JIJIK! Itulah perkataan yang dapat digambarkan berhubung perkongsian seorang pelayar Facebook yang memuatnaik gambar sehelai sarung tangan plastik ditemui di dalam bekas minuman yang dipesan. Menerusi perkongsian di laman Facebook Penangkini pelayar yang tidak dinamakan itu turut meluahkan kekecewaannya atas kecuaian kakitangan restoran makanan segera tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Jijik! Tikus ‘makan besar’... ratah ayam panggang gantung di gerai tomyam ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan pedal ayam, rupanya anak tikus masak kicap! Menurut pelayar berkenaan, insiden itu berlaku pada Sabtu ketika dia membuat pesanan makanan di salah sebuah cawangan restoran makanan segera popular di Pulau Pinang. Ujar pelayar tersebut, dia membuat pesanan menerusi khidmat pandu lalu dan memesan beberapa set makanan untuk keluarganya. Apa yang mengejutkan, pelayar tersebut menemui sehelai sarung tangan plastik di dalam bekas minuman yang dipesan untuk anaknya. Sarung tangan plastik yang ditemui di dalam cawan minuman daripada set makanan yang dipesan. “Beli set untuk kanak-kanak, dalam air teh ais lemon ada glove plastik. Sebab beli drive thru (pandu lalu), kalau tak double check mesti macam-macam hal jadi. “Kesian anak aku minum air ade glove. Apa kes cuai macam ni,” tulisnya. Pelayar tersebut lantas membuat panggilan telefon ke cawangan restoran makanan segera tersebut untuk membuat aduan dan menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran kecuaian kakitangan mereka. Apa yang lebih mengecewakan, pelayar itu mendakwa panggilan telefon yang dibuat ke cawangan berkenaan langsung tidak berjawab. Gambar resit bertarikh 29 Februari (kiri) dan tangkap layar daftar panggilan di mana pelanggan berkenaan menghubungi cawangan restoran makanan segera terbabit untuk membuat aduan. “Sakit hati dengan restoran ****. Telefon nak buat aduan hampir 50 kali tak dapat,” tulisnya. Pelayar itu turut memuat naik beberapa keping gambar sarung tangan plastik yang ditemui di dalam bekas minuman anaknya, selain gambar resit pesanan makanan yang dibeli di cawangan berkenaan. Turut dimuat naik di dalam perkongsian tersebut adalah tangkap layar daftar panggilan daripada telefon bimbitnya, sebagai bukti dia telah beberapa kali menghubungi cawangan restoran berkenaan untuk menyuarakan aduan. Posting di laman Facebook tersebut sehingga kini meraih 468 perkongsian dengan dibanjiri ratusan komen netizen. Rata-ratanya turut meluahkan rasa simpati atas nasib yang menimpa pelayar tersebut. Antara komen netizen terhadap perkongsian pelanggan berkenaan. “Entah bekas tangan siapa dah peluh-peluh pakai sarung tangan tu... termasuk pulak dalam ais teh lemon, elok masin, manis,” tulis seorang pelayar. Namun tidak kurang ada juga netizen yang berkongsi pengalaman yang serupa di cawangan restoran berkenaan gara-gara sikap cuai segelintir kakitangannya. “Saya pernah beli burger **** dekat situ, masin gila sos black pepper dia sampai tak boleh makan. Menyesal tak sudah,” tulis pelayar lain. “***** paling teruk setakat ni antara cawangan lain. Pekerja dah la muka ketat lepas itu beli set bagi tak cukup barang. Beli ais krim sudu tak bagi. Memang tak pergi dah!” komen pelayar lain pula.