TIDAK perlu menjadi kaya untuk bersedekah, cukuplah hanya sekadar memberi apa yang ada mengikut kemampuan. Tindakan spontan dua rider Foodpanda pada Ahad lalu mendapat pujian ramai selepas pelanggan bertindak membatalkan pesanan lalu mereka memberikan makanan tersebut kepada gelandangan. Ketika dihubungi mStar, Syarazid Zulkifli, 23, memberitahu pada waktu itu dia telah membeli makanan di sebuah restoran makanan segera namun disebabkan jalan ditutup, pesanan itu terpaksa dibatalkan. ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum ARTIKEL BERKAITAN: Rider Foodpanda bukan saja hantar makanan ‘on time’, selamatkan perempuan cuba bunuh diri pun tepat pada masanya! "Banyak juga makanan tu, nilai kesemuanya dalam RM80. Ada dalam lima ketul ayam goreng dan burger. "Kebetulan pula waktu tu saya dah habis syif, jadi saya dan rakan saya, Amir, pada mulanya nak beri kepada kucing jalanan, kalau nak bawa balik semua pun banyak. "Tapi sayang pula sebab makanan elok lagi... jadi kami pun cari gelandangan yang ada di sekitar Muar, Johor," ujar pemuda yang lebih mesra disapa sebagai Syah itu. Tambah Syah lagi, makanan yang disedekahkan tidaklah banyak, namun memadai untuk diberikan kepada tiga orang gelandangan. Syah memberitahu semasa tempoh PKP, pelanggannya meningkat sebanyak dua kali ganda. "Kami beri kepada gelandangan yang tunggu di depan bank. Selalunya mereka makan menggunakan duit sedekah daripada pelanggan yang keluar masuk, dah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ni orang pergi bank pun tak ramai. "Sewaktu saya beri makanan, saya boleh nampak muka mereka sangat lapar sambil tak berhenti cakap terima kasih kepada saya. Saya tengok mereka pun dah sebak, tak dapat bayangkan kalau ahli keluarga kita sendiri jadi macam tu. SYAH "Saya tengok mereka pun dah sebak, tak dapat bayangkan kalau ahli keluarga kita sendiri jadi macam tu. "Ramai orang cakap kerja macam saya ni susah, tetapi saya tidak berpendapat seperti itu kerana saya lihat ada yang lebih susah," kata Syah yang menjadikan kerja penghantar makanan sebagai pekerjaan tetapnya. Perkongsian Syah di laman Twitter mendapat perhatian netizen. Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan, Syah memberitahu perkhidmatannya mendapat permintaan yang tinggi. "Alhamdulillah, disebabkan ramai orang tak nak keluar rumah, ramai yang gunakan servis penghantar untuk hantar makanan ke kediaman mereka. "Jumlah pelanggan pada tempoh ini meningkat dua kali ganda berbanding waktu biasa walaupun hampir separuh restoran dan gerai tidak dibuka," ujar Syah yang merupakan rider Foodpanda pertama di daerah Muar. Perkongsian yang dimuatnaik sendiri oleh Syah di laman Twitter sehingga kini telah mendapat sebanyak 27,900 tontonan dan 2,239 retweet (ulang kicau). Rata-rata netizen memuji tindakan Syah dan Amir yang prihatin terhadap nasib gelandangan. "Semoga murah rezeki... tak semua orang mampu buat macam kau," tulis seorang pengguna Twitter. "They are on another level of hungry. Nampak orang hulur makanan je terus sambut macam budak kecil," tambah pengguna lain. "Golongan B40 ini juga yang banyak membantu orang lain yang dalam kesusahan," ujar seorang netizen. Alhamdulillah dapat lah share kan sikit makanan cancel tadi dkt gelandangan. Kesian diorang wei tak tahu nk makan apa. Happy senyum tak berhenti ckp terima kasih lepas dpt kfc aku bagi. Alhamdulillah semoga negara kita semua dijauhkan covid-19 dan dipermudahkann segalanya. pic.twitter.com/FJfFqa9rvD— scotch brite (@syarazidlee) March 29, 2020