suria

Dulu happy go lucky, kini suri rumah paranoid Covid-19 sental semua barang... tak hirau kena gelak - “Mama arah ayah mandi, tukar baju”

Perkongsian Ain mengenai gelagat 'paranoid' ibunya menjadi tular di Twitter. Foto: Ain Nizam

JUMLAH kes wabak Covid-19 di negara ini yang mencatatkan peningkatan saban hari menimbulkan kebimbangan ramai.

Orang ramai mula meningkatkan tahap kebersihan dan mengamalkan langkah berjaga-jaga demi mengelakkan diri terdedah kepada jangkitan wabak tersebut.

Jangan tak tahu, ada yang sanggup membersihkan semua barang-barang yang dibeli dari pasar raya gara-gara mahu memastikan ia ‘dinyahcemar’ daripada benda asing yang boleh memudaratkan kesihatan, sebagaimana ibu kepada gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ain Nizam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, bapa positif Covid-19! Anak doktor akui stres tak boleh lawat ayah di ICU - “Setiap kali dapat panggilan dari hospital, saya sangat takut”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa mandi di luar rumah jam 2 pagi, ibu makin kurus... paling sedih adik sampai mengigau - “Ayah marah Auni ke?”

Menerusi satu video berdurasi 29 saat yang dikongsikan gadis ini di laman Twitter, kelihatan ibunya sibuk membilas barangan runcit yang baru dibeli dari pasar raya seperti tin biskut, susu kotak, makanan dalam tin sehinggalah kepada makanan kucing.

Guys tengok mak aku ni takut dia macam mana… dia kata ‘lantak koranglah nak gelak ke apa',” demikian kapsyen video yang ditulis gadis itu pada perkongsian tersebut.

Video itu menjadi tular apabila meraih 3,440 retweet gara-gara gelagat ibunya benar-benar mencuit hati netizen.

Video yang dimuat naik oleh Ain mengenai gelagat ibunya menjadi tular di Twitter.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang senang disapa Ain ini berkata sikap paranoid ibunya mula ketara sejak peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini.

“Pada hari itu, ayah baru pulang dari membeli barang keperluan dapur di Giant. Sebaik ayah sampai di pintu rumah, mama terus ambil barang dan bawa semuanya ke sinki, dan dalam masa yang sama arahkan ayah untuk mandi dan tukar baju.

“Kami adik beradik hairan dan pelik juga dengan gelagat mama. Dia siap basuh semua barang dengan sabun termasuk makanan kucing. Sebelum ini, mama biasanya basuh makanan dalam tin sahaja.

“Rasa lucu pun ada, sebab itu saya rakam tapi sempat rakam masa dia tengah bilas sahaja. Masa tu mama membebel juga sebab kami gelak-gelak. Tapi sebenarnya, mama buat tindakan yang betul untuk memastikan kebersihan. Yalah kita tak tahu siapa yang pernah pegang barang itu sebelumnya,” kata gadis berusia 20 tahun ini.

Kami adik beradik hairan dan pelik juga dengan gelagat mama. Dia siap basuh semua barang dengan sabun termasuk makanan kucing. Sebelum ini, mama biasanya basuh makanan dalam tin sahaja.

AIN NIZAM

ANAK

Bukan itu sahaja, Ain mendedahkan ibunya, Hanita Hassan juga mewajibkan semua penghuni di rumah untuk membersihkan diri terlebih dahulu setiap kali pulang ke rumah.

“Kami memang langsung tak keluar, kecuali jika ada yang benar-benar memerlukan. Sekarang memang ayah sahaja yang akan keluar. Jadi memang wajib terus mandi sebaik masuk rumah.

“Kalau ada parcel sampai, mama jemur dulu di luar dan kemudian basuh bungkusannya. Pemegang tangga, gril, tombol pintu pun memang kami kena bersihkan selalu. Mungkin mama nampak tegas bab ini tapi sebenarnya dia seorang happy go lucky,” ujar Ain mengulas perwatakan ibunya.

Ain berkata di sebalik ketegasan ibunya, Hanita Hassan (kanan), wanita itu seorang yang berperwatakan ceria.

Menurut anak ketiga daripada lima adik beradik ini, perkongsian tersebut hanya dibuat untuk tujuan suka-suka kerana mahu berkongsi gelagat ibunya, namun dalam masa yang sama berharap ia dapat menyampaikan mesej positif kepada orang lain.

“Dalam situasi sekarang, adalah sangat penting untuk bersikap lebih berhati-hati dan ambil langkah pencegahan extra. Kena ada perasaan takut, walaupun nampak seperti lucu. Usah ambil kisah mengenai apa yang orang akan kata,” kata gadis yang menetap di Kajang, Selangor ini.

Ain yang juga penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan wajar dipatuhi semua pihak dalam usaha membendung penularan wabak yang kini sudah meragut 23 nyawa di negara ini.

Ain menetap di rumah keluarganya di Kajang sejak universiti ditutup susulan PKP hampir dua minggu lalu.

“Buat masa ini, semua wajar stay at home dan ikut sahaja saranan kerajaan. Seperti institusi saya, baru dapat makluman bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran akan dilakukan menerusi dalam talian bermula 27 April ini.

“Sebenarnya agak sukar juga sebab pengajaran perlukan penerangan daripada pensyarah, tak boleh berkomunikasi secara langsung dengan rakan, malah tak semua pelajar ada akses internet. Harap-harap semuanya dipermudahkan. Paling penting sekarang, ikut sahaja apa yang dilaksanakan demi kebaikan semua,” katanya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain