suria

Yuran tertangguh, berbaloi gadis ini jual gelang online sebab nak semak keputusan... ada subjek paling susah pun dapat dekan kali ketiga!

Pelajar UPSI, Rafhanah akhirnya dapat menyemak keputusannya selepas melunaskan tunggakan bayaran yuran pengajian menerusi hasil jualan gelang mutiara. Foto ihsan Rafhanah Manja@Ridzwan

PERASAAN seorang pelajar bercampur-baur apabila tidak dapat menyemak keputusan peperiksaan gara-gara masih belum melunaskan tunggakan bayaran yuran pengajiannya.

Bagaimanapun, selepas dua hari berusaha menjual gelang mutiara secara dalam talian, gadis berkenaan berjaya melunaskan tunggakannya, pada petang Jumaat lalu.

Namun, pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak itu masih belum dapat menarik nafas lega kerana semakan keputusan peperiksaan itu tidak dapat dibuat berikutan cuti hujung minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Yuran tertangguh malu nak minta mak ayah, nasib baik anak Tuaran ini kreatif... duit jual gelang penyelamat pelajar UPSI

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa dapat dekan 9 semester hampir mengalah, ayah tak pernah ucap tahniah... selepas 5 bulan meninggal dunia rahsia terbongkar!

Pelajar berkenaan, Rafhanah Manja@Ridzwan memberitahu, dia akhirnya dapat membuat semakan keputusan peperiksaan bagi semester empat pada pagi Isnin.

Rafhanah tidak dapat menyemak keputusan peperiksaan minggu lalu kerana terdapat tunggakan bayaran yuran pengajian.

Gadis berusia 23 tahun itu berkata, selain terpaksa menunggu beberapa hari untuk menyemak keputusan, dia juga berdebar memikirkan pencapaiannya dalam peperiksaan itu.

“Jujurnya, saya tak yakin akan dapat keputusan 'dekan' bagi semester kali ini sebab ada satu subjek yang paling susah. Ia mungkin akan memberi kesan kepada keputusan saya.

“Sebaik saya buat semakan, saya tak sangka dapat juga keputusan dekan. Pencapaian dekan selama tiga semester berturut-turut,” katanya kepada mStar dengan nada teruja.

Keputusan dekan yang diperoleh Rafhanah buat kali ketiga berturut-turut.

Rafhanah yang amat bersyukur dengan keputusan cemerlang itu berkata, kesabarannya menunggu selama beberapa hari amat berbaloi kerana tunggakan yuran diselesaikan dengan hasil titik peluh sendiri.

“Syukur Alhamdulillah, saya memang excited apabila dapat dekan lagi. Saya terus beritahu mak ayah mengenai keputusan itu dan mereka juga gembira dengan pencapaian saya.

“Mereka baru tahu mengenai usaha saya menjual gelang bagi membayar tunggakan itu sebaik kisah saya yang tular dilaporkan. Mereka cukup terharu dengan tindakan saya,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi) itu.

Gelang mutiara yang dijual Rafhanah secara dalam talian.

Walaupun mengusahakan bisnes gelang secara dalam talian, gadis yang berasal dari Tuaran, Sabah itu mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan dirinya fokus dalam pengajian.

“Saya perlu bahagikan masa sebaik-baiknya antara belajar dan bisnes. Apa jua yang saya lakukan, study perlu didahulukan.

“Kalau siang saya belajar, sebelah malam seperti 10 malam ke atas barulah saya uruskan hal bisnes sekiranya menerima tempahan. Ini termasuk hari yang tiada kelas dan hujung minggu.

“Belajar-belajar juga untuk teruskan cita-cita saya menjadi pensyarah, bisnes pun buat untuk tampung perbelanjaan... tapi rehat perlu secukupnya,” tambahnya.

Ibu bapa banyak memberi sokongan kepada Rafhanah.

Keputusan cemerlang tiga semester berturut-turut itu menyuntik semangat anak sulung daripada enam beradik untuk berusaha lebih gigih pada empat semester sebelum menamatkan pengajian di UPSI.

“Cabaran saya adalah untuk mengekalkan keputusan dekan pada semester akan datang. Saya mahu pointer lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Syukur, mak ayah memberi sokongan terhadap apa yang saya lakukan kerana mereka percaya saya dapat melakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh.

“Mak ada pesan jangan hanya fokus gelang saja, kena tumpukan pengajian juga untuk mendapat keputusan cemerlang yang membanggakan mak dan ayah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
UPSI, yuran, gelang, mutiara, Tuaran

Artikel Lain