PERKENALAN selama tujuh tahun antara dua pelukis pelan berakhir dengan penyatuan secara sah pada Jumaat lalu. Dalam kegembiraan itu, terselit sedikit rasa duka apabila majlis yang sudah lama dirancang terpaksa berlangsung dalam suasana yang tidak pernah disangka, gara-gara penularan wabak Covid-19 di negara ini. Menurut Nurul Nabilah Saiful Yezin, dia dan suami, Amirul Azim Adzman membuat keputusan membatalkan majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu lalu sejurus pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Jangan cemas bakal pengantin... Nikah okay, kenduri kahwin kalau boleh tangguh dulu ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan batal tempahan, tauke doorgift bingung ratusan pek kacang tersadai tak bertuan - “Dia setuju burn je deposit” Namun, mereka hanya meneruskan acara wajib sahaja iaitu upacara akad nikah yang berlangsung di sebuah pondok pengajian Islam, bersebelahan kediaman tok kadi yang dikenali sebagai Ustaz Shobri Mahmud. Bercerita kepada mStar, Nabilah mengakui bersyukur apabila dia selamat bergelar isteri dengan sekali lafaz sahaja biarpun majlis berlangsung dalam suasana cukup ringkas dan singkat tempoh hari. "Kami rancang nikah pada 20 Mac 2020 (JUmaat), resepsi keesokan harinya. Kami dah balik ke Pulau Pinang pada Sabtu sebelum perdana menteri umum Perintah Kawalan Pergerakan pada Isnin. Majlis yang berlangsung di sebuah pondok mengaji di Permatang Tok Gelam, Butterworth, Pulau Pinang.(Foto: Anuar Bakar) "Jadi kami berbincang sesama keluarga. Risau risiko kepada tetamu, tuan rumah yang kena bertanggungjawab. Selepas itu tok kadi maklumkan tak boleh nikah di masjid. "Pada majlis nikah, tak sampai 10 orang pun. Saya, suami, tok kadi, wali, saksi, jurugambar dan keluarga. Berlangsung pun tak lebih 10 minit," ujarnya. Kata Nabilah, dia sedikit ralat apabila majlis yang sudah lama dirancang tidak dapat dilaksanakan, namun reda dan faham mengenai situasi semasa negara. Nabilah selamat bergelar isteri kepada Amirul Azim dengan sekali lafaz sahaja pada Jumaat lalu. (Foto: Anuar Bakar) Masing-masing berusia 25 tahun, Nabilah dan suami bagaimanapun bersyukur apabila dihujani doa rakyat Malaysia susulan tularnya foto pernikahannya di laman Twitter. "Resepsi mungkin tunda lepas raya, atau tahun depan. Terpaksa tunda semua katering, baju. Goodies pun saya batalkan. "Macam pelamin tak kisah, sebab kakak saya yang buat. Masa akad nikah hari tu, kami semua kena jaga jarak... tok kadi pun ada sediakan hand sanitizer," ujarnya. Pada majlis nikah, tak sampai 10 orang pun. Saya, suami, tok kadi, wali, saksi, jurugambar dan keluarga. Berlangsung pun tak lebih 10 minit. NURUL NABILAH SAIFUL YEZIN PELUKIS PELAN/PENGANTIN Dalam pada itu, foto tular majlis yang berlangsung di Permatang Tok Gelam, Butterworth, Pulau Pinang itu menerima lebih 6,300 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter. Foto itu dikongsi sendiri jurugambar majlis berkenaan, Muhammad Anuar Abu Bakar. Menurut jejaka berusia 23 tahun itu, dia turut berdepan cabaran dalam menghasilkan potret perkahwinan pasangan berkenaan. Pengantin dan tetamu terpaksa menjaga jarak dalam majlis itu. (Foto: Anuar Bakar) "Majlis berlaku tidak seperti yang dirancang, sampai ke lokasi baru tahu situasi tempat akad nikah. Pergerakan juga agak terbatas. "Masa upacara akad nikah agak cepat. Kalau biasa dalam 30 minit, hari tu tak sampai 10 minit. "Kami juga kena peka dengan Covid-19, jaga kebersihan, jaga jarak. Masa nak balik, menuju ke kereta, nampak kuda di depan rumah tok kadi. Kebetulan terdapat kuda di hadapan kediaman tok kadi, membolehkan mereka melakukan outdoor shoot secara spontan. (Foto: Anuar Bakar) "Secara spontan kami shoot gambar outdoor di situ tak sampai lima minit," ujarnya lagi. Tambah Anuar, dia juga berdepan dengan pembatalan dan penundaan tempahan khidmat fotografi susulan penularan Covid-19 namun mengakui reda dengan fasa sukar yang melanda seluruh negara itu.