suria

“Sumpah aku geram!” - Selepas 7 bulan ‘peram’ foto, pelajar ini berjaya jejak lelaki photobomb... berlaku sesuatu tak disangka!

Seorang gadis tidak menyangka gambarnya yang menyaksikan kemunculan dua pemuda sebagai 'photobomb' berakhir dengan sesuatu yang tidak dijangka.

GARA-gara bosan berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, seorang remaja melakukan pencarian ‘luar biasa’.

Bukan mencari individu hilang, mahupun kenalan atau saudara yang terpisah sekian lama, sebaliknya dia mahu mencari dua pemuda yang muncul tanpa diundang di dalam fotonya.

“Kalau Twitter boleh tolong saya cari dua lelaki comel kat belakang tu boleh? Saya fikir orang Brunei hahaha tapi sumpah aku geram hahaha. Tolong saya!” tulisnya dengan memuat naik gambarnya yang turut memaparkan photobomb dua pemuda itu.

Gadis berkenaan, Aishah Najiha Anaty Abdul Latif berkata, walaupun akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19, dia bagaimanapun mengakui berasa bosan apabila duduk di rumah dalam tempoh lama.

Ecah meminta bantuan netizen untuk mencari dua pemuda 'photobom' di dalam gambarnya.

Remaja berusia 17 tahun itu kemudian membuat semakan pada galeri foto di dalam telefon bimbitnya yang mengandungi lebih 2,000 keping gambar.

“Sebenarnya, jumlah gambar lebih daripada itu tapi dah banyak saya padam. Tengah check tu tiba-tiba ternampak satu gambar saya yang diambil di sebuah hotel di Miri, Sarawak pada Oktober tahun lalu.

“Apa yang menarik ada dua pemuda photobomb yang 'beraksi' dari jauh di dalam gambar saya. Ini bukan pertama kali gambar saya ada photobomb dan kebiasaannya saya terus delete sebab buat menyemak je dalam gambar.

“Tapi, gambar yang satu ni saya tak delete sebab dua lelaki ni bagi saya comel sangat. Jadi, saya cuba post di Twitter untuk cari mereka atas saranan seorang kawan,” katanya kepada mStar.

Menurut Ecah, kebiasaannya dia akan memadam gambar yang mempunyai photobomb kerana hanya 'menyemakkan' foto.

Lebih mesra dengan panggilan Ecah, gadis yang berasal dari Miri itu tidak menyangka posting miliknya yang dibuat pada Ahad lalu, dapat mengesan kedua-dua individu berkenaan hanya dalam masa kurang dari sejam.

“15 minit pertama perkongsian saya dah dapat ratusan respons. Tak sangka kurang sejam, dah ada kenalan dan ahli keluarga mereka yang memberi respons dan kesan mereka.

“Saya benar-benar tak jangka sepantas itu dapat cari mereka. Tak sangka tweet saya sampai ke Brunei. Memang hebat kuasa viral dengan bantuan pengikut-pengikut di Twitter,” katanya dengan nada teruja.

Saya benar-benar tak jangka sepantas itu dapat cari mereka. Tak sangka tweet saya sampai ke Brunei. Memang hebat kuasa viral dengan bantuan pengikut-pengikut di Twitter.

ECAH

Ecah yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) memberitahu, kedua-dua pemuda di dalam fotonya itu merupakan adik-beradik warga Brunei dan berkunjung ke Miri pada Oktober tahun lalu untuk bercuti bersama keluarga.

“Saya berpeluang berkenalan dengan salah seorang daripada mereka yang berumur 18 tahun mengikuti pengajian O-Level di Brunei. Seorang lagi adalah abangnya.

“Ketika gambar saya dirakamkan, mereka sedang menunggu lif untuk turun ke aras bawah dan mengambil peluang untuk turut beraksi,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Ecah tidak menyangka dia dan kawan baharunya berkongsi minat yang sama.

Namun, lebih mengejutkan Ecah apabila dia dan pemuda yang dikenali sebagai Kirin berkongsi minat yang sama iaitu mengikuti animasi dari Jepun, anime.

“Masa tu saya tanya dia tengah buat apa, dia jawab baca komik anime Manga dan kebetulan saya pun memang minat anime. Dia juga peramah orangnya.

“Macam tak percaya. Daripada asalnya stranger (individu tak dikenali) muncul dalam gambar saya sebagai photobomb, tak sangka boleh jadi kawan.

“Dulu ingat photobomb ni hanya menyemakkan gambar je. Tapi tak sangka boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan sampai boleh dibuat kawan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gambar, photobomb, comel, pemuda, Brunei

Artikel Lain