingan dan berada di hadapan kakaknya segera berpaling ke belakang sebaik terdengar bunyi dentuman tersebut. “Masa dengar tu, saya terkejut… dalam hati harap sangat bukan kakak. Tapi sebaik berpaling, saya nampak kakak sudah terseret manakala abang ipar pula tercampak di penghadang jalan. “Suami saya segera membunyikan hon untuk memberi isyarat kepada seorang lagi kakak saya yang menunggang motosikal berasingan bersama suaminya namun mereka tak perasan sebab agak jauh di depan… lalu kami hubunginya untuk patah balik ke belakang,” ujar wanita berusia 25 tahun ini kepada mStar. Noorlyana berkata, sewaktu dia memangku Zuriana, kakaknya itu masih sedar selepas dilanggar namun mengerang kesakitan. Zuriana bersama suami dan lima anak mereka. “Kakak masih sedar, dia boleh angkat tangan namun mengerang kesakitan. Dalam keadaannya separa sedar, saya minta kakak jangan tutup mata… minta dia ingat anak-anak. “Sementara itu abang ipar sudah meninggal dunia akibat cedera parah di kepala. Pemandu kereta itu pada mulanya cuba untuk melarikan diri namun suami saya sempat menariknya. “Memang ketika itu dapat hidu bau seperti minuman keras daripada mulut pemandu tersebut,” cerita Noorlyana. Zuriana kini ditempatkan di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Pulau Pinang dan masih belum sedarkan diri. Ada ramai yang telefon, WhatsApp tanya khabar anak-anak saudara… tak kurang juga ada yang suarakan mahu bantu memelihara anak-anak ini untuk dijadikan anak angkat. NOORLYANA HASSAN Menurut Noorlyana, kakaknya mengalami pelbagai kecederaan dalaman selain patah kaki kiri dan ‘lari’ tulang pinggul. Menceritakan detik sebelum kejadian malang itu berlaku, Noorlyana berkata mereka tiga beradik bersama suami masing-masing keluar makan bersama-sama di Georgetown selepas sekian lama hasrat untuk keluar bersama beberapa kali tertangguh. “Kakak saya Zuriana yang beria-ia ajak keluar. Jadi selepas anak masing-masing tidur, kami tiga beradik bersama suami masing-masing keluar agak lewat dan menunggang motosikal. “Tak sangka pula akhirnya jadi begini. Kami tiga beradik memang rapat antara satu sama lain. Selalu habiskan masa bersama-sama. Malah anak-anaknya seramai lima orang amat rapat dengan saya kerana saya menjaga mereka sejak kecil. “Bila jadi macam ni, sudah tentu anak saudara saya sangat sedih kerana mereka sudah besar dan mengerti apa yang terjadi. Hanya yang bongsu belum tahu apa-apa sebab usianya baru nak masuk dua tahun. Noorlyana berkata dia dan ahli keluarga yang lain sepakat untuk menjaga lima anak kakaknya dan tidak akan menyerahkan mereka kepada orang lain. “Saya katakan kepada mereka, kena kuat untuk mama. Malah saya juga bisik kepada kakak, dia kena kuat untuk anak-anaknya,” cerita ibu kepada dua orang cahaya mata ini. Dalam pada itu Noorlyana berkata, dia bersama keluarga sudah sepakat untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga lima anak kakaknya itu, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. “Ada ramai yang telefon, WhatsApp tanya khabar anak-anak saudara… tak kurang juga ada yang suarakan mahu bantu memelihara anak-anak ini untuk dijadikan anak angkat. “Saya sebagai ibu saudara mereka nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kerana prihatin. Namun untuk beri anak-anak ini kepada orang lain, tidak mungkin. Lagipun mama mereka masih ada dan pasti memerlukan mereka. “Jika apa-apa terjadi sekali pun, kami adik beradik sepakat untuk memelihara anak-anak saudara kami,” ujarnya mengakhiri bicara.