suria

Bapa sudah di wad, anak nak luruh jantung lihat ibu positif Covid-19 bawa ‘peneman’... tenang masuk ambulans

Perkongsian Ahmad Hafizuddin saat ibunya dibawa ke hospital selepas disahkan positif Covid-19, menruntun perasaan netizen.

“KETIKA ambulans datang untuk jemput emak, jantung ini macam nak luruh. Air mata dah bertakung tapi saya tahan sebab mahu tunjukkan yang saya kena kuat untuk dia.”

Demikian kata Ahmad Hafizuddin Shopian ketika menceritakan saat sedih sewaktu ibunya, Rohaya Ibrahim terpaksa dibawa ke hospital selepas disahkan positif Covid-19.

Berkongsi cerita dengan mStar, Ahmad Hafizuddin berkata ibunya disahkan dijangkiti wabak tersebut daripada bapanya, Shopian Mat Nasir, 68, yang terlebih dahulu dimasukkan ke wad tiga hari sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, bapa positif Covid-19! Anak doktor akui stres tak boleh lawat ayah di ICU - “Setiap kali dapat panggilan dari hospital, saya sangat takut”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hanya ingat mati selepas positif Covid-19 pada hari jadi anak, cuma mampu baca doa ringkas - “Ada harapan hidup sebab tengok statistik KKM”

“Ayah buat saringan selepas salah seorang rakannya yang juga jemaah di masjid disahkan positif. Pada 18 Mac, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telefon maklumkan keputusan ayah positif. Pagi itu juga ambulans datang jemput ayah untuk dibawa ke hospital.

“Kami yang ada di rumah juga disarankan buat ujian saringan sebab kontak rapat ayah. Keesokannya saya, seorang anak, isteri yang sedang sarat mengandung dan mak pergi buat saringan.

Posting Ahmad Hafizuddin mendapat perkongsian sehingga 5,400 shares.

“Sementara menanti keputusan ujian, saya minta isteri dan anak untuk tinggal di rumah keluarga mentua kerana mereka masih belum ada simptom.  Pada petang Sabtu 21 Mac selepas mak solat Asar, dia tenang sahaja beritahu sudah dapat panggilan dari PKD yang menyatakan dia positif.

“Saya tersentak sebentar… dalam kepala bimbangkan macam-macam. Tapi mak tenang sahaja. Saya bantu dia kemas barang-barang sebagaimana saya siapkan kelengkapan ayah. Saya perasan benda pertama yang mak ambil untuk dibawa ke hospital adalah senaskhah Al-Quran,” ujar lelaki berusia 29 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Ahmad Hafizuddin berkata sewaktu ambulans tiba tidak lama kemudian, perasaannya bercampur baur tambahan pula mengenangkan keadaan kesihatan ibunya.

Air mata ni dah bertakung… kaki rasa macam tak jejak tanah. Saya sebak sangat tapi kena kuat untuk mak. Apa yang saya tulis pada perkongsian di Facebook, itulah perasaan saya ketika itu.

AHMAD HAFIZUDDIN SHOPIAN

ANAK

“Saya rasa sedih sangat sebab fikirkan faktor usia dan kesihatan mak. Mak dah 63 tahun, susah nak berjalan sebab di kakinya ada skru yang dipasang akibat kemalangan sebelum ini. Sedih sangat sebab tak dapat pimpin mak masuk ke dalam van ambulans.

“Air mata ni dah bertakung… kaki rasa macam tak jejak tanah. Saya sebak sangat tapi kena kuat untuk mak. Apa yang saya tulis pada perkongsian di Facebook, itulah perasaan saya ketika itu,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Hafizuddin, kedua-dua orang tuanya yang dirawat di Hospital Raja Permaisuru Bainun, Ipoh, Perak kini menunjukkan perkembangan yang positif, selepas masing-masing dirawat lebih daripada 10 hari di sana.

Ahmad Hafizuddin bersama ibu dan ayahnya yang kini sedang dirawat di hospital. 

“Hari-hari kami berhubung menerusi panggilan telefon. Alhamdulillah, lega apabila mendengar nada suara mereka yang ceria, siap cerita makan macam-macam dekat sana, dan dilayan dengan sangat baik oleh doktor dan jururawat.

“Buat masa ini, mak sudah lakukan ujian saringan pada 30 Mac dan kalau keputusannya negatif, kena tunggu buat lagi sekali. Kalau dua-dua keputusan negatif, mak akan dibenarkan keluar. Ayah pula masih dalam pemantauan doktor.

“Saya yang dikategorikan sebagai pesakit di bawah pemantauan (PUI) bersama isteri dan anak juga sudah lakukan ujian saringan kali kedua pada 30 Mac. Moga-moga keputusan kami negatif.  Bimbang sangat sebab isteri memang tunggu masa saja nak bersalin,” katanya yang merupakan seorang penjawat awam.

Ahmad Hafizuddin, isteri dan anaknya yang berusia 2 tahun turut menjalani ujian saringan Covid-19 kerana mempunyai kontak rapat dengan kedua ibu dan bapanya. 

Dalam pada itu Ahmad Hafizuddin menyifatkan apa yang berlaku kepada kepada kedua-dua orang tuanya adalah ujian Allah untuk menguji keimanan hamba-Nya.

“Allah beri ujian kepada hamba-Nya yang mampu. Ujian kepada saya, adalah apa yang berlaku kepada mak dan ayah. Orang yang tak terkena wabak juga sedang berada dalam ujian sebenarnya.

“Ia mengajar kita untuk lebih menginsafi. Pada waktu ini, adalah lebih baik kita semua patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jangan anggap diri tu kebal. Kalau terkena kepada orang yang tersayang, barulah tahu macam mana rasanya.

“Dalam masa yang sama, saya mohon doakan kesihatan dan kesembuhan buat mak dan ayah saya, dan juga mohon doakan urusan bersalin isteri saya dipermudahkan,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ambulans, Covid-19, Al-Quran, ibu, ayah

Artikel Lain