“CIKGU, boleh tak saya nak beli coklat?” Pertanyaan yang cukup ringkas, namun sudah cukup untuk membuatkan seorang guru sebak dan hampir menitiskan air mata. Menerusi perkongsian di laman Facebook Mohd Fadli Salleh, guru itu menceritakan situasi yang dialami oleh rakannya, yang juga seorang guru. ARTIKEL BERKAITAN: “Dalam poket ada RM2.80 je, kat rumah ada dua lagi anak kecil... mesti lapar” – Guru kongsi kisah sayu 4 beranak naik motor demi sekampit beras dan susu ARTIKEL BERKAITAN: “Saya PM cikgu ni mak tak tahu” - Guru terkejut dapat mesej remaja 14 tahun... akui kesempitan hidup keluarganya memang ‘real’ Ketika itu rakannya yang dikenali sebagai Cikgu Amir, membantu seorang pelajar perempuan Tahun Enam membeli barang keperluan di sebuah pasaraya, baru-baru ini. “Agaknya dah lama dia kepingin nak makan coklat sedap, tapi tiada duit nak beli. “Berair mata Amir. Sebak tak terkata. Terus dia beli banyak-banyak,” tulis Mohd Fadli. Dua beradik ini gembira sewaktu dibawa membeli pakaian dan barangan keperluan lain. Menurut Mohd Fadli, tiada siapa yang mengetahui masalah yang dihadapi pelajar itu lantaran sikapnya yang ceria dan sering tersenyum. Bagaimanapun kisah keperitan hidup pelajar tersebut terbongkar selepas seorang lagi guru lain terperasan pakaian seragamnya sering berkedut. “Bila ada seorang guru prihatin bertanya khabar apabila lihat pakaiannya berkedut, baru dia buka cerita. “Dia tidak ada iron. Dan masa itu mereka tiga beranak tinggal di stor sahaja. Terkejut cikgunya mendengar kisah anak ini. “Bergenang kolam air mata kerana dia tidak menyangka anak secantik ini, sebijak dan sebaik ini sedang mengharungi kisah kehidupan yang sangat susah. “Dan anak itu berjaya menyorok kisah itu bertahun lamanya di sebalik senyuman manisnya dan tingkah laku yang sungguh menyenangkan,” tulisnya lagi. Dia tidak ada iron. Dan masa itu mereka tiga beranak tinggal di stor sahaja. Terkejut cikgunya mendengar kisah anak ini. MOHD FADLI SALLEH GURU Mohd Fadli berkata kisah pelajar itu akhirnya sampai ke pengetahuannya. Guru yang menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita itu berkata, bertindak di atas maklumat tersebut, dia bersama seorang rakan, Cikgu Amir kemudiannya pergi menyiasat untuk mengetahui kisah pelajar itu lebih lanjut. “Benarlah, anak ini tinggal bersama ayahnya yang penyayang bersama seorang lagi adik di stor tempat kerja ayahnya. Ayahnya kerja sebagai cleaner. “Masa kami jumpa, si ayah risau. Kontraknya bakal habis dan dia akan diusir dari stor tempat dia tinggal dengan anak-anaknya. “Kami terus cari rumah, isi borang Baitulmal dan si ayah terus mencari kerja lain,” tulisnya lagi. Melalui dana yang disumbangkan orang ramai, Mohd Fadli membantu keluarga pelajar perempuan tersebut menyewa sebuah rumah. Ketika melakukan kunjungan ke rumah pelajar itu bagi menghantar tilam dan tikar baru-baru ini, ada yang lebih menarik perhatian guru tersebut. “Masa inilah aku perasan, semua pakaian anak ini lusuh semuanya. “Dipakai baju ayah, berseluar senteng sahaja. Rumah pula kosong tiada apa-apa. “Aku terus cakap kat brother aku Fadamir, 'Mir... Nanti kau bawa budak ni pergi beli pakaian. Beli juga rak baju, iron dan apa-apa yang perlu. Dana kiriman orang ramai banyak lagi ni. Kita support penuh family ini'”, tulisnya lagi. Mohd Fadli menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita dan banyak terlibat dengan aktiviti kebajikan. Sehingga kini posting itu meraih 1,100 perkongsian dan dibanjiri ratusan komen netizen yang rata-ratanya memuji tindakan mulia Mohd Fadli dan rakannya. “Ya Allah... bergenang air mata 'Cikgu, boleh tak saya nak beli coklat' sedangkan cucu kita boleh pilih-pilih coklat yang mana suka,” komen seorang netizen. “Sedih baca... Dulu saya waktu kecil pun teringin sangat nak makan coklat dan biskut yang ada krim coklat kat tengah tu. Hidup susah sebab bapa keja buruh dan ramai adik beradik,” tulis yang lain pula.