suria

Pelanggan batal tempahan, tauke doorgift bingung ratusan pek kacang tersadai tak bertuan - “Dia setuju burn je deposit”

Pelanggan Malek membatalkan tempahan sejurus pengumuman pada Isnin Malam.

PENGUMUMAN kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini bagi mengekang wabak Covid-19 ternyata mengejutkan ramai pihak.

Selain pembelian panik yang sudah berlaku sejak beberapa hari lalu, perintah itu turut menyebabkan pembatalan dan penundaan pelbagai acara seperti majlis kahwin, perjalanan ke luar negara dan sebagainya.

Sejurus pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin malam, pasangan peniaga doorgift, Abd Malek Samsudin dan Norfarhanan Ma'mor turut menerima kesannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu

ARTIKEL BERKAITAN: Perintah Kawalan Pergerakan, ini 25 sektor perkhidmatan penting negara yang tidak ditutup

Mesra disapa Malek, dia yang menjalankan pernigaan itu secara sambilan dengan isterinya dihubungi seorang pelanggan untuk membatalkan tempahan mereka.

"Selepas pengumuman perdana menteri, pelanggan call. Dia dah tempah awal dalam sebulan lepas, sebelum gelombang kedua Covid-19.

"Dia tempah 200 pek kacang tiga layer dengan bayaran deposit RM100. Lepas tu dia tambah lagi 100 pek... jadi semua 300 pek.


Posting Malek di laman Twitter.

"Majlis berlangsung hujung bulan ni dan sepatutnya delivery pada 20 Mac ini. Dia pun setuju burn je deposit, sebab dia minta cancel," ujar Malek kepada mStar.

Biarpun tidak perlu memulangkan deposit, Malik dan isterinya buntu dengan 300 pek cenderamata berkenaan sehingga terpaksa membuat posting di laman Twitter.

Menerusi laman sosial itu, Malek membuat tawaran jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk membeli produk berkenaan.

Kita fikir kita je hadap, rasa macam ni. Orang di sana (pelanggan batal majlis kahwin) dugaan lebih berat.

ABD MALEK SAMSUDIN

PENIAGA DOORGIFT

"Kes ni, customer bukan tunda tapi batalkan majlis. Dia pun tak tahu bila akan buat semula, tunggu sampai semua dah settle kata dia.

"Customer ni OK. Senang deal dengan dia dari awal. Jadi kami pun tak ada masalah sangat.

"Biasanya bulan Mac, musim cuti sekolah macam ni memang tak menang tangan. Banyak majlis... tapi kali ni agak kurang," ujarnya lagi.

Malek sekeluarga.

Mengakui terkesan dengan dugaan itu, Malek bagaimanapun mengakui faham dengan situasi semasa dan langsung tidak menyalahkan pelanggan.

Malah katanya, dia juga risau memikirkan ibu bapanya serta penduduk di kampung yang menjana pendatan harian sahaja susulan pengumuman rasmi kerajaan pada Isnin malam.

"Kita fikir kita je hadap benda ni, rasa macam ni. Orang di sana (pelanggan batal majlis kahwin) dugaan lebih berat.

Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada Isnin malam.

"Rasa berbelah bahagi dengan pengumuman semalam. Fikir mak ayah... bagaimana orang di kampung, orang tua yang pendapatan berniaga nasi lemak, pasar malam dan sebagainya.

"Hampir semua orang rasa benda tu," ujarnya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Antara doorgift yang ditawarkan pasangan itu.

Tambah Malek, isterinya turut bersedih atas nasib yang menimpa mereka setelah bertungkus lumus menyiapkan barangan itu namun reda dengan apa yang berlaku.

"Isteri saya ada terkesan emosi sikit. Dia juga ada buat perkhidmatan lukis inai... pun ramai pelanggan yang batal," ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain