FOTO seorang remaja tersenyum manis duduk di sebuah bangku, dengan sebuah beg pakaian besar diletak bersebelahannya mengundang sayu. Pemilik wajah ceria itu sebenarnya sedang menunggu ketibaan ambulans, bagi membawanya ke Hospital Sungai Buloh, selepas disahkan positif Covid-19. Bapa kepada remaja berkenaan, Azmi Mohd Yusoff, 46, berkata, anaknya, Muhammad Ilyas Fitri, disahkan dijangkiti virus itu pada Selasa selepas ujian saringan kedua Covid-19 dilakukan. ARTIKEL BERKAITAN: Nurse rasa kerdil rawat pelajar tahfiz, menangis dengar azan - “Kami berjuang dengan baju berlapis-lapis, bila masuk wad rasa tenang” ARTIKEL BERKAITAN: Nurse menitik air mata! Dedah keadaan mengejutkan di wad pesakit tabligh, tersentak dengar soalan mereka - “Tahu tak dalam tu semua ilmu agama tinggi” Azmi memberitahu, Muhammad Ilyas yang berusia 13 tahun itu merupakan pelajar di sebuah madrasah di Hulu Langat, Selangor, yang kini merupakan zon merah selepas mencatatkan kes tinggi Covid-19 berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling. Petugas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) membawa Muhammad Ilyas menggunakan ambulans. “Saya bawa Ilyas untuk pemeriksaan kesihatan pada 18 Mac, selepas pihak madrasah maklumkan ada pelajar di blok lain positif Covid-19 selepas hadir ke perhimpunan tu. “Tapi keputusan pertama negatif sepanjang tempoh kuarantin dia selama 14 hari. Dia kemudian baru buat ujian swab pada 5 April selepas rakannya di blok yang sama positif Covid-19. “Saya dapat panggilan daripada pusat gerakan yang maklumkan anak saya positif Covid-19 dua hari kemudian (7 April),” katanya kepada mStar. Muhammad Ilyas disifatkan sebagai anak yang manja dan taat pada ibu bapa. Azmi berkata, Muhammad Ilyas yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik adalah seorang anak yang baik dan taat serta mempunyai semangat yang kuat. “Dia sendiri nampak relaks masa tunggu ambulans datang. Sebagai ayah, memang sebak tengok keadaan tu tapi saya cuba sembunyi perasaan untuk beri semangat kat dia. Syukur, Allah SWT beri ketenangan pada dia walaupun dia tahu sedang sakit. “Dia siap kata ‘mana ambulans ni, tak datang lagi?’. Memang dia dah bersiap sedia untuk dibawa ke hospital, malah tangan dia tetap genggam pegang al-Quran bila masuk ambulans,” ujarnya yang menetap di Shah Alam di Selangor. Azmi (kanan) memberi kata-kata semangat buat anaknya. Hikmah di sebalik menjalani kuarantin di rumah, Imam 1 Surau Nurul Iman di Seksyen 29, Shah Alam itu memberitahu anaknya menggunakan masa 14 hari dengan membaca al-Quran. “Satu hari satu juzuk dia baca, memang cita-cita dia nak jadi al-hafiz macam abang dia… dia siap bawa al-Quran ke hospital. Sepanjang kuarantin di rumah juga dia banyak berzikir. “Saya pesan pada dia juga untuk terus dengan bacaan al-Quran di hospital sampai lengkap 30 juzuk,” katanya sambil menambah bahawa dia pernah menghadiri hari terakhir perhimpunan tabligh pada 2 Februari, tetapi keputusan ujian Covid-19 setakat ini adalah negatif. Satu hari satu juzuk dia baca, memang cita-cita dia nak jadi al-Hafiz macam abang dia… dia siap bawa al-Quran ke hospital. AZMI Walaupun tabah, Azmi memberitahu bahawa tanpa disangka-sangka berlaku drama air mata semasa hari kedua anaknya dimasukkan ke hospital pada Rabu. “Kami buat video call sebelum solat Asar semalam, tiba-tiba dia menangis. Dia cakap kat bilik wad tu ada tiga pesakit lain tapi kesemua mereka dah discaj semalam, tinggal dia seorang. “Saya minta dia untuk banyakkan berdoa supaya menjadi lebih tabah. Saya kata sama ada seorang di bilik atau ada pesakit baharu masuk, semangat kena kuat. Azmi (duduk, kanan) bersama keluarganya. Muhammad Ilyas (berdiri, tengah). “Saya pesan… apa yang terjadi, bakal terjadi dan telah terjadi adalah ketentuan Allah SWT dan kita belajar untuk reda dan mempraktikkan keredaan itu,” ujar Azmin yang menyifatkan Muhammad Ilyas seorang anak yang manja dan taat pada ibu bapa. Susulan Muhammad Ilyas disahkan positif virus itu pada Selasa, dia bersama isteri dan sembilan lagi anaknya melakukan ujian Covid-19 pada Khamis dan menjalani kuarantin di rumah. “Saya berharap masyarakat yang membaca kisah mengenai Ilyas dapat mendoakan agar dia cepat sembuh, dan semoga kami sekeluarga juga dikurniakan kesejahteraan,” katanya sambil memberitahu reda dengan segala keputusan ujian kelak. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Apr 9, 2020 at 5:08pm PDT