suria

Ayah kunci mulut jika ditanya hal ibu, tapi rindu buat 3 beradik gigih mencari... naluri anak kuat kata masih hidup – “Jika dah meninggal dunia, saya mahu ziarah pusara walaupun jauh”

(kiri) Syuha amat berharap untuk menemui ibunya yang terpisah sejak kecil. (kanan) Ibu Syuha bersama kakaknya yang masih kecil.

“KAMI rindu ibu, macam mana pun keadaan ibu... ibu tetap ibu kami, tolonglah pulang. Adik rindu sangat.”

Demikian luahan seorang remaja perempuan yang membuat perkongsian di laman Twitter bagi mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak kecil.

Malah, selebriti Neelofa turut mengulang kicau perkongsiannya yang meminta netizen membantu dalam mempermudahkan pencarian remaja itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, Ayah, Masih Ingatkah 'Anak Hentian Bas' Ini?

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata tak kuat...” - Nenek tergamam lihat cucu berdialog di kubur ibu, enggan buka slip UPSR di sekolah

“Mari kita bantu Syuha mencari maklumat yang banyak mengenai ibunya. Twitter, lakukan tugas anda!,” tulis Neelofa.

Neelofa turut menyeru netizen untuk membantu Syuha mencari ibunya.

Bercakap kepada mStar, gadis berkenaan, Nur Syuhaida Aleya Noor Hamidi berkata, dia terpisah dengan ibunya sejak usianya kira-kira tiga tahun selepas adik lelakinya dilahirkan.

Remaja berusia 19 tahun itu memberitahu, dia bersama kakak dan adiknya dibesarkan oleh datuk dan nenek sebelah bapanya di Rembau, Negeri Sembilan.

“Ramai saudara-mara beritahu yang ibu dah lama meninggal dunia, ada yang kata meninggal sebab kanser usus, termasuk juga disebabkan kemalangan.

“Jadi kami adik-beradik dah putus harapan. Tapi, hati terdetik untuk melakukan carian di Facebook sehingga menemukan kami dengan adik-beradik mak berdasarkan nama dan butiran ibu, Rozainies Maliki,” katanya kepada mStar.

Ibu Syuha (bertudung hitam) dan kanak-kanak itu adalah kakak Syuha yang masih kecil.

Lebih mesra dengan panggilan Syuha, katanya, adik-beradik ibunya bagaimanapun memaklumkan mereka telah lama terputus hubungan sejak ibu berkahwin.

Berdasarkan semakan yang dibuatnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi butiran ibu pada sijil nikah menunjukkan ibunya masih hidup kerana tiada rekod kematian, namun tidak dapat mengenal pasti alamat terkini.

“Dengan alamat pada sijil lahir, saya berpeluang untuk berjumpa dengan datuk dan nenek sebelah ibu di Sekinchan, Selangor. Mereka juga sudah lama tidak berjumpa dengan ibu.

Syuha menunjukkan bukti membuat semakan di JPN.

“Kami pernah bertanyakan kepada ayah tentang ibu, tetapi dia seperti cuba mengelak. Mungkin ayah tak mahu ingat masa lalu, mungkin juga ia menyedihkan atau mengecewakannya.

“Bukannya kami tak mencari sejak sekolah tapi dulu mana ada telefon atau laman sosial macam Twitter, jadi usaha kini dipergiatkan selepas urusan mencari lebih mudah menerusi media sosial,” ujarnya sambil menambah datuk dan nenek sebelah bapanya juga tidak mengetahui hal sebenar mengenai ibunya.

Jika ibu masih hidup, saya berharap dia dapat membaca posting saya yang viral atau membaca laporan mengenai pencariannya

SYUHA

Sehubungan itu, pelajar Diploma Kulinari di Kolej Vokasional ERT di Rembau itu bersama kakaknya mengambil keputusan untuk berusaha mencari ibu mereka.

Menurut Syuha, berdasarkan butiran yang diperolehi setakat ini, ibunya merupakan anak sulung daripada empat beradik dan berasal dari Sekinchan, Kuala Selangor dan dipercayai kini berusia lewat 30an.

“Naluri saya kuat mengatakan ibu masih hidup berdasarkan maklumat yang kami peroleh,” katanya.

Syuha (kiri) bersama kakak (kanan) dan adik lelakinya.

Apa yang diharapkannya, terdapat maklumat mahupun perkembangan terkini mengenai keberadaan ibunya.

“Jika ibu masih hidup, saya berharap dia dapat membaca posting saya yang viral atau membaca laporan mengenai pencariannya. Kalau tak nak ambil kami sebagai anak pun, sekurang-kurangnya berjumpa dengan kami sebab rindu sangat.

“Tapi kalau ditakdirkan ibu telah meninggal dunia, kami reda tetapi amat berharap ada maklumat mengenai di mana pusaranya untuk kami ziarah walaupun jauh. Ibu... kami teramat rindu,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain