suria

Terdesak akibat cuti tanpa gaji PKP, staf hotel berbakat ini buka kelas muzik RM20 sampai tak menang tangan! - “Ada waktu nak solat je”

Faz membuka kelas muzik bermain gitar, ukulele dan keyboard sewaktu tempoh PKP yang berkuat kuasa sehingga 28 April.

PENULARAN wabak Covid-19 menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga 28 April ternyata memberi kesan kepada sebahagian besar penduduk di Malaysia.

Manakan tidak, ada yang diberi cuti tanpa gaji, ada yang tidak terima gaji langsung bagi pekerja kontrak yang dibayar mengikut hari dan yang lebih malang ada juga yang diberhentikan kerja.

Tidak terkecuali seorang individu ini, yang hanya mahu dikenali sebagai Faz yang diberi cuti tanpa gaji bermula 22 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau cikgu marah anak saya, siap!” - Bapa ugut guru bagi banyak kerja sekolah ketika PKP, buat murid macam robot

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Gadis cari pakwe musim kuarantin selamat dari serangan tentera bawang Malaysia - “Kawan dah padam sebab dia segan”

Namun, dengan bakat yang ada, dia mampu untuk bangkit semula dengan membuka kelas muzik melalui atas talian selepas perkongsiannya di Twitter pada Sabtu lalu tular.

Bercerita lanjut ketika dihubungi mStar, Faz memberitahu dia tidak menyangka tweet itu mendapat perhatian netizen.

Tweet Faz yang dimuat naik pada Sabtu lalu mendapat perhatian netizen.


"Saya buka kelas gitar, ukulele dan keyboard secara atas talian.

"Kelas gitar sahaja ada 90 orang pelajar buat masa ini. Jumlah keseluruhan ketiga-tiga kelas tersebut dalam 100 lebih pelajar.

"Mungkin ramai yang bosan duduk di rumah sewaktu PKP ni, kelas saya pun murah. Hanya RM20 berbanding harga sebenar RM100," ujar Faz yang turut mahir bermain gitar bass dan dram.

Slot mengajar dah penuh dari Ahad sampai Sabtu. Saya ada masa untuk berhenti sekejap untuk solat sahaja.

FAZ

Tambah insan berbakat itu lagi, dia hanya membuka kelas untuk tiga alat muzik sahaja kerana lebih mudah untuk diajar secara atas talian.

"Gitar, ukulele dan keyboard hanya perlu menggunakan jari sahaja.

"Lain pula dengan dram, kedua-dua tangan dan kaki perlu digunakan, membuatkan ia lebih sukar diajar secara atas talian.

"Untuk peringkat umur pula, majoriti pelajar saya berusia 20 tahun ke atas.

"Ada juga ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak kecil mereka, namun saya terpaksa tolak buat sementara waktu kerana kanak-kanak lebih sukar untuk diajar secara atas talian," ujar Faz yang kini bekerja di bahagian khidmat pelanggan di sebuah hotel.

Antara alat muzik yang kerap dimainkan oleh Faz.

Ketika ditanya mengenai jadual mengajar, pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu masanya kini terlalu padat dengan jadual mengajar meskipun dibantu oleh seorang lagi rakannya, Arief.

"Slot mengajar dah penuh dari Ahad sampai Sabtu. Saya ada masa berhenti sekejap untuk solat sahaja.

"Setiap sesi hanya satu jam dan akan diadakan sebanyak empat sesi untuk setiap pelajar dalam tempoh dua minggu.

"Saya akan hantar gambar chord yang perlu dimainkan dan mereka akan rakam bunyi mereka bermain alat muzik. Selepas itu, saya akan perbaiki kemahiran mereka," beritahu Faz yang pernah menganggotai sebuah band iaitu The Noster ketika menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Kedah.

Faz memberitahu rakannya, Arief turut membantu menguruskan pelajar-pelajar kelas muziknya.

Dalam pada itu, Faz yang menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang, memberitahu keluarganya sangat menyokong minatnya itu sejak kecil.

"Saya mula bermain alat muzik sejak berusia 14 tahun. Pada mulanya saya belajar dengan kakak sendiri.

"Tak lama lepas tu, saya masuk kelas muzik untuk belajar instrumen lain pula.

"Dalam rumah pun, keluarga saya tak pernah marah kalau saya bising main alat muzik dalam bilik," jelas Faz yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu.

Perkongsian Faz di Twitter sehingga kini telah mendapat 8,500 retweet dan 6,500 tanda suka daripada netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
muzik, RM20, solat, alat muzik, dalam talian, ajar

Artikel Lain