SYABAS! Demikian komen rata-rata netizen apabila sekumpulan rider Foodpanda menghulurkan sumbangan makanan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas melakukan sekatan jalan raya. Video berdurasi 53 saat itu dikongsi secara meluas di Twitter sehingga menjadi tular dan menarik perhatian ramai. Ketika dihubungi mStar, Jasmie Ahmad, 25, memberitahu ia dirancang oleh seorang rakannya Remy di dalam grup WhatsApp dan mendapat sumbangan kewangan daripada 16 rider yang lain. ARTIKEL BERKAITAN: Kedai makan boleh dibuka untuk pelanggan tapau, guna servis Food Panda, Grab Food pun tak ada masalah! ARTIKEL BERKAITAN: Rider Foodpanda bukan saja hantar makanan ‘on time’, selamatkan perempuan cuba bunuh diri pun tepat pada masanya! "Sebelum ni memang kami ada rancang nak beri bantuan kepada orang di kaki lima dan gelandangan, tapi disebabkan Covid-19, kami tukar 'projek' tersebut untuk beri kepada anggota keselamatan yang bertugas. "Selama 24 jam mereka bertugas, kita pun tak tahu mereka dah makan ke belum. "Hasil daripada wang yang dikumpul, kami beli 30 burger daging special dan 30 bungkus teh o ais pada jam 11 malam," beritahu pemuda yang mesra disapa sebagai Jez itu. Posting yang tular di Twitter. Menurut Jez, sumbangan makanan yang diserahkan Selasa lalu itu disertai oleh empat rider. "Kami tinggal di Ampang, jadi kami beri makanan tersebut kepada dua kawasan road block, satu di Jalan Ampang yang menghala ke KLCC dan satu lagi yang menghala ke Taman Kosas. "Ketika kami datang dengan empat motosikal, pegawai polis tu tanya kami nak ke mana, tetapi kami beritahu niat sebenar kami untuk beri sumbangan kepada mereka, walaupun tidak seberapa namun sedikit sebanyak mampu buat mereka tersenyum. "Terdapat anggota polis, polis trafik dan tentera di kawasan road block tersebut. Salah seorang daripada mereka tidak berhenti mengucapkan terima kasih kepada kami dan mengajak kami untuk mengambil gambar bersama mereka," ujar Jez yang rutin hariannya melakukan penghantaran makanan di sekitar Ampang. Ahad ini kami akan ke rumah anak yatim di sekitar Ampang untuk memberikan sumbangan makanan menggunakan duit pemberian netizen kepada kami. JASMIE AHMAD RIDER FOODPANDA Dalam pada itu, selepas video berkenaan tular di Twitter, banyak pihak yang menghulurkan sumbangan kewangan kepada mereka untuk meneruskan tindakan terpuji tersebut. "Saya difahamkan mereka (anggota keselamatan) tidak dibenarkan untuk menerima makanan, takut keracunan makanan, tetapi kami tetap akan teruskan perbuatan ini dengan mengubah lokasi. "Ahad ini kami akan ke rumah anak yatim di sekitar Ampang untuk memberikan sumbangan makanan dengan menggunakan duit pemberian netizen kepada kami," jelas Jez mula bekerja Food Panda pada Ogos tahun lalu. Jez telah bekerja sebagai penghantar makanan sejak Ogos yang lalu. Kata Jez lagi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan kerajaan, mereka tidak berhenti-henti menerima pesanan untuk menghantar makanan. "Kami ni kerja ikut syif, kalau boleh kerja 24 jam hantar makanan, saya dah buat dah. Disebabkan PKP, waktu penghantaran kami hanya terhad sehingga jam 12 malam. "Gaji kami tak besar mana, tetapi rakan-rakan Food Panda yang lain selalu pesan, 'kalau nak murah rezeki kena banyak bersedekah'," beritahu Jez yang melakukan kerja penghantar makanan ini sebagai pekerjaan tetapnya. Antara rakan-rakan Jez yang terlibat ketika aktiviti pemberian makanan kepada anggota keselamatan pada Selasa lalu. Video yang dimuat naik oleh rakannya melalui akaun Twitter @arefam02 sehingga kini telah mendapat 167,800 tontonan dan 15,000 retweet (ulang kicau) dengan majoriti netizen memberi pujian kepada mereka. "Terima kasih sebab beri makanan kepada mereka. Nak menangis tengok sebab ramai nampak pengorbanan frontliner di hospital sahaja," ujar seorang netizen. "Tahniah rider Food Panda. Semoga pahala anda mengalir selagi makanan yang anda beri tu menjadi darah daging wira-wira kita," tambah seorang pemuda. "Dalam keadaan macam ni, kita boleh nampak betapa bersatunya rakyat Malaysia," tulis pengguna Twitter yang lain. Rider Foodpanda share rezeki dekat PDRM and ATM...semoga murah rezeki abg2 rider panda kita ✊?#riderampang . . Rt gaiss pic.twitter.com/pxaqqk44MJ — محمد افهام (@arefam02) March 24, 2020