MACAM-MACAM ragam dan kerenah! Itulah yang dapat digambarkan mengenai gelagat orang awam serta pengguna jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu sebagaimana pengalaman yang dikongsikan seorang anggota polis. Menurut Fikri Husaini yang ditugaskan di Felda Lubuk Merbau, daerah Padang Terap, Kedah, pelbagai ragam manusia yang dihadapinya sepanjang 16 hari menjalankan operasi PKP bersama rakan sepasukan. ARTIKEL BERKAITAN: Nasib pelajar pulang dari UK, niat baik mengaku positif Covid-19 sudahnya dipersalahkan... dilabel ‘pembawa’ - “Kami tak minta dijangkiti” ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan! Covid-19 ragut nyawa kawan baik, tok ketua di dua ‘kampung zombie’ mengaku timbul rasa takut dan gerun “Felda Lubuk Merbau adalah kawasan perkampungan… jadi pengguna jalan raya, orang yang keluar masuk adalah orang kampung. Bertuahnya kami kerana masyarakat di sini sangat mengambil berat, pemurah dan baik hati. “Boleh dikatakan hampir setiap hari ramai sangat yang beri makanan. Ada yang penduduk kampung masak, ada yang pakat-pakat beli dan ada juga kedai makan yang beri makanan. Sampai rasa bersalah pula kalau tak ambil tapi memang murah rezeki petugas-petugas di sana. “Walaupun kami disediakan makanan oleh jabatan, tapi makanan pemberian orang tetap ada. Mungkin orang kampung rasa seronok dan mahu berkongsi rezeki, dan mungkin ia salah satu cara untuk ucapkan terima kasih kepada petugas,” ujarnya kepada mStar. Fikri dan rakan setugas berdepan dengan pelbagai kerenah dan ragam orang awam sepanjang menjalankan tugas semasa PKP. Selain itu, anggota polis berusia 24 tahun ini menambah, sebagaimana gelagat pengguna jalan raya di kawasan lain yang ‘licik’ memberi alasan untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan, hal yang sama juga berlaku di kawasannya. “Ada yang beri alasan nak melawat ahli keluarga atau kawan-kawan. Tak kurang ada juga yang kononnya nak pergi ke kedai walaupun ketika itu dah pukul 8 malam dan pastinya kedai dah tutup. “Ada satu malam masa sedang buat rondaan, kami terperasan ada sepasang suami isteri baru nak keluar naik motor. Mereka nampak saja polis, terus patah balik bawa motor laju macam kena kejar. “Kalau bab topi keledar, memang ramai yang tak pakai. Apabila ditahan, mereka beri alasan sebab dah biasa tak pakai. Sebenarnya mereka ni ‘cemuih’ (bosan) duduk di rumah… kata orang Kedah. Biasalah, pakcik-pakcik kan memang terbiasa bersembang minum kopi dekat warung,” ceritanya. Ada satu malam masa sedang buat rondaan, kami terperasan ada sepasang suami isteri baru nak keluar naik motor. Mereka nampak saja polis, terus patah balik bawa motor laju macam kena kejar. FIKRI HUSAINI ANGGOTA POLIS Namun ujar Fikri, dia memuji sikap penduduk kampung yang mudah memahami arahan dan nasihat yang diberikan petugas. “Biasalah kalau ada yang degil dan masih buat benda yang sama seperti tiada apa yang berlaku, contohnya main dam di ‘port’ melepak. Kami akan nasihatkan mereka untuk bersurai. Mujur mereka boleh dengar cakap lagi. “Begitu juga ketika berlaku kematian. Lazimnya kalau ada berlaku kematian, penduduk kampung akan beramai-ramai datang ziarah. Sepanjang PKP, sudah ada tiga kematian. Jadi tugas kami adalah meminta mereka agar tidak berkumpul terlalu ramai demi elakkan penyebaran virus,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak. Sudah dua tahun berkhidmat sebagai anggota polis, Fikri berkata pengalaman ditugaskan sewaktu PKP adalah satu pengalaman yang berharga apatah lagi menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan (frontliners) demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Fikri berasa terharu dengan sokongan ramai yang menghargai tugas frontliners ketika PKP. “Biasalah kalau ada orang yang tak puas hati bila ditegur polis. Tapi kami akan tetap bertugas tanpa penat sehingga rantaian virus Covid-19 dapat kita putuskan. “Sungguhpun sedih dah lama tak jenguk keluarga… tapi kami tetap komited. Apabila ramai yang beri penghargaan kepada frontliners, rasa terharu dan bangga sangat-sangat. “Walaupun kami juga terdedah dengan risiko sebab perlu berdepan dengan orang ramai setiap hari namun kami ketepikan perkara itu. Saranan saya, ikutlah arahan kerajaan untuk ‘stay at home’. Tak perlu keluar tanpa sebab munasabah. Harapan kami agar semua aku PKP supaya kita dapat nyahkan Covid-19,” ujarnya.