DALAM tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa dari 18 Mac sehingga 14 April ini, rakyat diarahkan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian hubungan untuk membendung Covid-19. Sepanjang tempoh yang agak lama di rumah, dapat dilihat ragam masyarakat yang cuba melakukan pelbagai aktiviti yang tak pernah dilakukan sebelum ini, malah ada juga yang mencuba resipi baharu. Perkara sama turut dilakukan oleh Amirah Alam yang cuba membuat roti sosej pada Ahad lalu namun selepas siap dibakar di dalam ketuhar, dia sendiri agak terkejut apabila melihat hasilnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Biarlah saya dan keluarga saja yang makan” - ‘Derhaka’ tambah perisa coklat, biskut raya dilabel 18SX ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dapat rasa kek batik termahal di dunia” - iPhone pemuda ‘liat’ masuk dapur tercelup coklat... kakak tetap untung! "Saja-saja bakar roti letak sosej kat atas... sekali bila dah siap, rupanya macam payudara. "Jadi saya pun tabur mozarella atas roti. Bila keju tu cair dah macam keluar susu pula!" ujar Amirah yang menganggap ia sebagai kejadian lucu. Mia mendirikan rumah tangga pada 22 Februari yang lalu. Lebih mesra disapa sebagai Mia, dia mengakui jarang membuat kek namun tahu asas-asasnya kerana pernah menghadiri kelas sebelum ini. "Sebelum ni saya ada pergi kelas membuat kek dan pernah hasilkan roti pizza, roti sos karamel dan cookies. "Tapi ni kali pertama saya buat roti sosej memandangkan saya ingin melakukan aktiviti bersama adik-adik di rumah," ujar wanita berusia 29 tahun itu. Tambah Mia lagi, roti sosej itu dihidangkan untuk minum petang bersama suami dan dua adiknya. "Suami saya tengok roti tu pun tergelak sebab rupa roti macam tu. "Dia kata nasib baik sedap dan boleh tarik keju walaupun rupa hidangan roti sedikit luar biasa," ujar Mia yang baru mendirikan rumah tangga pada Februari lalu. Perkongsian Mia di Twitter mendapat perhatian netizen. Dalam pada itu, Mia berkata perkongsiannya di laman Twitter itu mendapat kecaman daripada segelintir netizen yang berang kerana menganggap posting berkenaan mengandungi unsur lucah. "Ada yang suruh saya padam sebab memalukan kaum wanita. Ada juga yang kata tak elok kata macam tu pada makanan. "Bagi saya, perkara seperti ini tak perlu untuk jadi isu serius kerana saya tweet pun suka-suka dan tidak melibatkan sesiapa," ujar Mia yang bekerja sebagai penganalisis politik di sektor swasta. Selain roti sosej, Mia juga gemar menghasilkan roti sos karamel dan cookies. Perkongsian Mia di Twitter sehingga kini telah mendapat 14,300 retweet (ulang kicau) dan 22,000 tanda suka dan rata-rata netizen terhibur dengan rupa bentuk roti yang tak disangka-sangka itu. "Takpelah kak, waktu PKP ni rupa macam mana pun tak jadi masalah asalkan perut kenyang," tulis seorang pengguna Twitter. "Hahaha, yang sedap tidak semestinya kena nampak perfect..." tambah netizen lain.