suria

Doktor popular dihalang masuk pasar raya, pulang ‘kosong’ kerana tak ada topeng - “Kenapa masih wajibkan? Bukan senang nak cari face mask sekarang”

Dr Say memberi penjelasan mengenai keperluan memakai topeng muka. Foto ihsan Dr Say (Foto kanan) Pemakaian topeng muka oleh orang ramai dilihat sudah menjadi kebiasaan sebagai langkah pencegahan susulan penularan Covid-19. -foto Bernama

SEORANG doktor kesal apabila tidak dibenarkan masuk ke sebuah pasar raya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menetapkan peraturan keluar rumah hanya untuk membeli barang keperluan dan ubat-ubatan.

Luahan itu dikongsi di laman sosial Instagramnya pada Isnin, mempersoalkan sama ada orang awam diwajibkan memakai topeng muka ketika dunia dilanda wabak Covid-19.

Berkongsi pengalamannya kepada mStar, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin berkata, dia pergi ke sebuah pasar raya di Cyberjaya pada pukul 11 pagi Isnin untuk membeli barangan keperluan.

ARTIKEL BERKAITAN: Topeng muka jemur atas rumput, gantung macam ikan masin entah-entah nak jual ‘second hand’ – “Saya tak rasa mereka nak pakai balik...”

ARTIKEL BERKAITAN: Polis, tentera kawal pasar dan pasar raya, masuk berperingkat elak sesak - Ismail Sabri

“Sampai kat tempat parkir, beberapa pekerja di situ tegur cakap ‘face mask’ (topeng muka) mana?’, saya pun jawab tak ada. Maka saya masuk ke dalam pasar raya tu. 

“Bagus kena beratur, bermaksud mereka mengehadkan kemasukan pelanggan. Maka saya beratur dulu, kemudian bila sampai giliran saya nak masuk, pengawal yang jaga di situ terus tunjuk kepada papan yang menyatakan notis keperluan memakai topeng muka,” katanya kepada mStar.

Petugas barisan hadapan merupakan kumpulan yang amat memerlukan topeng muka ketika musim Covid-19. Gambar sekadar hiasan/Foto Bernama

Lebih dikenali sebagai Dr Say Shazril, dia bagaimanapun akur untuk tidak berdebat dengan pengawal berkenaan yang hanya menjalankan tugas dan arahan. 

Menurut doktor berusia 32 tahun itu, tiada arahan sebegitu dikeluarkan semasa kunjungannya ke pasar raya yang sama, baru-baru ini.

Susulan luahannya di Instagram, pasar raya berkenaan menghantar mesej secara langsung (DM) kepada Dr Say yang mengatakan bahawa mereka mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mana individu, terutama pembeli antara lain perlu memakai topeng muka untuk memasuki premis itu.

Pasar raya Village Grocer menghantar DM kepada Dr Say bagi memberi penjelasan berhubung kekeliruan itu di cawangan Cyberjaya.

Village Grocer turut membuat penjelasan itu di laman sosialnya pada Isnin, berhubung arahan DBKL yang dikeluarkan pada 22 Mac.

“Tak berbaloi marah. Sebab kalau nak marah, kena marah kepada punca segala-galanya iaitu DBKL yang meletakkan peraturan sebegitu walhal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mewajibkan pemakaian face mask pun.

Penjelasan Village Grocer berhubung peraturan memakai topeng muka untuk memasuki premis itu.

“Disebabkan tak boleh masuk, saya tanya ada sediakan atau face mask kat sini supaya saya boleh beli sebab kita dah keluar rumah jalan jauh-jauh takkan nak kena balik semata-mata sebab tak ada mask

“Semestinya tak ada face mask kat situ maka saya baliklah, apa lagi boleh buat kan,” ujar Dr Say dengan nada kesal.

Sebab itulah sangat dititikberatkan social distancing satu meter tu. Nak pakai face mask silakan tapi janganlah larang kebebasan mereka yang tak pakai

DR SAY

Sehubungan itu, Dr Say Shazril meminta supaya pihak DBKL berbincang dan bekerjasama dengan KKM mengenai peraturan Do’s dan Dont’s.

“Saya sangat setuju dengan menghadkan bilangan pelanggan dan kekalkan jarak (social distancing) tu tapi tentang pakai face mask tu cukup mengecewakan.

“Kalau betul KKM cakap ‘semua rakyat wajib pakai face mask tak kira ke mana jua anda pergi’, maka saya akur sebab yang lebih mengetahui dan lebih arif mengenai Covid-19 ni semestinya KKM,” tambahnya.

Dr Say Shazril yang mempunyai 259,000 pengikut di Instagram sebelum ini menjadi perhatian kerana wajahnya yang kacak dan bertubuh sasa, dan tular apabila netizen menganggap beliau sebagai doktor pakar sakit puan.

Selain menjadi model iklan komersial, Dr Say Shazril turut muncul sebagai pengacara bagi program Tanya Doktor dan My Doctors.

Arahan yang dikeluarkan oleh DBKL pada 22 Mac.

Malah katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hisham Noor Abdullah turut memberitahu bahawa pemakaian topeng muka tidak diwajibkan kepada semua.

“Jadi kenapa DBKL masih wajibkan? Bukan senang nak cari face mask sekarang ni. Lebih baik simpan face mask tu untuk frontliners (petugas barisan hadapan) kita.

“Sebab itulah sangat dititikberatkan social distancing satu meter tu. Nak pakai face mask silakan tapi janganlah larang kebebasan mereka yang tak pakai,” katanya.

Pada Isnin, Dr Noor Hisham berkata, mengikut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pemakaian topeng muka hanya perlu sekiranya terdapat simptom, menjaga pesakit Covid-19 atau bekerja di kawasan yang mempunyai orang ramai. 

Tambahnya, penjarakan sosial sudah mencukupi dan tidak perlu untuk memakai topeng muka.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain