TANPA disangka-sangka, sekumpulan pesakit yang disahkan positif Covid-19 menyentuh emosi petugas barisan hadapan (frontliner). Bukan pesakit yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling yang dimaksudkan, sebaliknya sekumpulan pelajar tahfiz. “Walaupun ada masa gelak ketawa, ada masa main dan bergurau tapi banyak masa mereka dihabiskan dengan membaca al-Quran, berzikir dan solat,” tulis seorang jururawat di laman sosial sehingga menjadi tular. ARTIKEL BERKAITAN: Nurse menitik air mata! Dedah keadaan mengejutkan di wad pesakit tabligh, tersentak dengar soalan mereka - “Tahu tak dalam tu semua ilmu agama tinggi” ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka tak nak masuk lif... terasa saya” - Tabligh jadi bualan ramai... pemuda simpan janggut, pakai kopiah faham social distancing Berkongsi pengalaman bersama mStar, jururawat berkenaan, Rabiatul Adawiyah Mohd berkata, sekumpulan pesakit itu merupakan kontak rapat kepada guru mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh dan disahkan dijangkiti virus itu. Sekumpulan pesakit yang merupakan pelajar tahfiz. Foto Rabiatul Adawiyah Mohd Lebih mesra dengan panggilan Cikmisibiey, katanya, terdapat seramai 12 pesakit yang merupakan pelajar tahfiz berusia antara 13 dan 26 tahun. “Walaupun kami berjuang dengan baju yang berlapis-lapis (peralatan perlindungan diri/PPE) tapi bila masuk wad tu rasa ketenangan apabila mereka tak henti-henti membaca al-Quran dan berzikir. “Walaupun dalam keadaan begitu (sebagai pesakit), mereka datang bawa al-Quran dan solat berjemaah walaupun terpaksa jarakkan satu meter,” katanya kepada mStar. Seorang remaja mendoakan dalam waktu sukar negara dilanda Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama Cikmisibiey berkata, momen paling terkesan baginya apabila mendengar laungan azan pelajar tahfiz sebelum mereka solat berjemaah. “Saya sebak sampai menangis dengar laungan azan mereka... terasa diri ini kerdil, alpa dengan keduniaan, sedangkan mereka fokus dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya sebak sampai menangis dengar laungan azan mereka... terasa diri ini kerdil, alpa dengan keduniaan, sedangkan mereka fokus dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. CIKMISIBIEY “Alhamdulillah pengalaman bekerja dan merawat adik-adik tahfiz yang sangat awesome,” katanya yang berkhidmat sebagai jururawat selama lebih sembilan tahun. Ibu kepada dua anak itu menjelaskan bahawa perkongsian ini dibuat supaya kisah mereka dijadikan iktibar oleh masyarakat. Sebelum ini tular mengenai kemuliaan pesakit Covid-19 dalam kalangan peserta perhimpunan tabligh. Foto Twitter Menurut Cikmisibiey, ada hikmah di sebalik mereka diuji dan jelas kesabaran menjadi pegangan hidup mereka apabila masih mampu tersenyum meskipun dikuarantin. “Setiap kali masuk ke wad, kami akan menceriakan mereka dan beritahu insyaAllah virus dalam badan mereka akan negatif. Antibodi dalam badan akan berjuang lawan virus yang ada. “Ada pesakit yang sudah boleh balik ke pangkuan keluarga di rumah, tapi sebagai remaja mereka bergurau tak nak balik sebab best duduk di sini kerana 'kakak baik-baik'. Kami sudah anggap mereka sebagai adik-adik kami. “Alhamdulillah, urusan kami menjaga dan merawat pesakit dalam kalangan pelajar-pelajar tahfiz dipermudahkan di sini. Kami terharu kerana dapat menjaga insan-insan yang memuliakan Allah SWT,” katanya.