suria

Rakan sebilik balik kampung, pelajar pelik kenapa tiba-tiba datang kejut solat Maghrib... siapa pula pakai kasut loceng di asrama?

Fazlan berkongsi kisah mistik yang dialaminya di kolej. Foto: Twitter FazlanKamaruzaman

ASRAMA atau kolej merupakan antara lokasi yang memang sinonim dengan kisah-kisah seram.

Boleh dikatakan, pasti akan ada pelajar atau penuntut yang mempunyai pengalaman diganggu sewaktu menjadi penghuninya.

Begitu jugalah kisah yang dialami pemuda bernama Fazlan Kamaruzaman ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak cabut pokok terbiar, tapi tak jaga mulut, sudahnya 6 jam ‘hadap’ gangguan! Bunyi mengilai pada mulanya disangka makcik ketawa

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas setahun berlalu ‘Cik Ponti’ di rumah tinggal mengekek ganggu pemuda, siap ikut ke balkoni

Selama empat tahun kunci mulut, akhirnya pemuda ini memutuskan untuk membuat perkongsian mengenai pengalaman gangguan yang dialaminya menerusi satu bebenang di Twitter.

Bercerita kepada mStar, Fazlan berkata perkongsian tersebut dibuat selepas ramai kenalan dan pengikutnya di laman sosial itu memintanya untuk berbuat demikian.

Tweet Fazlan mengenai kisah ngeri yang dialaminya menjadi tular.

“Saya alami gangguan di kolej sejak tahun 2016 lagi ketika menjadi menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di Selangor. Tapi baru sekarang saya ada kekuatan untuk bercerita.

“Sebab sebelum ini ia seolah-olah terhalang. Tambahan pula ketika itu, ada yang kata saya alami halusinasi, delusi dan lemah semangat. Kata-kata itu membuatkan saya terbantut nak bercerita. Saya hanya bercerita kepada keluarga dan rakan rapat saja.

“Tapi sekarang saya cuba berkongsi selepas ramai yang minta saya buat perkongsian, dan juga saya ingin melihat sejaiuh mana persepsi orang… sama ada mereka terbuka dan percaya dengan benda ghaib atau sebaliknya,” ujar pemuda berusia 24 tahun ini.

Masa dah nak siap solat, baru teringat yang dia balik kampung. Masa itu dah rasa lain macam. Bila tanya, ‘dia’ beri alasan nak pergi tandas kemudian tak masuk bilik dah.

FAZLAN KAMARUZAMAN

SISWA

Terdahulu, perkongsiannya di Twitter meraih sehingga 5,900 retweet dan 9,100 tanda suka.

Bercerita lebih lanjut mengenai gangguan yang pernah dialaminya, penuntut tahun dua jurusan komunikasi massa ini berkata gangguan paling teruk yang dialaminya berlaku pada 2016, ketika rakan sebiliknya pulang ke kampung di Seremban, Negeri Sembilan.

“Rakan sebilik saya selalu balik Seremban pada hujung minggu. Hari tu, dia dah beritahu nak terus balik selepas solat Jumaat. Saya kebetulan tak sihat dan baring saja di bilik.

“Tapi terlajak tidur sampai sampaikan rakan saya kejut untuk solat Maghrib. Masa dah nak siap solat, baru teringat yang dia balik kampung. Masa tu dah rasa lain macam. Bila tanya, dia beri alasan nak pergi tandas kemudian tak masuk bilik dah,” cerita Fazlan.

Menurut pemuda ini lagi, dia mengalami gangguan di bilik tersebut beberapa kali terutama ketika rakannya pulang ke kampung.

Fazlan berbakat sebagai jurusolek kesan khas dan aktif dalam aktiviti kebudayaan di institusinya.

“Banyak kali ‘dia’ menyerupai rakan sebilik saya. Saya ada WhatsApp rakan saya itu, nak pastikan dia sebenarnya berada di mana. Bila saya tanya banyak kali, dia pun mengesyaki saya diganggu tapi saya mengelak untuk bercerita kepadanya.

“Setahun setengah sahaja saya tinggal di bilik tersebut kemudian saya mohon tukar bilik lain iaitu bilik ‘single’. Tapi saya selalu saja pergi lepak di biliknya untuk bersembang,” kata pemuda perasal dari Pekan, Pahang ini.

Menurut Fazlan, sehingga kini dia masih lagi diganggu apatah lagi sering pulang lewat ke bilik kerana aktif dengan aktiviti kebudayaan di institusi tersebut.

“Selalu saja saya dengar bunyi bas lalu di depan bilik dalam pukul 3 hingga 4 pagi. Tapi ada juga penghuni kolej lain yang mengalami pengalaman yang sama.

“Selain bunyi bas, saya pasti akan dengar bunyi macam kasut budak yang ada loceng. Hampir setiap malam. Terbaharu, badan saya seolah ‘dikunci’ dan tak boleh bergerak sebaik terjaga tidur waktu Maghrib.

“Masa tu baru habis shooting filem pendek dan saya tertidur. Masa saya berusaha nak gerakkan badan, nampak ada bayang sesuatu di sudut bilik. Perlahan-lahan saya bangun, ambil wuduk, solat dan mengaji,” katanya.

Sebahagian thread mengenai kisah mistik yang dialami Fazlan.

Ujar Fazlan, pengalaman diganggu di kolej itu bukanlah merupakan yang pertama kerana dia pernah diganggu sewaktu berada di bangku sekolah menengah lagi.

“Sejak terkena gangguan, enam hingga tujuh kali saya dapatkan rawatan secara perubatan Islam sehingga kini. Sebenarnya, pokok pangkal, ia berbalik kepada kita juga supaya mendekatkan diri dengan Allah.

“Ada juga yang kecam, kononnya perkongsian saya tu tak wajar sebab takut-takutkan pelajar. Saya hanya nak kongsi pengalaman... tambahan ada yang tanya.

“Bagi yang percaya, percayalah… tapi yang tak percaya tu terpulang. Orang boleh judge, tapi yang alaminya adalah saya juga. Cuma, dalam alam ni bukan ada kita saja, tapi mahkluk ghaib lain juga,” ujarnya mengakhiri cerita. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
rakan, gangguan, Maghrib, kolej, asrama

Artikel Lain