SUSULAN tular kes pramugari yang mempunyai simptom Covid-19 melarikan diri dari Hospital Parit Buntar, Perak, malam Isnin, gadis tersebut memberi penjelasan berhubung perkara itu. Mitchell Adriyana Abdul Malik atau lebih mesra disapa Yana menjelaskan kes tersebut sebenarnya sudah selesai apabila dia telah kembali ke hospital berkenaan, petang Selasa. "Bagi saya kes dah selesai. Tapi saya terkilan kenapa nak viralkan saya sedangkan saya dah call pihak hospital maklumkan nak datang hari ini (Selasa). ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Polis sahkan terima laporan kes pramugari lari dari hospital "Sekarang saya dah kat hospital dan sedang dirawat," katanya ketika dihubungi mStar, petang Selasa. Mengenai laporan polis yang tular di media sosial itu, Yana mengakui dia melarikan diri dengan bantuan abang angkatnya kerana mendakwa tidak diberi makanan dan minuman sepanjang berada di bilik isolasi untuk saringan. Malah dia turut menafikan laporan tular yang menyatakan dirinya seorang pramugari, sebaliknya sedang menjalani latihan kru kabin. Laporan polis yang tular di media sosial. "Memang saya mengaku saya lari. Saya dah tak tahan duduk situ, tanpa makan dan minum. Saya pun menangis dekat abang angkat saya cakap nak makan apa semua. "Tak apalah abang angkat saya pun bawa saya pergi makan. Lepas tu saya tak larat balik hospital, jadi saya baliklah rumah family abang angkat saya. "Sebenarnya ada timbul salah faham. Saya dah call pihak polis dan pihak hospital semalam (Isnin), beritahu saya akan datang hari ini (Selasa). Kalau nak saya datang semalam memang saya tak larat," dakwanya yang dipindahkan ke Hospital Taiping selepas tampil di Hospital Parit Buntar. Gadis berusia 21 tahun itu berkata dia sudah pergi ke hospital tersebut sejak dua hari lalu, iaitu pada Ahad dan Isnin. "Hari Ahad saya datang nak check demam sebab saya dah demam banyak hari. Tunggu dari pukul 8 malam sampai 1 pagi tapi tak ada result apa-apa. Mereka hantar surat kat saya cakap nak transfer ke Hospital Taiping. Yana, menerusi posting di media sosial memohon maaf atas tindakannya. "Lepas tu mereka cakap saya boleh balik rumah kuarantin. Esok (Isnin) pagi mereka cakap Hospital Taiping dah full... lepas tu tolak pergi Hospital Ipoh. "Jururawat suruh saya tunggu lagi dari pukul 3 petang tanpa makan minum. Saya mestilah lapar... dahaga lagi. Nak pergi toilet pun tak bagi," dakwanya. Dakwa gadis itu lagi, dia belum disahkan positif Covid-19 dan hanya menunjukkan simptom jangkitan tersebut. "Saya belum disahkan positif. Pihak hospital tak cakap result saya, darah saya pun mereka tak ambil. "Saya tak pergi mana-mana pun. Kawan-kawan saya pun tak ada yang demam," dakwanya. Sementara itu, Yana menerusi posting di Instagramnya turut meminta maaf kepada orang ramai di atas perbuatannya itu. "Yana minta maaf menyusahkan orang ramai. Terima kasih yang doakan Yana. Doakan Yana cepat sembuh," katanya. Terdahulu, polis mengesahkan ada menerima laporan kes tersebut.