“POSTING macam ini yang kita mahu tengok!”. Demikian antara komen netizen terhadap perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pelayar Twitter mengenai kisah seorang pemandu syarikat e-hailing, baru-baru ini. Dalam perkongsian itu, pelayar Twitter menceritakan kisah pemandu tersebut yang menyediakan beberapa balang gula-gula khusus untuk pengguna khidmat pengangkutannya. ARTIKEL BERKAITAN: “Kita yang sempurna pun kadang-kadang tak reti jaga customer” - Pemuda tersentuh lihat usaha pemandu Grab OKU, terfikir nasib anak-anaknya... ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab cemas, penumpang di sebelah tiba-tiba lompat ke seat belakang - “Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar” Namun apa yang membuatkan lelaki ini terharu, pemandu tersebut sangat mengambil berat apabila mengetahui dirinya sedang lapar lantas menawarkan kuih pau miliknya sebagai alas perut. Perkongsian tersebut sehingga kini meraih 16,900 retweet dan lebih 23,000 likes. Posting Muhammad Al Hakim mengenai sikap baik hati seorang pemandu e-hailing menjadi tular di Twitter. Ia turut dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya memuji pendekatan dan sikap baik hati pemandu e-hailing tersebut. Berkongsi cerita dengan mStar, pelayar Twitter yang dikenali sebagai Muhammad Al Hakim Azman berkata, pada hari tersebut dia menggunakan perkhidmatan e-hailing dari sebuah hospital di Kuching, Sarawak untuk ke restoran. Selalunya pasti canggung nak bersembang dengan orang yang kita tak berapa kenal, tapi dengan pemandu ini, tidak ada rasa seperti itu. Seharusnya sikap seperti ini dipupuk dalam diri pemandu perkhidmatan itu kerana secara tak langsung membuatkan penumpang rasa selesa. MUHAMMAD AL HAKIM AZMAN PENUNTUT IPTA “Ketika itu saya baru sahaja selesai melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital. Memang agak lapar sebab habis sahaja kelas, saya terus ke hospital. “Di hospital pula lama sampai petang sebab buat pemeriksaan termasuk ambil darah. Memang lapar dan badan pun penat. Bila naik kereta e-hailing tu, ternampak banyak balang gula-gula yang digantung di tempat duduk penumpang. “Saya beritahu nak makan satu gula-gula sebab tak makan apa-apa lagi. Pemandu itu cakap ‘boleh, memang untuk penumpang’. Dia siap offer dia punya kuih pau pula tu, tapi saya tolak dengan baik sebab memang mahu ke restoran. Balang yang penuh berisi dengan gula-gula yang digantung di dalam kereta pemandu e-hailing berkenaan. “Apa pun saya terharu sangat. Saya memang biasa guna perkhidmatan e-hailing, tapi ini pengalaman pertama bertemu pemandu yang baik hati sepertinya,” ujar penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berusia 20 tahun itu. Menurut Al Hakim, pemandu berbangsa Cina itu bukan sahaja baik hati, malah begitu peramah dan melayaninya seperti seorang rakan. “Sewaktu dalam perjalanan, dia memberitahu tempat-tempat makan menarik di sekitar Kuching… malah siap rekomen lagi restoran terbaik di bandar ini. Muhammad Al Hakim berkata dia memang sering menggunakan perkhidmatan e-hailing namun insiden baru-baru ini adalah pengalaman pertamanya bertemu dengan pemandu yang baik hati. “Memang rasa selesa sangat. Selalunya pasti canggung nak bersembang dengan orang yang kita tak berapa kenal, tapi dengan pemandu ini, tidak ada rasa seperti itu. Seharusnya sikap seperti ini dipupuk dalam diri pemandu perkhidmatan itu kerana secara tak langsung membuatkan penumpang rasa selesa,” katanya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor. Tambah penuntut Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Sumber ini lagi, dia sekadar membuat perkongsian mengenai kisah pemandu e-hailing tersebut kerana mahu menunjukkan keharmonian hubungan antara kaum di negara ini. Antara komen netizen yang kagum dengan sikap pemandu e-hailing berkenaan. “Walaupun timbul beberapa isu sensitif kebelakangan ini, sebenarnya ramai lagi yang baik hati walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya. “Keduanya, saya kagum dengan pendekatan pemandu tersebut yang dilihat ada cara tersendiri untuk menghargai serta mengambil hati penumpang di mana sanggup keluarkan duit sendiri untuk menyediakan gula-gula… berbahagi rezeki dengan yang lain. “Pada pendapat saya, sikap pemandu seperti ini perlu dijadikan teladan,” ujarnya lagi.