suria

Solo Ambush bagi rating 3 bintang selepas buat live di rumah Cikgu Jumbri, dengar bisikan sebelum jumpa gigi - “Orang kampung perlu segera buat sesuatu”

Serpihan gigi yang ditemui berdekatan kawasan tilam semasa tinjauan Solo Ambush di rumah terbabit malam Khamis.

SEBUAH rumah tinggalan di Batu 10, Tanjong Karang berdekatan Kuala Selangor sekali lagi menjadi tumpuan ramai gara-gara kehadiran penjejak alam mistik, Solo Ambush.

Solo Ambush  atau nama sebenarnya Hanizamal Abu Hanifah melakukan siaran langsung menjejaki kewujudan 'penghuni' alam ghaib di rumah arwah Cikgu Jumbri itu, malam Khamis.

Siaran yang dibuat secara live menerusi Facebook selama dua jam itu mendapat lebih 800,000 tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Cikgu Jumbri terus misteri, selepas ramai kena kacau tiba-tiba penduduk pelik mayat mereput ditemui tapi tak berbau - “Mat salih yang sewa kata menyeramkan”

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri suara 'sini sini' tepi highway - "Naluri saya... 60 peratus dialah"

Menurut Hanizamal, kehadirannya ke rumah itu yang juga menjadi lokasi penemuan mayat seorang lelaki pada akhir bulan Januari lalu masih belum dapat merungkai sepenuhnya dakwaan gangguan misteri selama bertahun lamanya di kediaman tersebut.

Namun semasa tinjauan di tingkat atas, Hanizamal berkata dia terdengar ada bisikan halus berkata 'tak sempurna' sehingga membawa penemuan sebatang gigi berdekatan tilam di mana mayat seorang lelaki ditemui sebelum ini.

Mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia yang juga penjaga rumah terbabit ditemui pada 30 Januari lalu.

"Sebelum jumpa gigi tu saya ada dengar bisikan 'tak sempurna' masa saya dekat tilam. Kiranya ada part bahagian badan manusia yang tak ditanam lagi. Mulanya saya tak tahu benda apa. 

"Kalau tak sempurna ni kita sebut mengenai tulang, bukan daging. Itu yang saya jalan-jalan banyak kali dekat kawasan tilam dan ternampak gigi tu," katanya kepada mStar.

Berdasarkan keadaan gigi itu, Hanizamal berkata ia dipercayai milik mayat yang ditemui baru-baru ini.

"Melalui warna dan tiada kesan patah pada gigi, warna tunjang sama warna dengan reput mayat. Jadi saya simpulkan ia adalah gigi daripada mayat tersebut.

"Ini kerana ia berdekatan dengan tilam tu. Saya tak sentuh pun tapi saya ada maklumkan kepada ahli jawatankuasa kampung mengenai penemuan itu.

"Mereka perlu lakukan sesuatu secepat mungkin untuk elakkan perkara tidak diingini. Ia sebahagian daripada mayat manusia takut orang buat puja ke apa sebab ia kes mati," katanya.

Serpihan gigi yang ditemui.

Jelas Hanizamal lagi, meskipun sudah sebulan kes penemuan mayat lelaki di rumah itu, bau busuk mayat masih lagi kuat menyelubungi bilik di tingkat atas rumah tersebut.

"Bagi saya keadaan tu agak luar biasa. Kebiasaannya kalau mayat ni selalunya 100 meter kita boleh bau tapi yang ini (bau) hanya di bilik tingkat atas saja.

"Kat bawah tak ada bau. Saya siap boleh makan burger lagi dekat bawah. Itu yang saya pelik. Ia sesuatu yang tak normal. Semua orang terkejut," katanya.

Bagaimanapun menerusi tinjauannya pada malam Khamis itu, Hanizamal berkata dia dapat mengesan tiga lokasi panas di sekitar rumah tidak berpenghuni itu.

Mereka perlu lakukan sesuatu secepat mungkin untuk elakkan perkara tidak diingini. Ia sebahagian daripada mayat manusia takut orang buat puja ke apa sebab ia kes mati.

HANIZAMAL ABU HANIFAH

PENJEJAK ALAM MISTIK

"Sejak penemuan mayat tu ada tiga tempat hotspot yang saya perlu tengok. Yang pertama bahagian siling. Kedua keliling rumah yang dipercayai adanya kubur lama Jepun. Dan yang ketiga bilik tingkat atas yang ada tilam.

"Apa yang menarik perhatian saya adalah kawasan siling tapi so far saya tak nampak apa. Ada penonton hantar beberapa screenshoot mereka nampak bayang hitam tapi saya tak sempat nak analisa.

"Mengenai gangguan mistik itu datang dari luar rumah dan bukannya dalam rumah tu. Itu yang saya cuba rungkai semalam (Khamis) tapi tak jumpa apa-apa. Aura kuat tapi makhluk tu tak mahu datang mendekati saya. Dia tiba-tiba hilang," katanya.

Bayang hitam yang didakwa dilihat penonton di atas siling rumah terbabit semasa siaran secara live malam Khamis.

Dalam pada itu, Hanizamal tidak menolak kemungkinan bahawa penemuan mayat seorang lelaki yang juga penjaga rumah terbabit tempoh hari tiada kaitan dengan unsur jenayah.

"Bila tengok balik secara analisis teknikal kemungkinan mangsa kena renjatan elektrik sebab rumah tu tengah buat wiring.

"Main switch wiring ada sebelah kanan betul-betul sebelah tilam. Mungkin mangsa terpelanting berdasarkan kedudukan tilam tu.

"Namun kemungkinan wujud gangguan lain (mistik) yang menyebabkan penjaga rumah itu dibunuh. Tapi itu hanyalah andaian saya kerana kunjungan saya semalam masih lagi kabur," katanya.

Malah Hanizamal turut memberikan rating tiga bintang mengenai tahap keseraman rumah tersebut.

"Semalam sebelum mula live, saya dan seorang AJK kampung duduk je atas jalan raya dah meremang bulu roma. Aura memang kuat di situ.

"Tahap seram rumah tu agak kuat. Pada pandangan saya, saya bagi rate 3 bintang. Sambil naik tangga secara perlahan-lahan rasa ingin tahu tu amat kuat tapi kena berjaga-jaga juga atas apa saja kemungkinan yang akan berlaku," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain