suria

Tampal result orang lain, ‘pantang’ telefon bimbit... gadis dedah rahsia dapat straight A dari UPSR sampai SPM - “Bukanlah selalu berkepit dengan buku”

Aina ditemani kedua ibu bapanya sewaktu mengambil keputusan SPM di sekolahnya, minggu lalu.

SEJAK keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan minggu lalu, media sosial meriah dengan perkongsian dalam kalangan bekas calon yang mempamerkan slip masing-masing.

Rata-ratanya mahu berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan serta pengikut di media sosial kerana berjaya mendapatkan keputusan cemerlang. Tidak terkecuali gadis bernama Aina Nadirah Mohd Fadzli ini. 

Gadis yang mesra disapa Aina ini bukan sahaja berkongsi slip keputusan SPM, malah turut mempamerkan slip keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

ARTIKEL BERKAITAN: 'Produk' 11A+ SPM kesal, keputusan cemerlang punca terlepas momen indah sebagai remaja - “... Yang bentuk kehidupan selepas SPM”

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat 10A selepas ambil exam di wad... ramai tak tahu sebenarnya remaja ini menderita skizofrenia - “Ada orang nak tekup muka saya dengan bantal”

Apa yang menariknya, gadis tersebut konsisten mendapat keputusan straight A untuk setiap peperiksaan.

“Dahlah cantik, pandai pulak tu. Tahniah dik,” komen seorang netizen.

“Aku tak fahamlah macam mana dia boleh konsisten dari darjah 6 sampai tingkatan lima semua A,” komen netizen yang lain pula.

Posting Aina menjadi tular di Twitter gara-gara mendapat straight A dalam peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM. 

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 6,700 retweet dan 22,600 likes.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, gadis berusia 18 tahun ini berkata, apa yang diperolehinya adalah kerana doa orang sekeliling, khususnya ibu dan guru-gurunya.

“Bagi saya, keputusan ini bukanlah 100 peratus daripada saya seorang. Saya rasa ia kerana doa daripada orang sekeliling. Setiap hari saya akan minta ibu doakan saya. Ia juga kerana doa daripada guru-guru… jadi mungkin kerana berkat doa mereka saya berjaya,” ujar gadis yang berasal dari Jenderam Hilir, Selangor ini.

Setiap kali ulang kaji juga, saya tidak akan pegang telefon bimbit langsung. Ada juga kawan-kawan marah sebab kadang-kadang mereka nak tanya sesuatu, tapi memang itu tabiat saya.

AINA NADIRAH MOHD FADZLI

BEKAS CALON SPM

Bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Selangor ini berkata, selain ‘berkepit’ dengan buku dan sering mengulang kaji pelajaran setiap kali ada waktu lapang, dia mempunyai cara tersendiri agar matlamatnya mendapatkan keputusan cemerlang tercapai.

“Saya akan cetak keputusan orang lain yang cemerlang dan menampalnya di dinding sebagai pembakar semangat. Ada juga saya tampal kata-kata positif di bilik.

“Lebih daripada itu, saya seperti orang lain yang mengamalkan solat sunat hajat, qiamullail dan membaca Al-Quran. Ada masanya saya amalkan puasa sunat kerana ketika berpuasa, waktu akan terasa begitu panjang. Jadi saya rasa lebih lama dapat ulangkaji.

Aina berjaya mendapat A dalam semua subjek ketika SPM.

“Setiap kali ulang kaji juga, saya tidak akan pegang telefon bimbit langsung. Ada juga kawan-kawan marah sebab kadang-kadang mereka nak tanya sesuatu, tapi memang itu tabiat saya,” katanya yang bercadang meneruskan pengajian di peringkat asasi atau matrikulasi dalam bidang perubatan selepas ini.

Dalam pada itu, Aina tidak menafikan ada masanya dia berasa sedikit tertekan ketika mengulangkaji.

“Tapi saya tak pendam seorang diri… kebiasaannya saya akan bercerita dengan ibu dan kawan-kawan. Mereka akan beri kata-kata semangat.

“Tapi saya bukanlah selalu berkepit dengan buku, saya join juga aktiviti kokurikulum di sekolah dan sertai program atau pertandingan. Yang penting kena pandai seimbangkan,” ujarnya yang menjadikan Dr Amalina Che Bakri sebagai idola.

Aina turut berkongsi keputusan yang diperolehinya ketika UPSR dan PT3.

Dalam pada itu, Aina menjelaskan bahawa dia langsung tidak mempunyai niat lain ketika membuat perkongsian itu di Twitter.

“Ada yang kata, keputusan SPM bukan penentu segalanya… kehidupan di universiti lagi mencabar. Ada juga yang kata menunjuk-nunjuk.

“Tapi saya ambil kata-kata itu dari sudut yang positif. Tak lupa juga terima kasih kepada mereka yang ucapkan tahniah… ucapan-ucapan positif lain buat saya terharu sangat,” ujarnya lagi. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
solat hajat, doa, SPM, slip, keputusan

Artikel Lain