“KEADAAN kampung sunyi dan sepi… hanya kedengaran bunyi kenderaan polis dan askar. Macam kampung zombie pun ada”. Itulah situasi di Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor sebagaimana yang digambarkan oleh salah seorang penduduknya. Menurut Sarlan Yasmin yang juga ketua kampung berkenaan, sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Mac lalu, penduduk kampung langsung tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali apabila diminta melakukan ujian saringan di lokasi yang ditetapkan. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, bapa positif Covid-19! Anak doktor akui stres tak boleh lawat ayah di ICU - “Setiap kali dapat panggilan dari hospital, saya sangat takut” ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: 3,570 penduduk Kluang diarah ‘berkurung’ 14 hari, JKM bekalkan makanan asas “Sekarang ni memang penduduk langsung tak boleh keluar rumah. Keadaan masih terkawal manakala bantuan makanan serta keperluan asas seperti beras, lampin pakai buang, susu, ubat-ubatan disalurkan kepada setiap keluarga secara tersusun. “Penduduk yang boleh keluar adalah mereka yang menjadi anggota Rela, namun hanya beberapa orang sahaja. Bingung dan bosan juga kerana tak pernah alami situasi seperti ini. “Nak keluar ke laman rumah pun tak boleh sebab rondaan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tentera sentiasa kerap. Tapi kami semua faham, tindakan ini adalah untuk elakkan jangkitan Covid-19. Ini semua demi kebaikan semua pihak,” ujarnya kepada mStar. Anggota Rela yang terdiri daripada penduduk kampung sedang menyelaras dan menyusun barang keperluan sebelum diagihkan ke rumah penduduk. Kerajaan pada 26 Mac lalu memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor, susulan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di dua kawasan tersebut. PKPD itu berkuatkuasa bermula 27 Mac sehingga 9 April, dan ia melibatkan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga. KKM sebelum ini mengesahkan terdapat lebih 80 kes positif jangkitan Covid-19 di daerah Kluang, Johor, di mana daripada jumlah itu, sebahagian besar adalah dari dua kawasan kampung berkenaan. Ada juga rakan yang sudah meninggal dunia. Sedih sebab yang meninggal dunia itu adalah kawan setia. Tiba-tiba dapat berita dia meninggal, dan paling sedih apabila tak boleh tatap wajahnya buat kali terakhir. Betul-betul dugaan buat saya. SARLAN YASMIN KETUA KAMPUNG Menurut Sarlan, dia sendiri berasa terkesan kerana ada dalam kalangan rakan-rakan rapatnya disahkan positif dan ada yang meninggal dunia akibat wabak berkenaan. “Ada antara kawan-kawan rapat saya yang dulu selalu minum bersama di warung sedang dirawat di hospital. Antaranya ketua kampung bersebelahan. Sepanjang dia dirawat, saya perlu mengambil alih memangku jawatannya. Maknanya saya kena 'handle' dua kampung buat masa ini. Anggota tentera, Rela dan polis berkawal di jalan utama menuju Kampung Dato' Ibrahim Majid. “Ada juga rakan yang sudah meninggal dunia. Sedih sebab yang meninggal dunia itu adalah kawan setia. Tiba-tiba dapat berita dia meninggal, dan paling sedih apabila tak boleh tatap wajahnya buat kali terakhir. Betul-betul dugaan buat saya. “Bila keadaan jadi seperti ini, timbul juga perasaan takut dan gerun. Jadi kami sama-sama saling berpesan untuk menjaga diri dan kesihatan masing-masing. Virus ni sangat bahaya sebab kita tak nampak,” ujar lelaki berusia 63 tahun ini. Keadaan sekitar kawasan kampung sewaktu tempoh PKPD ketika ini. Bercerita lebih lanjut, Sarlan berkata dia bagaimanapun bersyukur kerana dirinya dan keluarga berada dalam keadaan sihat. “Alhamdulillah, syukur sangat kesihatan masih lagi okay. Namun saya berdoa agar keluarga dan seluruh rakyat dilindungi daripada musibah ini. Apa yang saya boleh nasihatkan, kita sebagai rakyat perlulah memainkan peranan dengan mengikuti saranan yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.