"LIMA tahun umi tunggu, tapi Allah pinjamkan adik sembilan bulan sahaja dalam rahim." Demikian luah seorang wanita berhubung kisah kematian bayi dalam kandungannya, 21 Februari lalu. Lebih perit, kematian bayi dalam kandungan itu berlaku tiga hari sebelum tarikh wanita itu dijangka bersalin. Menurut Sofea Shafie, 30, dia sedih apabila perlu berpantang sendirian tanpa kehadiran bayi yang ditunggu-tunggu itu. ARTIKEL BERKAITAN: “Pernah saya lawat pukul 2 pagi” - Kenal di Makkah, sempat tunai umrah sekali lagi selepas kahwin... lelaki ini tak pernah ‘missed’ ziarah kubur isterinya ARTIKEL BERKAITAN: Anak hidap Influenza B meninggal dunia hanya kerana satu ubat, ibu menyesal dengar pendapat kawan - “Selepas tukar pampers, dia berhenti bernafas” "Sedih sebab dah buat persiapan. Memang menanti sebab tahun 2018 saya dah keguguran. "Selalu buat check up, memang bayi sihat dan aktif. Pada Khamis malam pun masih aktif bergerak. Pada Jumaat, selepas solat Zohor macam dah tak bergerak. "Biasanya saya akan tengok perut sambil berdoa lepas solat dan memang perut akan berombak, tapi pada hari tu tak bergerak. Petang tu terus saya ke klinik," ujarnya kepada mStar. Antara foto yang dikongsi di Facebook miliknya. Mengimbas detik cemas itu, Sofea dimaklumkan jantung bayinya sudah terhenti. Dia kemudiannya merujuk ke Hospital Sungai Petani dan memilih untuk bersalin di sebuah hospital swasta. "Masa dapat tahu, macam tak percaya. Tak boleh terima sebab dia sihat dan aktif. Terkejut sebab tak tahu punca. "Mungkin sebab saya penat, buat kerja lebih. Suami pun reda, kami anggap sebagai takdir Allah. Rindu tetap rindu, ada masa menangis juga... saya tak meratapi tapi nak meluah untuk menyenangkan rasa rindu buat anak saya. SOFEA SHAFIE IBU "Saya fikir anak akan tunggu saya di syurga. Ada dua orang di syurga, InsyaAllah mereka boleh tarik dan selamatkan saya. "Selama ni tengok orang lain diuji, tertanya-tanya macam mana mereka hadapi. Tapi benda yang kita takut, Allah uji pada saya. Allah uji apa yang kita mampu," katanya lagi. Menurut Sofea, dia enggan memendam rasa kerana bimbang boleh memberi kesan kepada diri, lantas mendapat ilham untuk mencurahkan rasa sedihnya di Facebook. Hasilnya, dia turut dihubungi wanita-wanita senasib yang pernah berpantang tanpa bayi sebelum ini lantas memberi semangat untuknya menghadapi hari-hari mendatang. Majlis pengebumian anaknya. "Lepas keluar hospital terus saya tulis apa yang terbuku. Balik tengok katil, baju, tilam, terus luahkan perasaan. "Dari situ dapat kenalan. Dapat semangat daripada orang yang pernah hadapi situasi sama. "Rindu tetap rindu, ada masa menangis juga... saya tak meratapi tapi nak meluahkan perasaan untuk menyenangkan rasa rindu buat anak saya. "Saya reda walau pahit untuk ditelan, rindu yang sakit dan tiada penghujungnya. Sofea reda dengan pemergian anaknya. "Buat ibu-bapa di luar sana, pantaulah pergerakan bayi dalam perut. Jangan terlalu stres dan jangan push diri buat kerja," ujarnya. Selain dua anak syurga yang sudah menemui pencipta, Sofea turut dikurniakan dua cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Menetap di Sungai Petani, Kedah, dia dan suami menjalankan perniagaan produk kecantikan sejak tiga tahun lalu. Sehingga kini, posting di Facebook Sofea menerima hampir 1,000 perkongsian.