suria

Wang dah masuk bank... teringat ‘lauk ikan kering’ terus bapa 4 anak ini cepat-cepat pulangkan duit BPN

Seorang pemuda menunjukkan keputusan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diluluskan ketika beratur di cawangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang bagi membeli barangan keperluan ketika tinjauan pembayaran BPN yang diterima pada Isnin. Gambar hiasan/Foto Bernama

RAMAI tersenyum, atau sekurang-sekurangnya mampu menarik nafas lega dengan pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara berperingkat bermula Isnin lalu.

Sejumlah RM3.24 bilion diperuntukkan bagi pembayaran fasa pertama kepada golongan B40 iaitu isi rumah pendapatan di bawah RM4,000 manakala RM1.81 bilion kepada bujang berpendapatan di bawah RM2,000.

Ketika segelintir individu yang bukan dalam kategori penerima BPN mengeluh atau ‘acah-acah’ sedih kerana status permohonan bantuan itu tidak diluluskan, ada pula individu lain yang membuat kejutan dengan memulangkan semula bayaran BPN yang diterimanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “B40 terlebih dahulu terima bantuan, seterusnya M40” – Bayaran fasa pertama BPN mulai 6 April

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri terkejut permohonan BPN tidak lulus - “Bukan orang biasa sahaja tertekan, jualan saya merudum 90 peratus”

“Bye-bye BPN, walaupun saya pun taklah banyak mana pun duit... tapi bila BPN tersalah masuk, maka pulangkan ke tempat asalnya. 

“Rata-rata B40 ada yang masih tak dapat. Maka bagi yang tersalah terima, pulangkanlah. Kasihan Makcik Bedah, Pak Leh Lemang, Kiai Dolah, Kak Joyah dan sebagainya di kampung-kampung,” tulis seorang pemuda di halaman Facebook Rinizan Razali pada Rabu, sehingga menjadi tular.

Emel yang diterima mengenai layak menerima BPN. Foto Mohd Rinizan Razali 

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Mohd Rinizan Razali memberitahu menerima emel pada Ahad lalu memaklumkan dia merupakan salah seorang penerima BPN.

Pemuda berusia 38 tahun itu pada awalnya menyangka ia merupakan satu kesilapan tetapi disahkan oleh isteri selepas membuat semakan di laman web BPN.

“Selepas beberapa hari masa agihan awal, isteri kata nama saya lulus dapat menerusi sistem semakan bila saja-saja daftar masuk. 

“Kemudian disusuli SMS (khidmat pesanan ringkas) memaklumkan duit telah dimasukkan. Duit saya masuk ke dalam akaun bank pada 7 April,” katanya.

Kiriman SMS memberitahu bayaran BPN telah dimasukkan ke dalam akaun bank. Mohd Rinizan Razali 

Susulan itu, dia segera mendapatkan pengesahan dengan seorang pegawai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan terbukti dia tidak berkelayakan berdasarkan jadual kategori penerima bantuan yang ditetapkan.

Malahan, sejak awal lagi, Mohd Rinizan yang berasal dari Alor Setar, Kedah memberitahu dia tidak membuat semakan kerana menyedari dia sekeluarga bukan dalam kategori isi rumah yang berkelayakan.

“Saya masih dalam kumpulan M40 tapi pendapatan isi rumah melebihi RM8,000 seperti yang dinyatakan oleh kerajaan untuk bantuan BPN, jadi bukan semua M40 layak menerima bantuan.

“Memang terkejut kenapa saya dapat jumlah bayaran penuh RM1,000. Tu yang kalut hubungi LHDN, cuma saya tak jangka kena serahkan semula duit tu secara manual,” ujarnya sambil menambah melakukan pemulangan semula pada 8 April.

Mengenai M40, mereka yang layak menerima BPN adalah isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 akan menerima bayaran RM1,000 membabitkan bayaran RM500 pada 6 April dan baki RM500 pada Mei.

Orang ramai beratur di ATM untuk mengeluarkan wang ketika tinjauan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Foto Bernama

Sebagai penolong pegawai daerah di Pokok Sena, dia menyedari ramai yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bayangkanlah, ada orang kampung yang susah. Daerah saya pun kalut dengan orang kampung yang terputus bekalan. Saya rasa menjadi tanggungjawab pulangkan balik.

“Sejujurnya, secara umum rakyat kita di luar bandar masih banyak yang pendapatan dalam lingkungan garis kemiskinan, malah yang anak ramai menetap di bandar pun sama.

“Rasa sedih, ada yang barangkali tak ada benda nak dimakan atau mungkin hanya makan ikan kering je,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bayangkanlah, ada orang kampung yang susah. Daerah saya pun kalut dengan orang kampung yang terputus bekalan. Saya rasa menjadi tanggungjawab pulangkan balik

MOHD RINIZAN

Sehubungan itu, dia menyeru kepada mereka yang tidak berkelayakan menerima bayaran BPN dan mampu bertahan supaya menyerahkannya semula kepada kumpulan yang sewajarnya.

“Dalam pada masa kita mendepani wabak ni, sebagai rakyat... kita hendaklah membantu kerajaan menjayakan setiap misi untuk mengatasi Covid-19.

“Jangan ambil mudah kerana kita semua perlu bertangungjawab secara bersama bagi memastikan agihan bantuan sampai ke kumpulan sasar yang betul,” katanya sambil menambah masih ramai yang tidak mengetahui cara untuk memulangkan semula bayaran BPN.

Bayaran BPN yang dipulangkan semula menggunakan cek berserta surat penjelasan. Mohd Rinizan Razali 

mStar telah menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara tersebut, tetapi masih belum menerima maklum balas.

Menurut laman web Bantuan Prihatin Nasional, sekiranya ingin menolak BPN dan membuat bayaran semula, mereka dinasihatkan untuk mengemukakan surat kepada Kementerian Kewangan Malaysia dengan menyatakan nama penuh, nombor MyKad dan sebab pemulangan.

Mereka juga perlu melampirkan draf bank atau cek atas nama Akauntan Negara Malaysia (mengikut jumlah pemulangan) dan surat penjelasan dan draf bank/cek perlu dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan Malaysia.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
BPN, Bantuan Prihatin Nasional, B40, M40, LHDN

Artikel Lain